Contoh 1
Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius
oleh pihak yang berkenaan kerana bangunan tersebut mempunyai nilai kebudayaan
dan keseniaannya yang tersendiri. Selain itu, bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan merakamkan
sejarah penting negara.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Di
Malaysia, banyak bangunan bersejarah yang masih kukuh dan sering menarik
perhatian para pelancong tempatan mahupun pelawat dari negara luar.
Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dikekalkan supaya ‘tak lapuk dek hujan,
tak lekang dek panas’ untuk menjadi tatapan generasi yang akan datang. Antara
bangunan bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa
dan Bangunan Stadhuys di Melaka, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur,
serta Kota Belanda di Pulau Pangkor, Perak. Pengekalan bangunan bersejarah
sememangnya penting untuk negara kita.
Antara
faktor bangunan bersejarah di negara ini wajar dikekalkan adalah kerana bangunan
tersebut mempunyai nilai kesenian dan estetika. Seni bina bangunan-bangunan ini
halus dan bercorakkan budaya bangsa, contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah
Melayu Kutai di Perak yang cantik dan harmoni. Secara tidak langsung, pelawat
dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina negara kita pada zaman
dahulu. Ukiran pada dinding batu dan kayu di dalam bangunan bersejarah ini pula
memaparkan corak budaya masa silam. Hal itu membolehkan pelawat menghayati
keistimewaan budaya kita.
Selain
itu, pengekalan bangunan bersejarah negara membolehkan pelawat yang mengunjungi
bangunan tersebut mempelajari dan mendalami sejarah negara pada masa lampau.
Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah membolehkan pelawat menyaksikan kesan
tinggalan sejarah dan mengetahui peristiwa bersejarah yang berlaku di tempat
itu. Kunjungan ke Kota A Famosa misalnya, membolehkan para pelancong
membayangkan peperangan dan pertumpahan darah ketika rakyat Melaka menentang
Portugis. Bagi murid-murid pula, kunjungan ke tempat itu menarik minat mereka
terhadap pembelajaran sejarah negara. Sesungguhnya, cara pembelajaran seperti
ini amat berkesan.
Di
samping itu, pengekalan bangunan-bangunan bersejarah wajar dilaksanakan kerana
mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Kunjungan pelancong tempatan mahupun
pelancong asing ke Kota Cornwallis di Pulau Pinang dan bangunan Sultan Abdul
Samad di Kuala Lumpur misalnya, dapat membantu perkembangan industri
pelancongan melalui pengaliran wang asing masuk ke negara ini. Hal ini
seterusnya dapat meningkatkan pendapatan negara.
Lawatan
ke bangunan-bangunan bersejarah juga memberi pengajaran kepada para pelancong.
Contohnya, pelancong tempatan yang melawat Bangunan Abdul Samad di ibu negara
akan menyedari pahit maung yang dialami oleh rakyat sewaktu berjuang menentang
penubuhan Malayan Union dan menuntut kemerdekaan. Hal ini akan menjadikan
mereka lebih menghargai keamanan dan kebebasan yang dinikmati selama ini.
Selain itu, mereka akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan
berulang dan seterusnya dapat memupuk patriotisme dalam diri mereka.
Tuntasnya,
dapat disimpulkan bahawa bangunan-bangunan bersejarah merupakan sebahagian
daripada warisan sejarah yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, bangunan
bersejarah di negara ini haruslah dikekalkan dan diharapkan agar usaha-usaha
untuk memulihara bangunan bersejarah akan dilaksanakan secara berterusan untuk
penghayatan dan kepentingan generasi akan datang.
yay
ReplyDeletewoww
ReplyDeleteMenarik
ReplyDeleteTerbaik 👍👍👍👍👍
ReplyDeleteGood.
ReplyDelete👍👍👍
ReplyDeletekarangan melebihi 500 patah perkataan tentang kelebihan melawat tempat bersejarah pleasee 🥺
ReplyDelete