Followers

Saturday, December 8, 2012

Karangan SPM-Soalan B

Bersempena dengan sambutan Hari Pertanian Negara, anda telah dipilih mewakili pasukan debat sekolah anda dalam suatu pertandingan perbahasan. Usul yang dibahaskan ialah “Malaysia wajar Beralih kepada Industri Pertanian”.
Tulis teks perbahasan anda itu sebagai pihak pencadang.


Lebih dahulu, sambutlah salam pendebatan daripada saya selaku ketua pencadang bagi membahaskan tajuk, “Malaysia Wajar Beralih kepada Industri Pertanian”. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana dalam menegakkan keadilan, barisan pembangkang yang kami muliakan, dan seterusnya hadirin sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Para alim ulama sentiasa memberikan nasihat, “Sekiranya anda berhasrat untuk menguasai bumi ini sentiasalah beramal dengan amalan Nabi Daud. Sebaliknya pula, sekiranya anda mahu menguasai setiap mergastua, beramallah dengan amalan Nabi Sulaiman”. Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa kedua-dua bidang sama ada pertanian dan penternakan telah lama menjadi teras kepada peradaban manusia. Oleh hal yang demikian, tidak syak lagi, usul yang diketengahkan pada hari ini menepati matlamat dan selaku pemimpin kepada barisan pencadang, saya mohon mencadangkan usul “Malaysia Wajar Beralih kepada Industri Pertanian”.

Sebelum hujah bertatah bicara, sebelum fakta melancar kata, sebelum bidasan menebat kelancaran pembangkang, sebagai ketua pencadang saya mohon untuk membuat kupasan maksud tersurat dan tersirat usul perdebatan kita pada hari ini.

Pembangkang yang disegani,
Setelah meneliti dengan intuisi dan mata hati, saya definisikan usul perdebatan kita seperti yang berikut. “Malaysia Wajar Beralih” membawa pengertian negara Malaysia di bawah kepimpinan sekarang wajar mengubah dasar ekonomi negara daripada hanya bergantung pada sektor industri pembuatan kepada industri domestik khususnya dalam sektor pertanian. “Industri Pertanian” merujuk kepada memperkasakan sektor pertanian dalam bentuk skala besar agar menatijahkan potensi ekonomi dagang dalam bentuk eksport dan import. Kesimpulannya, sudah tiba masa Malaysia memberikan perhatian yang serius untuk memanfaatkan potensi hasil-hasil bumi. Potensi tersebut dapat dikomersialkan agar dapat menjanakan ekonomi negara sebagai sinergi kepada sektor lain.

Saudara dan saudari,
Sesi berkenalan telah berlalu, sidang pentakrifan sudah diperjelas, kini bertandanglah ke medan berhujah. Saya ketengahkan hujah pertama saya dengan fakta, memperkasakan bidang pertanian merupakan langkah kembali kepada akar umbi. Bumi Malaysia yang cukup subur dengan tanah-tanihnya dan begitu kaya dengan pelbagai spesies botaninya amat berpotensi untuk dimajukan. Daripada suratan sejarah, kedatangan penjajah ke rantau Asia Tenggara pun mempunyai kaitan dengan perdagangan rempah dan seterusnya mereka memanfaatkan kekayaan bumi kita dengan tanaman ladang seperti getah, tebu, lada hitam, dan kelapa sawit. Konglomerat penjajah seperti Harrison and Crossifield, Sime Darby, Dublin, Boustead, dan lain-lain lagi telah berjaya mencipta empayar ekonomi melalui kegiatan pertanian di negara ini. Amat jelas sekali, industri pertanian pernah menjadi penjana ekonomi kerajaan penjajah di negara ini terutama sekali Inggeris. Oleh hal yang demikian, amatlah bertentangan dengan fitrah alam dan manusiawinya jika industri tani dibiarkan sepi, sesepi belantara yang tidak berpenghuni.

Hujah pertama sudah saya tebarkan seluas lautan yang tidak bertepi untuk memandu hemat pembangkang membuka minda, kini menyusul hujah kedua bahawa memperkasakan industri pertanian mampu menyelamatkan wang negara. Sedarkah pihak pembangkang, bahawa setiap tahun negara berbelanja tidak kurang daripada RM15 bilion semata-mata untuk mengimport bahan-bahan makanan? Tanpa disedari, kita telah mengabaikan potensi yang ada dan sekali gus menambakkan dana negara kepada pengeksport hasil-hasil pertanian seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, India dan China. Apakah kita sudah benar-benar bijak mencaturkan untung dan rugi apabila mengabaikan kemampuan sendiri? Inikah maksud bajet berimbang yang sering kita uar-uarkan?

Perjuangan kami pada kali ini bukanlah kosong. Malah usul yang kami bawa senada dan seirama dengan pimpinan sekarang yang mahukan industri pertanian menjadi enjin kedua kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pernah menyarankan supaya sektor pertanian disinonimkan dengan perniagaan. Justeru, Kementerian Pertanian telah memohon peruntukan yang cukup besar sehingga RM100 juta semata-mata untuk membangunkan infrastuktur pertanian sahaja. Hal ini membuktikan bahawa sektor pertanian memainkan peranan besar dalam merubah senario ekonomi sesebuah negara.

Tuntutan memperkasakan industri pertanian menjadi sebahagian daripada usaha membela nasib golongan terabai dan miskin di kawasan pedalaman. Setelah tiga dekad negara beralih kepada sektor industri pembuatan, masyarakat tani seolah-olah dianaktirikan. Mereka gagal bergerak seiring dalam arus perdana pembangunan negara memandangkan sektor industri pembuatan berpusat di zon-zon industri eksklusif di bandar-bandar utama. Fenomena tersebut menyebabkan mereka terabai dan terpaksa mewarisi putaran ganas gejala kemiskinan. Tanah menjadi terbiar dan tanah terbengkalai tanpa diusahakan. Inilah perjuangan suci kami demi mengangkat kembali martabat masyarakat petani yang telah berdekad-dekad kempunan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

Sebelum berundur untuk memberikan laluan kepada pencadang ketiga, saya usulkan satu lagi rasionalisasi kepentingan memperkasakan industri pertanian. Dengan tegas saya katakan bahawa Malaysia wajib memberikan tumpuan kepada sektor pertanian sebagai strategi jangka panjang untuk keluar daripada pergantungan berterusan kepada sumber mineral. Sumber mineral seperti minyak dan logam galian pasti akan sampai tempoh pupus sedangkan selagi wujud bulan dan matahari, bidang pertanian tetap berpotensi, tetap wujud, dan pasti diperlukan. Justeru, kita tidak boleh terlalu pesimis terhadap sektor pertanian dengan terlalu bercita-cita besar menjadi negara industri sehingga mengabaikan kepentingan sektor yang begitu penting, ibarat “yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran”. Sekian sahaja, pencadang kedua mohon mencadangkan usul, “Malaysia Wajar Beralih Kepada Industri Pertanian” diterima. Sekian, terima kasih.

1 comment:

  1. Salam,sye amat berminat dgn karangan cikgu Hasnah.Bolehkah cikgu memberi contoh karangan tentang kekayaan hasil bumi di Malaysia?

    ReplyDelete