Followers
Saturday, December 8, 2012
Amalan Nilai Murni Asas Kepada Masyarakat Berakhlak
Amalan Nilai Murni Asas Kepada Masyarakat Berakhlak
Oleh: Hasanah Shahidan
Malaysia kini dilanda arus globalisasi yang membawa pelbagai cabaran dalam menghadapi rencah kehidupan.Antara cabaran yang paling besar ialah pudarnya nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat berakhlak. Kita dapat menyaksikan betapa berita mengenai permasalahan sosial sering kali terpampang di dada –dada akhbar, malah menjadi polemik yang hangat dibincangkan di negara kita.Menyedari akan hakikat ini semua pihak haruslah ke bukit sama didaki,ke lurah sama dituruni bagi menangani kebejatan nilai-nilai murni ini sebelum nasi menjadi bubur.Persoalannya,apakah amalan nilai murni yang dapat membawa ke arah pembentukan masyarakat berakhlak?
Nilai-nilai murni merujuk perkara-perkara yang positif yang diamalkan oleh seseorang itu. Nilai ini turut seiringan dengan norma-norma budaya negara yang memberi penekanan terhadap aspek kesopanan seseorang.Pada suatu ketika dahulu,generasi kita terasuh dengan budaya dan adab sopan yang menitikberatkan nilai-nilai murni dalam setiap percakapan dan perbuatan.Malah, mereka sentiasa meletakkan nilai-nilai murni ini sebagai pelengkap dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini dapat kita lihat melalui pantun-pantun Melayu yang dicipta yang banyak sekali menekankan soal berbudi bahasa dan berhemah tinggi.Perhatikan dua rangkap pantun berikut:
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Tegak rumah kerana sendi,
Tegapnya sendi rumah terbina,
Sendi bangsa ialah budi,
Mantap budi teguhlah bangsa.
Jika kita lihat dasawarsa ini,nilai-nilai murni dan budi bahasa semakin terhakis dan adab sopan semakin terkikis sehingga kerajaan kita terpanggil untuk mewujudkan pelbagai kempen berkaitan nilai-nilai murni dan budi bahasa.Malah, Kementerian Pelajaran Malaysia pula sentiasa melakukan anjakan paradigma dalam sistem pendidikan agar masalah ini dapat ditangani sejak di bangku sekolah kerana pepatah mengatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.Para guru sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai program bagi memupuk nilai-nilai murni ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam .Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang secukupnya. Hal ini demikian kerana kita mahukan ‘sang pohon ini agar dapat bertarung dengan sang ribut yang semberono dan sang angin yang sering mencabarnya.’ Seandainya nilai-nilai murni ini berdiri teguh dalam diri pelajar ini maka generasi pada masa depan dapat merealisasikan hasrat murni Perdana Menteri kita untuk melahirkan modal insan kelas pertama. Pelajar yang berbudi bahasa dan berhemah tinggi akan berdiri teguh umpama pohon ini. Mereka bertunjangkan nilai-nilai murni dan tidak tunduk kepada desakan dunia.Sifat-sifat yang dipupuk dengan prinsip-prinsip mulia,dan keyakinan untuk melakukan perkara yang betul perlu sentiasa diterapkan oleh para pendidik agar mereka menghasilkan buah yang terbaik dalam semua aspek kehidupan baik kepada keluarga, komuniti, agama,bangsa dan negara.
Selain itu, “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” yang telah dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,pada 11 Januari 2005 diharapkan dapat memulihkan generasi kini yang semakin `sakit’, namun realitinya walaupun sudah tujuh tahun berlalu, kempen hanya tinggal kempen sahaja. Kerajaan kita telah melaksanakan beberapa siri kempen daripada pelbagai peringkat akar umbi,namun impaknya masih samar.Masyarakat kini mengamalkan hidup yang kasar,melanggar bahasa,tidak mengendahkan tatasusila, dan beradab.Sekiranya keadaan ini berlarutan maka imej masyarakat timur akan terjejas di mata dunia. Seperti kata Imam Abu Hamid Muhammad Al Ghazali “Buruk laku itu menambah buruk amalan,sebagaimana cuka merosakkan madu,”.Justeru, kita perlu melakukan sesuatu agar dapat melahirkan generasi kini yang berbudi bahasa dan berhemah tinggi.Kita tidak mahu kebejatan ini suatu hari nanti akan menggagalkan misi membina ketamadunan bangsa Malaysia mengikut acuan sendiri.
