Dalam
kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri
atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran.
Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh
menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan
orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran
meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau
keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa
pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama
antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati
jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup
berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama
atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”.
Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan
semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu
perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai
pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat, semakin
meluntur. Oleh itu, semua lapisan
masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat?
Menyedari
hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk
di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang
berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa
haruslah menyertai aktiviti
gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal
ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk
setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Apabila berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu
sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah
Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh,
aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan
kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat
bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat
dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat
menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu
komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama
untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan
aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain
itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada
anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri
sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’
atau ‘ ke bukit sama di daki, ke lurah
sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk
mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan
keprihatinan terhadap jiran mereka..
Apabila mengambil berat akan hal-hal
jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil
tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang
dihadapi oleh jiran dan cuba membantu
mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini
demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan
menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat,
maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar
ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan
daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap
keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan
anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di
samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis
rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja
dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa
boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali
antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk
berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati
juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih
memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka
sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari
Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli
keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan
anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat
menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan
semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan
setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan
membentuk masyarakat yang bersatu-padu.
Seterusnya,
ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan
masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan
dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa
anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga
pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita
akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua
masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka
lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu
bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu
penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih
sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri
sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata memandang,
berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh
pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan
kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh
jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa,
aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa
masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan
budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat
kejiranan.
Akhir
sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan
aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat
setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang , taman rekreasi atau di tepi pantai.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh
menyertai permainan yang disediakan. Selain
itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup
berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi
yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk
tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam
masyarakat seperti Pertubuhan Rukun
Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat
Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga,
masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat
tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak
diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita
lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan
semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam
kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam
setiap individu amat penting untuk melahirkan
masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun
kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang
menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa
menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang.
Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita
sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan
jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran
Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari.
Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan
dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan.
Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah
utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa
aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali”.
cikgu, panjang sangat la, karangan ni. saya salin hampir satu m/s (mohon izin nak salin ye...) . format spm panjang sampai satu m/s ka? jenuh la...
ReplyDeletemaksud saya, satu perenggan saja dah hampir satu m/s...
DeleteBiasalah karangan ..nak dapat A+ mestilah karangan yg cemerlang
ReplyDelete"I've discovered hidden gems in Tamil cinema, thanks to tamilmv.com.in. Your platform deserves all the praise!"
ReplyDelete