Followers

Thursday, November 17, 2011

Remaja perlu mempunyai wawasan diri

Kejayaan seseorang bermula daripada impian dan cita-cita.
Sebagai remaja yang berwawasan, jelaskan usaha-usaha yang anda lakukan dalam memastikan impian tersebut menjadi kenyataan.
Semua orang mempunyai satu hasrat yang sama iaitu mereka berharap kehidupan mereka sentiasa selamat dan selesa. Sebaliknya, setiap orang mempunyai impian dan cita-cita yang tersendiri dan berlainan antara satu sama lain. Dengan mepunyai impian dan cita-cita, kehidupan seseorang akan menjadi lebih menarik. Hal ini demikian, seseorang akan meletakkan impian dan cita-cita sebagai salah satu matlamat hidup. Seseorang yang mempunyai matlamat dalam hidupnya akan berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa memajukan diri dalam semua aspek bagi memastikan diri mereka mencapai matlamat mereka dan seterusnya memperoleh kejayaan dalam kehidupan. Pendek kata, kejayaan hidup berasas dan bermula daripada impian dan cita-cita seseorang. Oleh itu, saya sebagai seorang remaja juga mempunyai impian dan cita-cita saya iaitu saya ingin menjadi seorang dokor pada masa hadapan. Saya menjadikan ini sebagai matlamat hidup yang mesti saya capai. Justeru, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan impian saya menjadi kenyataan. Persoalannya, sebagai seorang remaja yang berwawasan, apakah usaha-usaha yang akan saya lakukan dalam memastikan impian saya untuk menjadi seorang doktor menjadi kenyataan?
Usaha yang paling utama yang akan saya lakukan ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh. Saya akan menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar. Saya akan memberanikan diri untuk bertanya tentang topik-topik yang difahami tanpa sebarang perasaan malu dan takut. Saya juga akan menghadiri kelas tuisyen dan sentiasa membuat ulang kaji untuk memastikan diri saya tidak ketinggalan dalam pelajaran terutamanya dalam subjek Sains. Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Apa yang paling penting ialah saya tidak akan berasa menyesal semasa berada di dewan peperiksaan. Saya juga sedar bahawa kos pembelajaran di university amat tinggi dan untuk tidak membebankan kedua-dua ibu bapa saya yang usianya telah lanjut, saya belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dan seterusnya berpeluang untuk mendapatkan biasiswa. Dengan bantuan daripada kerajaan,saya akan dapat menempatkan diri di university sains tempatan yang terkenal dalam jurusan perubatan.Keadaan ini membolehkan saya membuka langkah yang pertama ke arah pencapaian matlamat hidup saya. Tegasnya, saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk membolehkan diri saya melanjutkan pelajaran dalam jurusan pilihan saya di menara gading kelak.
Selain itu, saya juga akan sentiasa bersifat sabar,tabah dan tidak mudah berputus asadalam menghadapi cabaran dalam hidup khususnya dalam pembelajaran. Saya tidak akan cepat mengalah. Misalnya, saya tidak akan berputus asa walaupun saya telah mengalami kegagalan secara berturut-turut. Sebaliknya, saya akan tabahkan diri dan menerima kegagalan tersebut kerana dengan ini baru saya dapat belajar dari kegagalan supaya diri saya tidak akan mengulanginya lagi. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa sekiranya hanya ada kegembiraan dan kejayaan hidup, seseorang itu tidak mungkin akan dapat memahami kesusahan untuk mencapai sesuatu dalam erti kata yang sebenarnya. Saya sedar akan kegagalan saya merupakan ujian yang diberikan oleh Tuhan untuk menguji keikhlasan saya serta untuk menjadikan diri saya lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk menempuh persaingan di bidang pekerjaan yang bakal akan saya ceburi. Sejak kecil lagi, saya telah difahamkan oleh kegagalan yang dialami merupakan ibu serta punca kepada kejayaaan seseorang. Saya percaya bahawa kegagalan yang dialami hanya untuk sementara waktu dan kejayaan akan dating kepada saya sekiranya saya sentiasa sabar dan bersikap opstimitik dalam halangan dan caran yang dihadapi. Jelasnya, saya perlu sabar dan tabah dalam menghadapi halangan matlamat hidup saya bagi memastikan impian saya untuk mrnjadi seorang doktor akan menjadi kenyataan.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapatserta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajar oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.
Seterusnya, saya akan menghadiri seminar dan mengkaji tentang cita-cita pekerjaan saya. Saya akan mula merancang masa depan saya dan sentiasa berfikiran matang. Saya akan membuat penyelidikan tentang pekerjaan seorang doktor dan sentiasa mendedahkan diri tentanginformasi perubatan terkini. Hal ini amat penting supaya saya dapat melengkapkan dan mendedahkan diri saya dengan asas pengetahuan yang diperlukan dalam bidang perubatan. Melalui seminar dan kursus-kursus yang dihadiri, saya akan lebih memahami kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh seorang doktor. Keadaan ini amat penting supaya suppaya saya tidak akan menyesal dan berasa bosan dengan pekerjaan doktor sekiranya saya benar-benar mencapai cita-cita saya. Oleh itu, dengan menghadiri seminar, saya akan dapat memastikan diri saya adakah saya betul-betul mempunyai minat untuk menjadi seorang doktor. Saya juga tidak ingin memaksa diri saya untuk membuat sesuatu yang tidak disukai yang akhirnya akan menyebabkan profesion saya sebagai seorang doktor tidak terserlah.Saya tidak ingin menjalani kehidupan sedemikian dengan setiap hari yang dilalui adalah pudar tanpa sebarang warna. Menghadiri seminar juga membolehkan saya untuk mencari impian dan cita-cita yang lain sebelum terlambat sekiranya saya mendapati perkerjaan doktor tidaksesuai dengan diri saya. Tegasnya, saya akan menghadiri seminar dan kursus yang berkaitan dengan perubatan untuk menyediakan diri saya dalam mengejar impian hidup saya.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkat hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu bapa. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan luar dunia. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, remaja perlu bertindak dari sekarang lagi. Remaja perlu fikir akan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan impian dan cita-cita mereka tercapai agar masa depan remaja tidak akan pudar dan gelap tetapi terang dengan kejayaan. Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa depan, tetapi manusia boleh meramal masa depan mereka dengan merancang masa depan mereka. Kita harus member peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita hidup serta kejayaan menjadi kenyataan dan bukannya hanya mimpi sahaja dengan mengambil pelbagai usaha. Sesungguhnya,kejayaan seseorang bermula daripada impian dan cita-cita.

Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial

BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 BAHAGIAN B (Karangan Respon Terbuka)
Dimensi Diri
Latihan 1:
Seorang rakan anda telah terlibat dengan gejala sosial yang serius sehingga rakan anda itu mengabaikan pelajaran.
Huraikan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu rakan anda itu.
Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya telah terlibat dengan gejala sosial yang serius. Rakan saya itu kerap memonteng kelas, terlibat dengan vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya rakan saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak akhir-akhir ini rakan saya itu sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang sahabat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakan saya itu supaya dia insaf bak kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Saya berharap usaha-usaha yang saya lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang tanggungjawabnya sebagai seorang remaja dan sebagai seorang pelajar. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu rakan saya?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk membantu rakan saya itu ialah saya akan menasihatinya supaya tidak menjerumuskan diri dalam kancah gejala sosial. Saya akan mengingatkan sahabat saya itu tentang akibat sekiranya rakan saya itu terlibat dengan gejala sosial. Saya akan menyedarkan rakan saya akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak agar tidak menghampakan harapan ibu bapanya. Rakan saya perlu sedar bahawa dia pernah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pernah menerima anugerah pelajar terbaik PMR. Saya berharap nasihat-nasihat saya itu dapat menyedarkan rakan saya dan rakan saya akan berubah sikap serta insaf akan kesalahan yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Saya tidak mahu rakan saya berasa menyesal pada kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa rakan saya itu dan memberitahu mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berbuat demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu tidak tahu tentang penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di sekolah. Saya berharap ibu bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Besar kemungkinan faktor kekurangan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa yang menyebabkan rakan saya terjebak dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa rakan saya sudah mengetahui masalah anak mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap rakan saya itu. Ibu bapa rakan saya mungkin akan lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan dengan anak untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi. Jelasnya, tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan saya itu diharapkan dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.
Di samping itu, saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling. Saya akan memberitahu guru kaunseling tentang penglibatan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap guru kaunseling dapat membimbing rakan saya dan menasihatinya supaya berubah sikap. Sesi kaunseling ini amat penting kerana menerusi sesi kaunseling, rakan saya itu akan sedar dan insaf tentang perbuatannya yang salah selama ini. Rakan saya juga dapat mengenali identiti diri dan motivasi untuk berubah apabila guru kaunseling memberi nasihat dan dorongan kepada rakan saya itu. Saya juga berharap rakan saya dapat membina keyakinan diri dan menyedari betapa pentingnya pembinaan sahsiah diri dan akhlak dalam kalangan remaja sebagai benteng supaya tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Tegasnya, menerusi sesi kaunseling ini rakan saya sebagai remaja dapat menginsafi dan menyedari peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin mengatakan bahawa sekiranya kita ingin melihat masa depan remaja maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara.
Seterusnya, saya juga akan mengajak rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah. Saya akan membawa rakan saya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan motivasi diri. Sebagai contoh, saya akan mengajak rakan saya menghadiri ceramah agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji al-Quran, Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri itu, saya berharap rakan saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa yang pernah dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina Insan pula, rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk berubah terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak. Hasil daripada pergaulan dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya itu dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Jelasnya, rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik dan dia juga tahu menghargai masa kerana masa itu emas.
Selain itu, saya juga akan sentiasa membantu rakan saya dalam pelajaran. Saya akan mengajak rakan saya menghadiri kumpulan perbincangan. Saya juga akan membantu rakan saya memahami topik-topik pelajaran yang ketinggalan selama ini. Saya akan mengajak rakan saya mengulang kaji di perpustakaan untuk mencari rujukan dan berbincang tentang topik-topik yang kurang difahami. Saya juga akan mengajak rakan saya menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Saya akan menasihati rakan saya tentang kepentingan pelajaran dalam kehidupan. Tanpa pelajaran, masa depan seseorang itu gelap. Pada masa yang sama, saya akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk mengadakan perbincangan dengan rakan saya ini. Tujuan saya berbuat demikian adalah memastikan rakan saya benar-benar insaf dan tidak mengabaikan pelajaran.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu yang murni dan perlu diteruskan. Saya berharap usaha yang saya lakukan ini dapat membantu rakan saya supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Saya juga berharap rakan saya benar-benar insaf dan bertanggungjawab terhadap masa hadapannya kerana ’sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Rakan saya perlu ingat bahawa sekiranya dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah. Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri agar tidak mudah dipengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya, rakan saya perlu berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah mengatakan rajin dan usaha tangga kejayaan dan yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.