Followers

Saturday, December 8, 2012

ESEI : PERANAN IBU BAPA MENERAPKAN AMALAN MENABUNG


Tajuk - Peranan ibu bapa menerapkan amalan menabung dalam kalangan anak-anak


Melentur buluh biarlah daripada rebungnya merupakan peribahasa yang sangat sinonim dalam kehidupan pada zaman moden kini. Peribahasa ini amat bertepatan jika merujuk pada peranan ibu bapa dalam menerapkan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil. Sememangnya, amalan menabung sangat penting dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran kini. Tanpa menabung, ibu bapa akan menghadapi masalah jika anak-anak mereka ingin melanjutkan pelajaran nanti. Ibu bapa juga akan menghadapi situasi yang merumitkan jika kecemasan berlaku secara tiba-tiba. Jawapan kepada permasalahan ini adalah melalui amalan menabung yang seharusnya dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak kecil.


Ibu bapa memainkan peranan yang sangat dominan dalam menerapkan amalan menabung kepada anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak akan berbelanja mengikut kehendak mereka jika tiada pemantauan daripada ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengawal perbelanjaan harian anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak berbelanja mengikut keperluan dan bukannya kemahuan. Sebagai contoh, ibu bapa perlu memastikan anak-anak menggunakan wang perbelanjaan persekolahan mereka untuk membeli makanan dan minuman di sekolah,  membayar tambang pengangkutan dan menyimpan di dalam tabung setelah pulang dari sekolah. Wang yang diberikan tidak boleh melebihi perbelanjaan harian anak-anak mereka. Apabila anak-anak mereka pulang, ibu bapa perlu menanyakan perbelanjaan anak-anak mereka di sekolah dan memastikan anak-anak memasukkan wang ke dalam tabung jika ada lebihan. Jika ibu bapa melakukan amalan ini secara istiqamah sejak anak-anak mereka kecil amalan menabung dapat diterapkan dalam diri anak-anak. Pakar motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah pernah menyatakan bahawa anak-anak perlu diasuh dengan amalan murni dan nilai keagamaan sejak mereka masih bayi lagi kerana amalan tersebut akan menjadi tabiat apabila mereka besar nanti. Kata-kata tersebut sangat tepat kerana anak-anak dilahirkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang akan menentukan coraknya. Jika ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka mampu menguruskan kewangan dengan baik maka bentuklah mereka bermula sejak kecil lagi. Jadi, amalan menabung mampu diterapkan dalam diri anak-anak jika ibu bapa memantau perbelanjaan harian mereka.


Amalan menabung juga dapat diterapkan dalam diri anak-anak jika ibu bapa menjadi suri teladan dan model kepada anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan orang yang berpengaruh dalam kehidupan anak-anak. Setiap perlakuan dan pergerakan ibu bapa akan dilihat oleh anak-anak mereka. Dalam hal menabung, ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak supaya amalan menabung dapat ditiru oleh anak-anak mereka. Peribahasa bapa borek anak rintik dan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi amat bertepatan dalam hal ini. Setiap perlakuan ibu bapa akan menjadi contoh kepada anak-anak mereka apabila mereka dewasa nanti. Ibu bapa perlu menunjukkan perlakuan yang positif di hadapan anak-anak mereka. Sebagai contoh, setelah pulang daripada pejabat ibu bapa hendaklah memasukkan wang syiling ke dalam tabung di rumah. Jika ibu bapa melakukan amalan ini di hadapan anak-anak mereka sejak kecil maka tabiat itu akan ditiru oleh anak-anak mereka. Perbuatan ibu bapa itu akan menimbulkan minat dalam diri anak-anak. Perkara ini tidak mustahil jika anak-anak mereka akan mencari bekas untuk dijadikan tabung dan memasukkan wang syiling ke dalam bekas tersebut apabila pulang daripada sekolah. Amalan ini akan menjadi budaya kepada anak-anak apabila mereka dewasa nanti. Tan Sri Hamad Kama Piah, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) semasa melancarkan Amanah Saham Nasional 1Malaysia pernah mengingatkan ibu bapa supaya menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) agar masa hadapan anak-anak terjamin dalam pendidikan. Oleh itu, amalan menabung dalam kalangan anak-anak dapat dipupuk jika ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak mereka. 

3 comments: