Followers

Wednesday, July 24, 2013

Beli barang pabila perlu,
Jangan gopoh jangan melulu.

Salah memilih membawa padah,
nanti menyesal tak sudah-sudah.

Alah membeli menang memakai,
kesal tak sudah jika diabai.

Pabila hati sudah terpikat,
Tawar dahulu jangan terikat.

Jika kita hendak berbelanja,
Janganlah habiskan duit yang ada.

Alang-alang membeli barangan,
Pilih yang asli bukan tiruan.

Kalau berbelanja berpada-pada,
Elakkan boros dan juga alpa.

Kalau membeli terasa ragu,
Tanyalah pada mereka yang tahu.
                                                                                     
            Gurindam atas merujuk kepada sikap pengguna apabila membeli sesuatu barangan atau mendapat perkhidmatan. Persoalannya, siapakah pengguna? Pengguna merujuk kepada individu atau sesiapa yang menggunakan barangan, perkhidmatan, atau alam sumber semula jadi untuk memenuhi keperluan dan kemahuan masing-masing. Merujuk konsep ekonomi, pengguna ialah setiap orang yang mendapatkan barangan dan perkhidmatan dari pasaran untuk kegunaan dirinya dan keluarganya. Secara mudah kita lihat pengguna dan konsep kepenggunaan ini dalam konteks yang paling mikro iaitu diri sendiri, kita sebagai individu ialah pengguna tanpa mengira siapa sebenarnya kedudukan kita dalam masyarakat sekeliling. Sebahagian besar daripada perkara yang kita gunakan adalah hasil usaha orang lain sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.Selain itu, isu kepenggunaan dalam kalangan pengguna sering diuar-uarkan dalam media cetak dan media elektronik. Bukan itu sahaja, isu ini juga saban hari menjadi polemik yang hangat diperdebatkan di negara kita.  Konsumerisme atau kepenggunaan merujuk kepada segala kegiatan yang dilakukan oleh orang ramai untuk menjaga hak dan kepentingan mereka sebagai pengguna.

            Sebagai pengguna kita memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara kerana tujuan pengeluaran barangan atau perkhidmatan hanyalah satu iaitu pengguna. Pengeluar atau penjual memerlukan maklumat-maklumat tentang apakah dorongan-dorongan yang membuat pengguna memilih dan membeli barangan atau perkhidmatan tertentu. Pengguna yang dimaksudkan di sini ialah pengguna akhir atau “ultimate consumer” kerana di pasaran juga terdapat pembeli yang membeli barangan secara borong atau pukal dengan tujuan untuk menjual barangan itu semula atau pembeli bahan mentah yang memerlukan pernerosesan sebelum dijual kepada pengguna terakhir. Kepuasan keperluan adalah asas kepada pembelian barang-barang dan perkhidmatan di pasaran. Keperluan ini terbahagi kepada dua iaitu keperluan primer dan keperluan sekunder. Keperluan primer adalah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang asasi. Manakala keperluan sekunder pula adalah berkaitan dengan personaliti dan perlakuan sosial seseorang misalnya pembelian barangan atau perkhidmatan yang bertujuan menonjolkan sesuatu imej atau status kepada orang lain dengan tujuan mendapatkan pengiktirafan sosial. Kadangkala dorongan terhadap keperluan berbentuk sekunder menjadi begitu penting kepada pengguna dan mengatasi keperluan primer. Sering kali juga keperluan sekunder juga dikenali sebagai kehendak “ I wants “ yang pada kebiasaannya adalah tidak terbatas .