Ribut taufan, ombak tsunami ,gempa bumi dan sebagainya merupakan punca-punca yang menghancurkan peradaban dari aspek fizikalnya,namun kepincangan dalam nilai-nilai murni ini akan menyebabkan masyarakat kita kurang dihormati oleh bangsa-bangsa lain di dunia.Oleh itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama.Antara langkah yang boleh kita lakukan ialah kesedaran dalam diri individu itu sendiri. Amalan harian yang perlu kita lakukan untuk mengembalikan masyarakat yang berakhlak ini ialah meninggalkan penggunaan perkataan-perkataan kasar yang menyakitkan hati orang lain. Kita sedang bergerak untuk merealisasikan hasrat 1 Malaysia oleh itu, di dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk kita haruslah menjaga segala perlakuan dan percakapan kita agar hati orang lain tidak tersentuh. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, cukuplah tragedi hitam 13 Mei 1969 mewarnai sejarah negara kita.Lantaran itu, nilai-nilai murni seperti saling menghormati dan bertoleransi sewajarnya tertanam dalam diri setiap insan agar masyarakat yang berakhlak dapat dibentuk.
Peranan ibu bapa juga penting dalam mendidik dan membentuk akhlak terpuji anak-anak.Ibu bapa berhak menentukan dengan siapa anak-anak mereka patut berkawan.Hal ini kerana,pengaruh rakan sebaya amat dominan untuk menjurus ke arah perlakuan yang negatif.Cabaran yang hebat pada masa ini ialah apabila ibu bapa dihimpit oleh desakan tuntutan kerjaya masing-masing memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Secara realitinya,masyarakat masa kini memang lebih bersikap materialistik dan mementingkan unsur-unsur kebendaan. Kadangkala, ibu bapa kurang berkesempatan untuk memupuk dan menanam nilai-nilai berbudi bahasa dalam diri anak-anak mereka. Keadaan ini bertambah serius dengan kecanggihan peralatan teknologi moden pada masa ini yang menyebabkan anak-anak lebih gemar menjadi kera sumbang dan terperap di dalam bilik kerana keasyikan melayari internet dan permainan yang berasaskan teknologi moden .Fenomena ini bertambah buruk apabila bersembang dengan ibu bapa pun kadangkala hanya di alam maya.Sekiranya, situasi seperti ini tidak berubah anak-anak akan berlaku krisis nilai-nilai murni apabila mereka lebih percaya akan kata-kata rakan mereka daripada kedua-dua ibu bapa mereka sendiri.
Jika kita soroti sejarah silam,suatu ketika dahulu nilai-nilai murni ini merupakan khazanah paling berharga bagi masyarakat timur yang berwibawa lagi bermaruah.Namun kini,nilai-nilai murni dan berbudi bahasa ini semakin dilupakan ditelan arus peredaran zaman.Persoalannya,apakah pegangan agama yang longgar menjadikan punca kepada permasalahan ini? Biar kita mengambil contoh pantun yang berbunyi:
Makan nasi bergulai lemak,
berulam petai enak sekali,
lunturnya budi kerana akhlak,
celanya agama kerana pekerti.
Oleh hal yang demikian,kita haruslah kembali kepada asas kehidupan yang wajib iaitu mesti mengamalkan syariat agama. Mana-mana agama yang ada di dunia ini semuanya menekankan nilai-nilai murni dalam kehidupan.Memandangkan agama telah dikesampingkan oleh generasi kini,maka tidak hairanlah nilai-nilai murni ini jarang-jarang dipraktikkan oleh mereka.Apatah lagi mereka kini disuguhi dengan media massa yang memaparkan isu-isu yang kurang bermoral yang selalu menjadi tontonan dan tatapan seharian.Era dunia tanpa sempadan yang membolehkan apa-apa maklumat diperoleh di hujung jari menyebabkan golongan yang cetek agama ini melayari laman-laman sesawang yang hanya menjanjikan keseronokan semata-mata.Mereka hanya mencari keseronokan duniawi untuk melampiaskan nafsu serakah sehingga tidak kenal lagi mana yang betul dan mana yang salah. Ekoran pengaruh media massa dan kurangnya didikan agama ini mereka bertindak membabi buta sehingga membelakangkan nilai-nilai ketimuran.
Kita boleh mengambil contoh beberapa orang anak muda yang membakar Jalur Gemilang dan menghina para pemimpin kita semasa menyambut hari kemerdekaan kali ke-55, fenomena ini berlaku kerana jati diri dan nilai-nilai murni yang semakin terhakis dalam diri mereka.Jika dahulu kita dapat menzahirkan bangsa Melayu yang mempunyai keperibadian unggul ,namun kini semakin hilang sinarnya. Puisi lama ada mengungkapkan:
Kalau hendak tahu orang berbangsa,
tengok kepada budi dan bahasanya,
dalam berkata berlemah lembut,
dalam melangkah berpatut-patut,
bila duduk tahu tempatnya,
bila tegak tahu adatnya.
Selagi kita tidak mengenal pasti punca krisis yang berakar umbi dalam kehidupan masyarakat kita sekarang ini maka amat sukar bagi kita membina ketamadunan bangsa yang tinggi seperti dahulu.Oleh itu, kita hendaklah seiring sejalan serumpun bak serai,sejunjung bak sirih untuk mencari punca permasalahan ini agar masyarakat berakhlak terbentuk. Krisis nilai-nilai murni ini mestilah ditangani segera sebelum barah ini merebak dan menjadi bertambah serius. Kita tidak mahu harapan untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia dan Wawasan 2020 yang lahir daripada kepekaan dan keprihatinan para pemimpin tersohor kita hanya tinggal mimpi sahaja.Kita mahu mimpi ini menjadi kenyataan agar negara kita gah di persada dunia bukan hanya dari segi politik, ekonomi, perkembangan sains dan teknologi sahaja malah pembangunan sosial kita mesti seiring dengan hasrat yang kita cita-citakan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu , maka rakyatnya perlulah menghayati dan mengamalkan nilai-nilai dalam Konsep 1 Malaysia .Hal ini kerana, nilai-nilai yang terkandung dalam konsep ini menjurus ke arah pembentukan nilai-nilai murni dan masyarakat yang berakhlak mulia iaitu bangsa Malaysia.
Cetusan gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik yang berbeza. Konsep ini selari dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat- menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.Justeru, sebagai bangsa Malaysia yang bermaruah, amalan nilai-nilai murni haruslah sentiasa segar dalam diri masyarakat kita agar selari dengan kehendak pemimpin negara.Kita tidak mahu bercakap tidak serupa bikin diamalkan dalam kehidupan masyarakat kita.Hal ini kerana slogan `Kepimpinan Melalui Teladan’ sering kali dipandang serius oleh masyarakat di negara kita.
Kesimpulannya, amalan nilai-nilai murni amat penting bagi merealisasikan konsep 1 Malaysia yang membawa aspirasi untuk memperkukuh hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat ialah bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama-sama memajukan negara. Rakyat perlu menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada negara sebagaimana setianya Hang Tuah kepada sultan. Kerajaan khususnya perlu menagih komitmen dan pengertian menyeluruh semua pihak terhadap kepentingan perpaduan negara dan peranan gagasan 1 Malaysia dalam membantu merealisasikan impian dalam membentuk sebuah negara bangsa yang berakhlak. Keharmonian negara yang dikecapi dan keamanan menghirup udara segar hasil kemerdekaan perlu dikekalkan supaya keamanan dan perpaduan ini tetap berterusan hingga generasi akan datang. Justeru,amat penting bagi kita mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan kerana mantan Presiden Indonesia ada menyatakan, “jika ingin melihat generasi pada masa akan datang, lihatlah generasi pada hari ini”. Bertitik tolak daripada itu kita haruslah memupuk nilai-nilai murni ini dalam diri kita kerana tidak rugi seseorang itu yang mempunyai nilai-nilai murni kerana ‘hancur badan dikandung tanah,budi baik dikenang juga’. Oleh hal yang demikian,kita haruslah segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur agar nilai-nilai murni ini tidak terus sirna dek kelalaian kita untuk melakukan usaha yang pragmatik .
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment