Followers

Saturday, December 8, 2012

1 MALAYSIA TERAS PERPADUAN NEGARA


Dalam kerancakan penduduk jagatraya berjalan bersama-sama bayang-bayang keharmonian, riang berlagu gembira, pemimpin diumpamakan sebagai jantung sesebuah negara. Pemimpin perlu bijak mengorak langkah proaktif untuk mengekalkan kestabilan keharmonian dan keamanan negara.. Umum mengetahui, keunikan Malaysia adalah bersandarkan kesejahteraan hidup kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan keamanan sejagat. Perpaduan menjadi elemen penting dan merupakan cerucuk dominan dalam mengekalkan keamanan. Oleh hal yang demikian, idea yang dilontar dan dilemparkan oleh Perdana Menteri Malaysia kelima, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam mengetengahkan gagasan 1 Malaysia merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh tampuk kepimpinan yang lain. 1 Malaysia mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. 1 Malaysia dikatakan membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia menjalinkan perpaduan yang lebih erat. Sekadar memetik kata-kata Datuk Seri Najib, beliau berbicara “saya berharap semua rakyat Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk membina satu Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik”. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.


Konsep 1 Malaysia telah menjadi asas pegangan dalam menjaga keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Umum mengetahui, perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset yang patut dibanggakan. Disini jelas menunjukkan bahawa negara mengekalkan keadilan setiap kaum tanpa mengubah pegangan dan cara hidup mereka. Rakyat diberi kebebasan dalam menentukan pegangan hidup masing-masing tanpa sebarang halangan. Memetik kata-kata daripada seorang peguam di Indonesia, beliau berkata “keadilan yang hakiki hanya ada disyurga, tetapi kita di dunia cuba hampiri ke tahap itu”. Justeru, kelebihan yang diperoleh apabila menjadi warga Malaysia seharusnya diiringi dengan rasa syukur kerana diberi peluang untuk hidup dalam suasana harmoni tanpa sebarang diskriminasi.


Seterusnya, 1 Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, mahupun India, sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Kita tidak mahu negara gah dengan kemodenan berkelas pertama tetapi masyarakat masih mengamalkan gaya hidup berkelas ketiga lantaran ketempangan sikap saling menghormati. Masyarakat Melayu misalnya, perlu menghormati pegangan dan kepercayaan bangsa lain dan begitu juga sebaliknya kerana setiap bangsa mempunyai amalan dan kepercayaan yang tersendiri . Kita tidak boleh bersikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dengan mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain. Di sinilah pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama tiga kelompok berbeza adalah suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang enteng kerana setiap perlakuan dan tutur kata perlu dijaga rapi. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan.


Pemimpin perlu bijak dalam memainkan peranan untuk membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan dan keharmonian negara. Apakah ikatan dan jalinan ini akan berterusan jika ada rakyat yang tidak tahu menilai perpaduan negara?. Oleh yang demikian, konsep 1 Malaysia yang diketengahkan mampu menyemai sikap saling bekerjasama sesama rakyat. Sekadar mengambil contoh daripada persekitaran sekeliling, rakyat Malaysia mampu menjalankan urusan perniagaan secara perkongsian walaupun berbeza bangsa. Selain itu, jika dinilai dari alam persekolahan, sekolah-sekolah Cina tidak lagi hanya didiami oleh bangsa tersebut semata-mata, malahan anak-anak Melayu dan India turut menuntut di sekolah yang sama. Begitu juga dengan bangsa India, mereka tidak hanya tertumpu kepada sekolah jenis kebangsaan tamil atau SJK(T) sahaja. Di sini jelas menunjukkan bahawa sikap kerjasama tidak hanya wujud dalam golongan profesional sahaja, anak-anak di bawah umur mahupun belia-belia harapan bangsa turut mampu mengamalkan sikap saling bekerjasama antara satu sama lain. Oleh hal yang demikian, konsep 1 Malaysia membantu memepertingkatkan lagi sikap tersebut seterusnya perpaduan negara lebih mudah dicapai.


Ketulusan dan keterbukaan sikap rakyat Malaysia hidup dalam kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa sering menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia yang kagum dengan perpaduan yang dikecapi. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia. Teras perpaduan yang diterapkan iaitu penerimaan. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif iaitu dengan menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan dan kadangkala diterima dengan tidak jujur. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa sahaja perkara baik dan mendapat persetujuan secara kesepakatan. Penerimaan semua kaum mendapatkan apa yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Justeru, perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

Tuntasnya, konsep satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama-sama memajukan negara. Rakyat perlu menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada negara sebagaimana setianya Hang Tuah kepada sultan. Kerajaan khususnya perlu menagih komitmen dan pengertian menyeluruh semua pihak terhadap kepentingan perpaduan negara dan peranan gagasan 1 Malaysia dalam membantu merealisasikan impian dalam membentuk sebuah negara bangsa. Keharmonian negara yang dikecapi dan keamanan menyirup udara segar hasil kemerdekaan perlu dikekalkan supaya keaman dan perpaduan ini tetap berterusan hingga generasi akan datang. Mantan Perdana Menteri Indonesia ada menyatakan, “jika ingin melihat generasi pada masa akan datang, lihatlah generasi pada hari ini.

No comments:

Post a Comment