Dasawarsa
ini sering meniti dari bibir ke bibir setiap insan di bumi bertuah ini tentang
tema sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini iaitu 1 Malaysia :
Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera. Semenjak
mencapai kemerdekaan, kita telah mengalami beberapa perubahan dalam pelbagai
bidang,baik dalam perindustrian,pengangkutan,pertanian mahupun pendidikan.
Kerajaan telah banyak membawa perubahan atau transformasi yang nyata dan
signifikan kepada proses kelangsungan negara. Tranformasi yang dilakukan ini telah pun mencipta pelbagai
kemajuan dan kejayaan yang akhirnya telah memberi manfaat kepada negara dan
kesejahteraan rakyatnya. Perkara ini memang tidak dapat kita nafikan.
Dalam
sejarah pendidikan negara selepas merdeka kita telah mengadakan beberapa kali
reformasi yang tujuannya adalah untuk membaiki dan meningkatkan lagi kemampuan
sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa depan.Begitu
juga dengan bidang-bidang lain. Pada Tahun 2009, Kerajaan telah
melancarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang bertujuan mentransformasikan
Malaysia
ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Transformasi ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada
semua rakyat Malaysia .
Transformasi
melibatkan diri, niat, komitmen dan pemikiran kita. Menurut perspektif Islam,
transformasi atau perubahan ini tidak akan terhasil melainkan perubahan itu
wujud dalam diri kita sendiri. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Nahl ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang
ada pada diri mereka sendiri”. Dengan itu, kita semua perlu berusaha
untuk membuat perubahan positif.Sekiranya kita bersama-sama melaksanakan
transformasi ini dengan cara yang positif sudah pasti kita akan mengecapi
kejayaannya nanti.
Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) juga
telah menunjukkan impak positif. Antara kejayaan utama GTP adalah Penurunan
Jenayah Jalanan sebanyak 13,193 kes, Peningkatan penyertaan Prasekolah mencapai
72.42%, Skor Rasuah CPI menurun kepada 4.5%, sebanyak 44,535 Isi Rumah
dikeluarkan daripada kategori miskin tegar dan 36,273 rumah tambahan dibekalkan
air bersih.Justeru,kita mestilah sentiasa proaktif dalam setiap tindakan agar
transformasi yang diidam-idamkan membuahkan hasil yang cemerlang.Kejayaan dan
kesejahteraan negara tidak akan datang begitu sahaja dengan mudah, transformasi
juga tidak akan terlaksana tanpa daya usaha yang gigih dan kerjasama daripada
seluruh rakyat Malaysia
Dalam
bidang pendidikan transformasi sangat penting kerana perjuangan dalam bidang
pendidikan adalah perjuangan untuk menjamin kelangsungan hidup sesuatu
bangsa,perjuangan untuk mengangkat maruah dan harga diri individu,perjuangan
untuk menjulang negara ke mercu kejayaan dan kecemerlangan.Dengan kewujudan
Sekolah Berprestasi Tinggi diharapkan pendidikan di negara kita seiring dengan
pendidikan bertaraf dunia. Begitu juga dalam bidang perindustrian, negara kita
sudah dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara
lain di seantero dunia.
Mantan
Perdana Menteri ,Tun Dr.Mahathir pernah menegaskan bahawa `kita perlu
membangunkan negara bangsa Malaysia,tetapi mengikut acuan kita sendiri’.Acuan
atau model yang cuba ditanamkan menekankan pembangunan yang menyeluruh,seimbang
dan sepadu antara keperluan-keperluan rohani dan jasmani,serta duniawi dan
ukhrawi,iaitu selaras dengan konsep pembangunan kemanusiaan yang hakiki,lengkap
dan sempurna. Lantaran itu,dengan kewujudan 1Malaysia,dapat mengukuhkan lagi
pembangunan negara bangsa ini dalam konsep 1Malaysia yang mahu mewujudkan
transformasi ke arah merealisasikan hasrat pemimpin-pemimpin terdahulu yang
mahu melihat integrasi antara kaum di negara kita menjadi semakin
kukuh.Malah,jurang antara penduduk di luar bandar dan di bandar juga dapat
dirapatkan.
Akhir
sekali, Marilah kita semua bersatu dan berpadu tenaga untuk menjayakan agenda
transformasi negara demi kesejahteraan rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment