Khalifah
Ar-Rasyidin yang keempat, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, “Ilmu
apabila diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan
berkurang”. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa ilmu adalah sangat
penting dalam kehidupan seharian kita terutamanya murid-murid sekolah. Kecemerlangan murid dalam akademik adalah
sangat penting kerana mereka merupakan
bakal pemimpin kita pada masa hadapan. Remaja yang cemerlang akan menyumbang
kepada pembangunan sesebuah negara. Hal
ini bertepatan dengan ungkapan “ Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
”. Persoalannya, apakah faktor-faktor
yang mempengaruhi kecemerlangan seseorang murid dalam akademik?
Faktor
utama yang membawa kepada kecemerlangan murid dalam akademik ialah melalui
tumpuan ketika guru mengajar di bilik darjah semasa proses pengajaran dan
pembelajaran (p&p). Sekiranya
seseorang murid itu menumpukan perhatian semasa guru mengajar di bilik darjah,
sudah tentu pelajaran tersebut lebih cepat diserap masuk ke dalam minda
murid-murid. Pakar psikologi pernah mengatakan bahawa, “lima puluh peratus kejayaan murid dalam
akademik adalah melalui tumpuan seratus peratus murid ketika proses pengajaran
dan pembelajaran di bilik darjah”. Kebanyakan murid yang berjaya dalam akademik
adalah terdiri daripada mereka yang sentiasa mengemukakan soalan kepada
guru-guru sekiranya terdapat tajuk yang tidak dapat difahami ketika guru
mengajar. Selain itu, murid-murid yang sering berjumpa dan berbincang dengan
guru-guru tentang akademik, pasti meraih kejayaan yang cemerlang. Dalam hal
ini, murid-murid perlu menghindari perasaan malu atau segan untuk bertanya
apa-apa masalah tentang akademik kepada guru mereka kerana pepatah menyatakan, malas
berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Murid-murid juga
perlu menyiapkan segala kerja rumah yang disuruh oleh guru dan menghantar
dengan segera kepada guru untuk diperiksa. Murid-murid juga
turut melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah secara proaktif bagi membantu mewujudkan
proses pengajaran guru yang menarik dan berkesan. Tegasnya, tumpuan murid-murid
semasa guru sedang mengajar dalam bilik darjah merupakan faktor utama
kecemerlangan murid dalam akademik
Selain
itu, program kecemerlangan akademik yang dianjurkan oleh pihak sekolah turut
menyumbang kepada kecemerlangann murid dalam akademik. Antara program yang
diadakan ialah pelancaran Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Melalui
pelaksanaan program ini, murid-murid
dapat memupuk minat mereka dalam subjek tertentu dan seterusnya memperoleh
keputusan yang cemerlang dalam akademik. Selain program Minggu Bahasa, pihak
sekolah juga banyak mengadakan bengkel teknik menjawab soalan bagi
subjek-subjek tertentu . Dengan menghadiri bengkel menjawab soalan , murid-murid
dapat mengetahui kelemahan mereka dalam sesuatu subjek dan memperbaiki
kelemahan tersebut serta mendedahkan murid-murid berkaitan teknik untuk
menjawab soalan peperiksaan sebenar dengan betul. Hal ini bertujuan untuk menjadikan
murid-murid supaya lebih berkeyakinan semasa menjawab soalan dalam peperiksaan
yang sebenar. Sekolah turut mengadakan kem kecemerlangan, kem motivasi dan kem
bina insan agar murid dapat membina sahsiah diri, mempunyai motivasi dan
membentuk keperibadian yang luhur. Program
Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan pada setiap tahun juga turut memberi
motivasi kepada murid supaya belajar bersungguh-sungguh. Jelasnya,
program yang dianjurkan sekolah juga merupakan salah satu faktor
kecemerlangan murid dalam akademik.
Seterusnya,
saya akan menubuhkan kumpulan perbincangan di sekolah bagi meraih kejayaan yang
cemerlang dalam akademik. Saya akan mengajak empat atau lima orang rakan saya untuk sama-sama
berbincang tentang sesuatu tajuk atau topik pelajaran yang kurang difahami. Selain
guru, penerangan dan penjelasan daripada rakan-rakan dalam kumpulan
perbincangan berkaitan sesuatu topik amat penting untuk meningkatkan pemahaman
murid tarhadap tajuk pelajaran yang kurang difahami semasa di kelas. Bersama
rakan perbincangan juga, saya akan membuat lebih banyak latihan
terutamanya Matematik, Fizik, Prinsip
Akaun dan subjek Sains yang lain. Saya dan rakan kumpulan perbincangan akan
selalu mengunjungi perpustakaan untuk
mengulang kaji pelajaran dan berbincang dengan rakan-rakan. Kami akan
menyiapkan kerja rumah dan latihan yang diberi oleh guru bersama-sama. Kumpulan
perbincangan amat penting lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang sebenar.
Murid-murid yang menyertai kumpulan perbincangan di sekolah akan lebih bersedia
dan berkeyakinan ketika menghadapi peperiksaan. Oleh itu, penyertaan murid
dalam kumpulan perbincangan guga merupakan antara faktor kejayaan murid dalam
akademik.
Akhir
sekali, kecemerlangan murid dalam akademik berpunca daripada sokongan dan
dorongan daripada kedua-dua ibu bapa.
Dorongan daripada ibu bapa dapat menjadikan
seseorang murid itu rajin dan
gigih berusaha untuk mencapai kecemerlanagn.
Hal ini kerana dorongan daripada ibu bapa merupakan satu sumber
inspirasi kepada anak-anak. Anak- anak akan lebih berjaya dalam pelajaran
mahupun dalam hidup dengan adanya dorongan, motivasi, kata-kata perangsang,
restu, dan keredaan daripada ibu bapa. Ibu bapa juga boleh menjadi contoh
teladan kepada anak-anak dengan membawa anak-anak ke perpustakaan atau
menghantar anak-anak ke kelas tambahan. Anak-anak akan mencontohi ibu bapa dan
menganggap dorongan ibu bapa itu sebagai motivasi kepada diri mereka sendiri.
Bak kata peribahasa, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Salah
satu cara ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak adalah dengan
memperuntukkan sejumlah wang untuk anak-anak menghadiri kelas tuisyen dan
menyediakan kemudahan untuk anak mereka belajar di rumah. Ibu bapa juga boleh
menyediakan perpustakaan mini di rumah untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak.
Dengan ini, anak-anak akan membahagiakan ibu bapa dengan kejayaan yang dicapai
oleh mereka. Tegasnya, dorongan ibu bapa amat penting untuk anak-anak mencapai
kecemerlangan dalam akademik.
Kesimpulannya,
banyak faktor penentu kecemerlangan murid
dalam akademik. Untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, murid-murid perlu
memberikan tumpuan ketika pembelajaran di bilik darjah. Murid-murid juga
hendaklah menyertai program-program akademik yang dianjurkan oleh sekolah
selain menyertai kumpulan perbincangan di sekolah. Kecemerlangan murid dalam
akademik juga adalah berpunca daripada sokongan dan dorongan daripada ibu bapa.
Tegasnya, kecemerlangan seseorang murid dalam akademik bergantung pada keazaman seseorang murid itu
untuk berjaya, bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan hendak seribu
daya, tidak hendak seribu dalih.
karangan yang baik.terima kasih cikgu.
ReplyDeleteimprove lagii... agak simple .. nk baca pun mgntuk..
ReplyDelete