Ledakan gelombang globalisasi
dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas
kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigm ke arah
menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah
darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat
jelata Malaysia
sentiasa mengagung-agungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti
barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan
barangan import bak peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Pada hemat saya, anak watan Malaysia
seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya
menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai
rakyat Malaysia akan
menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam sambil minum air
sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah
kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan
tempatan?
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita
dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia.
Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada
barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti
yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh
yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat
anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di
pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa
barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai
jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama
negara Malaysia
ke puncak jagat sekali gus meningkatkan imej negara. Di samping itu,
dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan
perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.
Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah
semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat
sekiranya sikap sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur
ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan
demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan
duri ini, rakyat Malaysia
khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bak
senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara
dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak
barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang
demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan tempatan
sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya “Malaysia
Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang
sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih rebung, mudah
dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.” Tegasnya, semangat
patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad,
“membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia
menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.” Kata-kata hikmat tersebut
jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat
berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia.
Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantero dunia telah
membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan
tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat
merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan
import. Peningkatan dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu
merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya, kita dapat
memajukan industri tempatan supaya dapat mencapai aspirasi negara menjadi
negara industri.
Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa
membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan
kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak peribahasa “bagai serampang
dua mata” dan “bagai makan menanak nasi.” Oleh hal yang demikian,
segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus
lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat
merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak
watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak
berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah
cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!
No comments:
Post a Comment