Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus
ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam
masyarakat kita.
Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan
untuk mencapai matlamat ini.
Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.
Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan
satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan
kecanggihan media massa
yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberkesanan yang sebaik mungkin.
Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka
dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka,
kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya
untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja
yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan
peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang
sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah menunjukkan kepada anak-anak mereka
bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan
kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja
sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa mereka sendiri yang suka menyimpan wang
sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka.
Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang
mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.
Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insurans selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.
Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insurans selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.
Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh
menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua
sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan
dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar
lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa
keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya
oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi
sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman
kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di
sekolah.
Konklusinya, semua tindakan yang
dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri
masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah
dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan
masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti
negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi
oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan
murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.
No comments:
Post a Comment