Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun,
ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat
membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada
paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik
kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam
gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan
sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak
fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan
yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai
keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa
membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula
penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata
peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak
dapat dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab,
setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak
kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat
secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya
sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata
azimat Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke
arah kebinasaan.
Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan
kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan
amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia . Tindakan yang lebih
afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan
sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah
bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut
hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat
menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan
artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah
bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan
perisai yang ampuh untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.
“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka
untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu
kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya
menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita
tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi
daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan
matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang
berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi
bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga
barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut
dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan
kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan
Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak
para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan
menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga
barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj
perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah
mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan
terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan
tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan
ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga
berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal
tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan,
tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada
kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif
oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa
tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani
masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat
di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita
hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada
manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan
mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan
sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai
kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk
mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa
ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah
ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan
itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di
atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya
menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi
peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan
harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah
didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang
berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat
pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak
bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi
Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn
telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan
usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau
tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas
kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan
prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang
kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih
kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan
bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas gologan pengguna
yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara
optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh
strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa , pengguna akan mengetahui kaedah yang
efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga
yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan
dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya
hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media
cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan
memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana
benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan
harga barangan di negara ini.
Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah
terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama
menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar
umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan
ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang
melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung
semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah
tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana
Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan
Mat Jenin.
No comments:
Post a Comment