Followers

Saturday, December 8, 2012

PEMBENTUKAN MODAL INSAN YANG BERKUALITI


Modal insan yang juga dikenali sebagai pembangunan sumber manusia merupakan antara agenda utama dalam perealisasian Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) . RMK-9 yang dilancarkan oleh Perdana Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi fokus kepada unsur ini memandangkan manusia itu sendiri akan berperanan dengan begitu ketara pembangunan justeru mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju. Konsep pembangunan modal insan ini adalah proses untuk membentuk insan yang baik, kamil dan berguna, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, agama dan negara.

Modal insan ini berperanan dalam menentukan prestasi sesebuah organisasi atau unit. Modal insan ini juga membantu mencorakkan hala tuju negara ke arah Wawasan 2020 yang disasarkan bermula dari era mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Modal insan ini disifatkan seperti tiang utama yang menguatkan dan membentuk sesebuah bangunan. Jika bahan yang digunakan untuk membuat tiang itu tidak berkualiti, pasti bangunan tersebut juga akan mudah rosak atau roboh. Begitu juga bagi sesebuah organisasi dan negara. Tanpa sumber manusia atau modal insan yang berkualiti, sesebuah negara akan menjadi lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam sosioekonominya.

Pembentukan modal insan masa ini jelas cuba dijelmakan melalui konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menerusi gagasan Islam Hadhari, sumber manusia ini akan melalui satu pakej pendidikan yang menyeluruh, yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan adalah insan yang berkualiti dan dinamik. Di sinilah letaknya peranan penting institusi pendidikan terutama yang melibatkan generasi muda seperti MRSM. Modul tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah agar para pelajar menghayati konsep hadharah dalam Islam ini. Hal ini demikian kerana daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak bergantung kepada kemampuan, kemandirian dan jati diri rakyatnya. Oleh itu, jika setiap rakyat di negara ini mempunyai kualiti manusia unggul seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia. pasti akan mudah dan lancarlah proses untuk mencapai kejayaan dan segala bidang kehidupan.

Penghasilan modal insan yang dinamik dan progresif memerlukan proses pengisian minda dengan ilmu pengetahuan. Modal insan yang berilmu akan menjadi rebutan organisasi atau pihak-pihak tertentu kerana merupakan aset berharga. Golongan yang berilmu bijak untuk mengurus sumber atau aset organisasi dalam bentuk yang terkawal. Jka mereka menggunakan bahan daripada sumber alam, mereka
tidak akan melakukan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan sebagainya. Jika sumber manusia berilmu itu melakukan sesuatu tugasan, maka mereka akan melakukan dengna rasa penuh tanggungjawab, amanah dan berdedikasi.Saya berharap agar rakan-rakan seperjuangan saya dan adik-adik saya yang berada di maktab ini akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh MARA demi kegemilangan bersama justeru membekalkan modal insan yang boleh dibanggakan. Selain itu, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik atau menjadi suri teladan untuk mencetuskan sikap dan diri yang mempunyai ciri keperibadian yang mulia.

Saya merumuskan bahawa agenda pembangunan modal insan ini perlu diutamakan dalam proses pembangunan negara kita kerana menjadi pemangkin yang bakal mencorakkan tahap ketamadunan bangsa kita. Kita perlu berfikir dan bertindak secara produktif . Pendidikan merupakan faktor penting terhadap usaha ini.

2 comments: