Followers

Saturday, December 8, 2012

Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan - Ciri-ciri generasi yang berwawasan



Gambar dibawah ini menunjukkan sebahagian daripada ciri generasi yang berwawasan. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri generasi yang berwawasan. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan

 ü      Bersemangat patriotik
ü      Berusaha membina ilmu
ü      Pantang berputus asa
ü      Inovatif

            Remaja merupakan aset negara. Remaja juga pelapis pemimpin pada masa hadapan. Kepentingan mereka kepada negara tidak dinafikan lagi, apatah lagi dalam usaha kita untuk melangkah ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Apakah ciri-ciri yang perlu ada dalam diri remaja yang berwawasan untuk menyahut Wawasan 2020?
            Ciri pertama dan paling penting adalah mempunyai semangat patriotik. Sebagai warganegara Malaysia yang sejati, remaja harus menyayangi negara ini dengan sepenuh hati tanpa sebarang prasangka. Cara yang boleh dilakukan untuk membuktikan kecintaan terhadap negara dengan mematuhi undang-undang. Di samping itu, para remaja hendaklah sentiasa mendahulukan kepentingan negara dalam apa-apa tindakan. Remaja perlu memahami kandungan Rukun Negara sebagai teras. Penglibatan remaja dalam Program Latihan Khidmat Negara misalnya, merupakan contoh terbaik untuk menanam perasaan cinta akan negara dalam kalangan remaja Malaysia.
            Remaja juga perlu berusaha untuk menuntut  ilmu setiap masa. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menuntut ilmu seperti membaca buku, akhbar, dan majalah, malayari Internet, melalui pengalaman sendiri dan orang lain, dan sebagainya. Selain belajar untuk memperoleh kecemerlangan akademik, remaja boleh meningkatkan kemahiran diri mereka dalam apa-apa bidang yang diminati dengan ilmu yang ada. Yang penting, ilmu yang diterima itu akan menjadikan remaja mampu memberikan sumbangan kepada negara sama ada kecil atau besar. Ilmu dimiliki itu pula seharusnya dimanfaatkan bersama-sama orang lain. Sebagai contoh, remaja yang mempunyai pengetahuan tentang masakan, seharusnya menyebarluaskan ilmunya kepada orang lain.
            Remaja yang berwawasan juga pantang berputus asa. Semasa melakukan aktiviti atau ketika menuntut ilmu tidak dapat dinafikan akan wujud halangan tertentu seperti sukar mempelajari sesuatu perkara, masalah kewangan, kurang dorongan, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, halangan demikian sepatutnya tidak akan melemahkan semangat remaja, sebaliknya perlu diharungi dengan tabah supaya memperoleh kejayaan, bak peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
            Selain itu, remaja perlu inovatif. Remaja yang berwawasan seharusnya sanggup mempelajari dan menguasai pelbagai cabang ilmu, terutamanya ilmu dari negara-negara maju seperti Amerika, Jepun, dan Korea, khususnya penyelidikan dan pengembangan. Ilmu yang dikuasai itu haruslah dapat dikembangkan dalam acuan Malaysia supaya dapat digunakan dalam membangunkan model insan. Jepun dan Korea misalnya, mengambil teknologi dari negara Barat tetapi mereka mengadaptasi teknologi tersebut mengikut acuan persekitaran mereka sehingga produk yang dihasilkan beridentiti mereka dan lebih canggih. Jika remaja kita boleh berbuat demikian, maka tidak hairanlah pemenang Hadiah Nobel akan menjadi milik warga Malaysia suatu hari nanti.
            Kesimpulannya, remaja yang berwawasan haruslah dibentuk oleh semua pihak mulai sekarang agar mereka dapat menjadi warga Malaysia yang berkualiti dan unggul. Remaja sendiri perlu mempunyai kekuatan diri untuk melakukan perubahan, bukannya menunggu orang lain untuk mengubahnya.

8 comments: