Followers

Saturday, December 8, 2012

Faktor-faktor yang menentukan kejayaan seseorang pelajar.


Peribahasa  ‘berusaha tangga kejayaan’ perlu dijadikan pegangan sesiapa sahaja yang ingin mengecapi kejayaan dalam hidup ini. Seseorang pelajar yang ingin berjaya perlu berusaha dengan gigih bagi merealisasikan impiannya.

            Terdapat banyak faktor yang menentukan kejayaan seseorang pelajar. Antaranya ialah sifat bertanggungjawab, disiplin diri, kebijaksanaan pelajar membahagikan masa, dorongan serta galakan keluarga, ketenangan emosi dan kekuatan minda seseorang pelajar.

            Sifat bertanggungjawab dalam diri seseorang pelajar merupakan faktor yang amat penting bagi menentukan kejayaannya. Sifat bertanggungjawab ini boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu sebagai anak dan pelajar.  Sebagai seorang anak, seorang remaja perlu menghormati orang tuanya serta tahu menjaga diri di mana sahaja dia berada sepanjang waktu. Sebagai anak yang bertanggungjawab, dia pastinya akan sentiasa mahu membahagiakan orang tuanya dan memastikan dia tidak akan menconteng arang ke muka keluarganya. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab juga, seorang remaja tahu mengambil hati orang tuanya seperti dengan membantu ibu melakukan kerja-kerja rumah tanpa disuruh terutama sekali jika ibu bapa keluar bekerja. Pastinya apabila keadaan rumah bersih dan teratur, ibu bapa yang penat sehari suntuk bekerja mencari nafkah akan berasa tenang dan senang apabila mereka pulang dari tempat kerja. Kedamaian yang wujud dalam sesebuah keluarga akan membuat pelajar berasa tenang dan gembira di rumah kerana ‘rumahku, syurgaku.’

            Seorang pelajar yang bertanggungjawab tahu kewajipannya sebagai seorang pelajar. Dia akan memberi sepenuh perhatiannya kepada pengajaran guru di kelas dan bertanya jika dia tidak faham. Dia juga akan mengulangkaji pelajaran secara konsisten. Oleh sebab itu, pelajar yang berjaya sudah bersedia menghadapi peperiksaan dan tidak akan kelam-kabut atau bersengkang-mata demi menyiapkan dirinya untuk menduduki peperiksaan. Seorang pelajar yang bertanggungjawab juga dapat menilai antara sesuatu yang baik dan salah. Dengan demikian, pelajar tersebut dapat menolak pelawaaan teman-temannya sekiranya mereka mengajaknya melakukan sesuatu yang kurang berfaedah. 
           
Selain sifat bertanggungjawab, seorang pelajar yang berjaya perlu ada disiplin diri. Disiplin diri seseorang itu dapat memastikan pelajar tersebut dapat mengatur dan mengimbangi masanya dengan baik antara pelajaran, kegiatan luar darjah dan beriadah bersama kawan atau keluarga. Dengan disiplin diri, seseorang pelajar itu berupaya mengelakkan dirinya daripada melakukan pekerjaan yang tidak berfaedah. Aktiviti yang tidak bermanfaat adalah seperti bersembang di pusat-pusat membeli-belah atau taman, merokok dan berfoya-foya di kelab-kelab.

            Galakan serta dorongan keluarga juga merupakan faktor yang penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Ibu bapa serta ahli keluarga ialah orang yang paling rapat dengan pelajar. Jika seseorang pelajar mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa, dia akan berasa selesa di rumah dan dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajaran. Ibu bapa yang prihatin akan kebajikan serta pelajaran anak-anak mereka juga akan memberikan perhatian serius kepada emosi, minda serta pemakanan anak-anak mereka.

            Pelajar yang berjaya juga tahu menjaga kesihatan mereka dengan menjaga pemakanan  serta beriadah atau bersenam dengan kawan-kawan atau ahli keluarga bagi menenangkan fikiran mereka.  Ini kerana ‘otak yang sihat terletak pada badan yang sihat’.

            Kejayaan yang dikecapi seseorang pelajar itu pastinya hanya dapat diraih sekiranya pelajar tersebut berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’ 

6 comments:

  1. terima kasih cikgu.. sgt2 perlukan isi2 ni untuk ujian lisan minggu depan.. :))

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Isi cikgu amat berguna untuk latihan perbahasan saya.. Terima kasih

    ReplyDelete
  4. isi karangan ini agak bagus dan memerlukan peningkatan jangan terlalu fokus dengan sifat tanggungjawab

    ReplyDelete
  5. isi cikgu penyelamat denda saya tq

    ReplyDelete