            Kajian Profil Pengguna oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun lepas mendapati hanya 58 peratus, pengguna Malaysia yang mempunyai tahap kesedaran kepenggunaan yang rendah. Hal ini demikian kerana para pengguna kurang mengambil tahu tentang hak dan kepentingan penguna yang termasuklah kegiatan menyorok barang-barang dengan tujuan menaikkan harga, tiada tanda harga pada barangan yang dijual yang sepatutnya mempunyai tanda harga, pelabelan harga yang tidak lengkap, sukatan atau timbangan yang tidak mencukupi seperti yang didakwa dan barangan palsu,haram serta halal. Kesedaran pengguna terhadap hak-hak dan kewajipan mereka sebagai pengguna pada hakikatnya adalah merupakan masalah asas kepada pengguna. Selagi sebelum timbul kesedaran dalam kalangan pengguna terhadap peranan dan tanggungjawab mereka, selagi itulah usaha-usaha pergerakan pengguna dan kerajaan untuk melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna serta usaha-usaha kerajaan untuk membendung inflasi tidak dapat mencapai matlamatnya dengan berkesan. Masalah yang dihadapi oleh pengguna adalah terlalu banyak. Walau bagaimanapun, masalah-masalah yang dihadapi adalah bersabit daripada usaha pengguna untuk mendapatkan hak-hak mereka sebagai pengguna yang berpunca kegagalan sistem pasaran dan institusi-institusi di dalamnya memberikan segala hak yang sepatutnya diperoleh oleh pengguna. Tidak ramai antara pengguna di negara ini yang memberi perhatian terhadap hak-hak mereka yang diperuntukan dalam undang-undang sebelum pengguna membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan di pasaran. Institusi dan peranan perlindungan pengguna yang ada di negara ini yang berfungsi untuk melindungi kepentingan mereka seperti Majlis Hal Ehwal Pengguna Kebangsaan ( MHEPK) , Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Persatuan pengguna. Pendek kata, amalan seorang pengguna yang baik dan bijak ialah membuat imbangan antara tanggungjawabnya sebagai pengguna dan dalam masa menuntut apa yang sepatutnya mereka berhak mendapatnya .
            Pada masa ini, lapan hak asasi pengguna ini telah diterima secara universal. Selain mengiktiraf 15 Mac sebagai Hari Hak Pengguna Sedunia, aspek-aspek hak asasi pengguna ini diambil kira apabila negara menggubal, meminda atau mengkaji semula sesuatu undang-undang yang ada hubung kait dengan pengguna. Satu daripada hak pengguna iaitu hak untuk mendapat maklumat. Pengguna adalah berhak meklumat yang jelas mengenai kegunaan bahan-bahan yang terkandung dan cara perniagaan barang atau perkhidmatan. Hak untuk membuat pilihan  bermaksud pengguna adalah berhak diberi peluang memilih barang-barang atau perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan mutu yang memuaskan setiap kali pengguna membeli barangan atau perkhidmatan. Hak untuk menyuarakan pendapat iaitu pengguna adalah berhak menyuarakan pendapat apabila tidak berpuas hati terdap barangan atau perkhidmatan yang diperolehi iaitu tidak mendapat perkhidmatan yang sewajarnya. Pengguna adalah berhak kepada barangan dan perkhidmatan asas kehidupan seperti makanan,pakaian,perumahan,kesihatan dan lain-lain. Hal ini bermakna bahawa sebagai seseorang pengguna kita adalah berhak untuk mendapat keperluan asas. Pengguna adalah berhak untuk mendapat ganti rugi disebabkan barangan yang bermutu rendah atua perkhidmatan yang tidak berpuas hati. Hak untuk mendapat pendidikan pengguna, pengguan adalah berhak dan bertanggungjawab mendapatkan pendidikan pengguna supaya boleh bertindak sebagai pengguna yang baik. Pengguan juga berhak untuk mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat. Konklusinya, hak-hak pengguna akan dipertahahkan dengan cemerlang dalam jangka masa penjang melalui pendidikan. Pengguna yang peka dan mempunyai pengetahuan yang memadai dan pergerakan pengguna yang sihat akan menyediakan stimulus yang berharga kepada peniaga untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan yang berkualiti.
 
Setelah pengguna mengetahui dan memahami apakah hak-hak mereka , maka pengguna harus bertindak memastikan hak diperoleh mereka. Bagi memperoleh hak-hak itu, pengguna harus mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanpa tanggungjawab, hak-hak pengguna tidak dapat diperolehi. Hal ini bermakna pengguna perlu menunaikan tanggungjawab mereka sebgai pengguna.Terdapat lima tanggungjwab yang perlu dilaksanakan oleh pengguna bagi memperoleh hak-hak mereka. Lima tanggungjwab adalah seperti kesedaran mengkritik, penglibatan dan tindakan, tanggungjawab sosial, tanggungjawab alam semulajadi dan bersatu padu. Pengguna mestilah disedarkan untuk lebih mengkritik tentang mutu dan nilai sesuatu barang serta perkhidmatan.Situasi ini bermakna jika didapati barangan yang diterima adalah dalam keadaan yang tidak sempurna,pengguna mestilah menyuarakan pendapat bagi mendapat barang yang sempurna bukan berdiam diri. Terangnya, pengguna mesti bertindak dengan rasa penuh bertanggungjawab sosial dengan kewajipan dan bertimbang rasa supaya tindak-tanduk mereka tidak akan menjejaskan golongan rakyat yang kurang bernasib baik mengenai hakikat ekonomi dan sosial yang sedia ada.
     

Konklusinya, ilmu kepenggunaan amatlah penting dan patut dikuasai oleh masyarakat Malaysia. Semua pihak seharusnya berganding bahu untuk menyebarkan ilmu berharga tersebut kepada penduduk negara agar rakyat negara kita lebih berilmu dan pandai mengurus kewangan sendiri. Ingatlah, pengguna yang bijak dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, marilah kita menjadi pengguna yang bestari lagi lestari. Diharapkan menjelang 2020, pengguna Malaysia akan mampu melaksanakan perlindungan kendiri dan peniaga akan menjalankan kawal selia kendiri dalam menjalankan tangungjawab dan hak mereka.


   
SET 2 
(e)       Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
1)        Hidupnya begitu sukar untuk diteruskan kerana dia terpaksa bekerja pada setiap masa untuk sesuap nasi. Untuk meneruskan kehidupan, dia terpaksa bekerja tanpa usaha rezeki tidak akan menjelma. Apabila sudah mendapat rezeki, dia perlu berusaha dengan lebih gigih lagi kerana rezeki yang sedikit tidak akan menjadi banyak atau bertambah jika dia tidak melipatgandakan usaha.
2)        Setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya, dia sering berwaspada semasa memandu. Sejak peristiwa itu, dia sentiasa mengingatkan rakan-rakannya supaya sentiasa berwaspada sebelum sesuatu kesusahan melanda. Sekarang dia sedar bahawa sesuatu peristiwa yang berlaku akan membawa penyesalan yang berpanjangan.
3)        Sudah lima buah kedai kain yang dimasuki oleh Zarina, tetapi belum ada kain yang dibelinya, Dia tidak dapat memilih mana satu baju yang hendak dibeli kerana semuanya kelihatan cantik di matanya. Akhirnya, suaminya, Roslan, yang sejak tadi mengekori Zarina berasa marah kerana isterinya belum membeli sehelai kain pun setelah hampir dua jam dia keluar masuk kedai kain. Apabila melihat suaminya marah, Zarina terus membatalkan niatnya untuk membeli kain.
4)        Sudah puas Mak Lijah menasihati anak angkatnya, Tahir supaya tidak bercampur dengan budak-budak nakal. Namun begitu, semua nasihat mak Lijah tidak dipedulikan oleh Tahir. Tahir tahu Mak Lijah dan suaminya telah memeliharanya sejak berumur empat tahun, iaitu sejak ibu bapanya mati dalam kemalangan jalan raya. Tahir tidak pernah mengenang jasa Mak Lijah. Pada suatu malam, Tahir terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika berlumba haram. Kedua-dua kakinya patah. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat Mak Lijah. Tetapi, penyesalannya sudah terlambat.
5)        Setelah dua tahun bercinta, akhirnya Jamal dan Jamilah pun bernikah. Semasa bersanding, semua orang memuji bahawa mereka pasangan suami isteri yang sepadan. Namun begitu, enam bulan kemudian Jamilah berasa kasih saying suaminya seolah-olah terhakis. Suaminya selalu keluar ke merata-rata tempat sehingga dua tiga hari dengan alasan membuat kerja luar. Jamilah berasa seolah-olah suaminya berlaku curang kepadanya. Andaiannya itu menjadi kenyataan apabila sahabatnya, Anita memberitahu bahawa Jamal telah berkahwin dengan Kamaliah, kekasih lamanya. Anita menunjukkan gambar-gambar perkahwinan mereka. Anita memiliki gambar-gambar itu kerana Kamaliah sepupunya. Jamilah yang sedang hamil empat bulan menangis tersedu-sedu. Perasaan remuk- rendam.
6)        Basri dan Kudin ialah anak Pak Murad dan Mak Tipah. Mereka mempunyai pewatakan yang jauh berbeza. Basri sangat tekun bekerja. Dia bekerja dari pagi hingga ke petang untuk mencari rezeki. Kudin sangat malas. Sudahlah pulang lewat malam, bangun pula ketika hari sudah tinggi, Satu kerja pun tidak dilakukannya.
7)        Sepanjang hidup Bujal tidak pernah melancong ke mana-mana. Oleh itu, dia tidak tahu hal-hal yang berlaku di luar kampungnya. Dia amat gembira apabila mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajarannya di Britain. Kesempatan itu tidak akan dilepaskannya. Walaupun dia ditawarkan meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan, namun dia menolaknya kerana tahu kemampuannya lebih menyerlah dalam bidang ekonomi.
8)        Tuan Haji Bakhil merupakan orang yang terkaya di kampungnya. Dia tidak pernah menghulurkan bantuan kepada sesiapa pun dan enggan berbelanja walaupun banyak wang kerana dia sangat kedekut. Perkara itu telah menjadi topik hangat yang diperkatakan oleh semua penduduk kampung. Isu itu masih berterusan sehingga kini. Satu lagi fiil buruk Tuan Haji Bakhil  ialah tidak suka bergaul dengan penduduk-penduduk kampung yang lain.
9)        Golongan belia dinasihati agar mengikuti perkembangan teknologi moden hari ini dan memanfaatkannya ke arah yang positif. Seiring dengan era globalisasi teknologi maklumat dan komunikasi sewajarnya mereka membuka minda dan melihat bangsa dan negara lain yang telah maju. Jangan hanya melihat sudut yang sempit atau sekeliling mereka sahaja.Setelah mendapat ilmu dan kemahiran mereka perlu mengaplikasikan pula agar mendapat faedahnya kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak memberi faedah juga.

10)      Johan telah ditangkap kerana mencuri barangan besi dari rumah jiran-jirannya. Perbuatannya itu telah lama dilakukan tetapi akhirnya terbongkar juga dan kini dia tertangkap. Setelah tertangkap baharulah dia sedar perbuatan buruk yang dilakukan dan dia insaf serta berjanji tidak akan melakukan perbuatan tersebut lagi. Dia juga menerima nasihat keluarganya supaya ikut yang baik, perbuatan buruk pula dihindari. Walaupun begitu dia tetap dihukum atas perbuatan yang dilakukan.