Followers

Monday, December 10, 2012

Kertas 1 Bahagian A - Usaha-usaha mengelakkan kejadian tanah runtuh


Peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh yang  meragut nyawa anak-anak yatim di Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata rakyat Malaysia.  Peristiwa ini menuntut masyarakat membenamkan mata fikir dalam akal yang waras untuk mencari penyelesaian bukan hanya polemik di media-media  dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan punca kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah  wajar  semua pihak  membuka mata  serta mengorak langkah  bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di Negara ini?
            Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara ini  ialah kerajaan menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan. Usaha murni tersebut  merupakan langkah terbaik untuk  menjaga cerun-cerun   dan kawasan yang dibangunkan  daripada terdedah  kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan bukit ditarah atas nama pembangunan.  Hutan rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan hutan tanpa kawalan  telah melonggarkan ikatan tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman tutup  bumi perlu ditanam untuk menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada  cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa  aliran air bawah tanah  yang menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau tumbuh-tumbuhan, dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower dan  Bukit Antarabangsa misalnya,  masih lagi menjadi igauan  rakyat akibat  tidak  mempedulikan cerun yang lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.
            Usaha kedua yang dapat dilakukan untuk  mengelakkan kejadian  tanah  runtuh  ialah kerajaan membina sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting untuk membolehkan air hujan  dari cerun bukit  mengalir dengan baik dan terus ke longkang atau sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengelakkan  berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan struktur tanah di lereng bukit.   Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan  tanah runtuh.   Rakyat Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah tinggi yang dibangunkan pembangunan  sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu. jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh.
            Selain itu, pembangunan yang terancang juga merupakan usaha yang dapat  dilakukan  untuk mengurangkan berlakunya kejadian  tanah runtuh. Kerajaan perlu mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang pembangunan  tidak dapat dihentikan, tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman  dan laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah kuota untuk melaksanakan pembangunan di lereng-lereng  bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu seperti pemaju perumahan  perlu mewujudkan  Pelan Tindakan Kecemasan untuk bertindak pantas  apabila mengesan tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang terancang  dapat mengelakkan  kejadian yang tidak diingini seperti tanah runtuh.
            Akhirnya sekali,  penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang boleh meragut nyawa.  Penguatkuasaan yang tegas dapat  mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan projek pembangunan seperti “melepaskan batuk di tangga”.  Penguatkuasaan tanpa  “pilih bulu”  dapat mencegah  perbuatan yang tidak bertanggungjawab.  Kerajaan perlu mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di negara kita. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk penebangan hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen dan konsesi pembalakan  perlu disemak semula. Kelulusan Sijil Menduduki  Kediaman dan pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya, penguatkuasaan  yang tegas dapat memberi kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan sosial.
            Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Usaha semua pihak amat diharapkan  agar kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata  Chief Seattle  bahawa “kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita, sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita”. Oleh itu , kita perlu menjaga  sesuatu yang kita pinjam agar kita dapat memulangkan  dengan keadaan yang masih baik.

4 comments: