Followers

Saturday, December 8, 2012

Karangan Bergambar-Teknik-Teknik Berkesan Mendidik Anak

“Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada ibu bapa kepada anak-anak melainkan peribadi yang teratur ”. Itulah maksud suatu hadis tentang peranan ibu bapa membentuk keperibadian anak. Dalam membentuk personaliti anak-anak, para ilmuwan telah menggariskan beberapa teknik yang berkesan agar diguna pakai oleh ibu bapa.

Ibu bapa hendaklah bijak menggunakan saluran komiunikasi apabila berinteraksi dengan anak-anak. Tahap dan peringkat usia anak-anak adalah peringkat terpenting untuk ibu bapa menyesuaikan teknik mendidik mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang masih kecil gaya mendidik mereka hendaklah melalui proses secara tidak langsung. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dengan cara bermesra dan bermain bersama-sama dengan anak-anak. Anak-anak perlu dilayani kehendak mereka tetapi layanan tersebut hendaklah disisipkan dengan unsur-unsur nasihat.

Peribahasa yang menyatakan, “tiada harimau yang membaham anak sendiri” menunjukkan bahawa sifat tegas adalah penting untuk membentuk akhlak anak-anak. Tegas bukan bererti garang. Sebagai pemimpin dalam rumah tanga, si bapa hendaklah menetapkan doktrin yang jelas untuk dipatuhi oleh anak-anak. Penegasan doktrin dan peraturan pula hendaklah disesuaikan dengan usia dan kemampuan anak-anak menerima segala peraturan yang ditetapkan. Peraturan yang diberi mestilah jelas, tidak menekan, dan wujud hubungan kasih-sayang. Dengan kata lain, tegas yang dimaksudkan ialah menunjukkan teladan kepada anak-anak agar ibu bapa dihormati bukan ditakuti.

Proses sosialisasi dan mobilisasi dalam pendidikan akan mempertingkatkan proses sosialisasi manusia. Hal yang demikian memberikan peluang kepada anak-anak memperoleh pelbagai ilmu, kemahiran dan pengalaman. Dalam hal ini, ahli psikologi pernah menyatakan bahawa ibu bapa perlu menghormati pendapat anak-anak. Mereka perlu didekati dengan cara yang berhikmah. Ibu bapa yang bijak akan menjadikan anak-anak sebagai sumber inspirasi dan memperoleh idea yang bernas lantaran pemikiran mereka sudah matang. Pada tahap ini, anggaplah anak-anak sebagai sahabat.

Sesungguhnya, anak-anak yang baik akan menjadi cetusan hati nurani ibu bapa. Peribahasa ada menyatakan “daripada daun kenallah buahnya” yang menunjukkan bahawa baik atau buruknya anak-anak melambangkan personaliti dan kewibawaan ibu bapa.

No comments:

Post a Comment