Followers

Wednesday, April 20, 2011

Karangan SPM-Soalan B

Sektor pertanian merupakan nadi terpenting dalam membangunkan ekonomi negara. Berikan saranan anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk merancakkan industri pertanian negara ini.

Apabila direnungkan kembali kepada sejarah silam, negara bangsa yang bangun di wilayah Nusantara secara keseluruhannya berasaskan komuniti pertanian. Oleh hal yang demikian, sektor pertanian menjadi nadi dan jantung kepada masyarakat awal bukan sahaja di wilayah Nusantara malah di mana-mana peradaban manusia terbentuk. Antara masyarakat maritim dengan agraria, masing-masing saling memerlukan. Walau bagaimanapun setelah berlaku revolusi dan penjanaan mental, manusia mula mengembangkan sayap kegiatan ekonomi dengan memasuki sektor industri. Kerencaman pelbagai strata hidup akhirnya membentuk suatu pola baru, iaitu masyarakat multiekonomi. Akhirnya, bidang pertanian telah ditinggalkan dan menjadi aktiviti sara diri terutama di wilayah yang tidak menerima pengaruh Revolusi Industri dari Barat sahaja.

Kini, setelah memasuki abad ke-21, Malaysia yang suatu ketika dahulu dikenal sebagai negara ekonomi tani konservatif mula mengorak langkah untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sinergi atau enjin kedua untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Usaha tersebut selaras dengan dasar kepemimpinan baru yang ditunjangi oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sesungguhnya, gagasan dan wawasan kerajaan itu amatlah relevan pada masanya setelah negara terpaksa berbelanja melebihi RM15 bilion setahun untuk mengimport barangan makanan. Walau bagaimanapun, sebelum sektor ekonomi tradisional ini dapat dilonjakkan semula ke taraf industri, banyak kerja yang harus dilaksanakan. Tidak dinafikan sektor ini boleh mencapai kualiti industri, namun usaha bersepadu semua pihak hendaklah digemblengkan lebih dahulu.

Peranan terpenting ialah peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan sendiri. Kerajaan hendaklah mempunyai polisi yang jelas dengan menggubal dasar pertanian negara. Dasar tersebut yang memberikan tumpuan khusus terhadap usaha membangunkan potensi pertanian hendaklah mendapat suntikan daripada dasar Tanah Negara yang lebih kondusif ke arah memajukan sektor pertanian. Langkah tersebut amatlah mustahak agar tanah-tanah milik kerajaan negeri dan swasta dapat dibangunkan untuk projek-projek pertanian berskala besar. Penjenamaan semula Kementerian Pertanian dengan imej baru, iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited untuk memajukan sektor pertanian. Selain penjenamaan semula, kementerian tersebut telah diletakkan di bawah jagaan menteri senior lagi berpengalaman, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini setelah empat tahun, sektor pertanian kembali mendapat nafas baru dengan pelbagai insentif dan projek pertanian berskala besar mula beroperasi.

Setelah terperap lama di dalam kepompong budaya jumud yang meletakkan petani sebagai entiti masyarakat yang tidak berdaya saing dan tidak produktif, program motivasi dan kursus pertanian untuk petani-petani hendaklah digemblengkan. Para petani hendaklah diberitahu dan dimotivasikan bahawa rakan-rakan mereka seperti di Thailand dan di negara-negara maju telah lama menjadi kaya-raya hasil pendapatan daripada bidang pertanian. Oleh itu, kursus-kursus yang berasaskan motivasi dan teknik memodenkan pertanian dan pengurusan ladang hendaklah dijalankan dengan lebih agresif oleh agensi kerajaan dan pihak swasta. Para petani yang sudah pasif dengan cara hidup tradisional perlu didedahkan dengan suatu gaya hidup baru. Mereka hendaklah dibawa melawat ke ladang-ladang pertanian di negara-negara maju untuk membuka minda. Selain itu, barangkali kita sudah lupa dan terbawa-bawa dengan sikap berat sebelah dengan hanya mengagung-agungkan golongan birokrat, teknokrat, dan korporat dalam memberikan apa-apa anugerah bertaraf negara. Dalam hal ini, golongan tani yang telah sekian lama bergelumang dengan peluh dan lumpur hendaklah diberi pengiktirafan dan anugerah bertaraf negara juga.




Selain mengubah pandangan golongan tani, usaha positif untuk memberikan nafas baru kepada bidang ini hendaklah dilakukan dengan cara merancang program pemasaran yang lebih intensif dan
efektif. Dalam dunia global kini, pemikiran bekerja secara secukup hidup hendaklah ditukar kepada kegiatan komersial yang lebih menguntungkan. Dengan cara ini, barulah paradigma mentaliti golongan tani dapat diubah kepada bertani untuk tujuan eksport. Sebelum operasi eksport dapat dijalankan, justeru usaha mempertingkatkan kualiti produk perlu diutamakan. Semua pihak terutamanya agensi pertanian hendaklah meneruskan aktiviti R&D (penyelidikan dan pembangunan) agar hasil keluaran pertanian negara mencapai kualiti yang ditetapkan oleh agensi pertanian antarabangsa. Usaha pelabelan “Malaysia Best” adalah sebahagian daripada usaha memberikan jaminan kualiti kepada hasil keluaran pertanian negara. Langkah ini sudah pasti memberikan nafas baru kepada program pemasaran petani negara agar produk mereka dapat dipasarkan ke pasaran global dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Generasi muda adalah tenaga penggerak utama industri pertanian negara. Golongan ini haruslah direvolusikan minda mereka agar dapat melihat bahawa pertanian adalah sektor yang dapat mengangkat martabat mereka menjadi korporat muda. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kurangnya minat menceburi bidang pertanian khususnya dalam kalangan golongan muda amat berkait rapat dengan trend masyarakat kini yang sudah banyak beralih daripada ekonomi agraria kepada bidang perindustrian. Sikap masyarakat yang memandang tinggi terhadap kerja-kerja pejabat dan bidang kerja yang lebih profesional telah jauh meninggalkan minat untuk berselimut dengan lumpur dan bermandi peluh. Peralihan status tersebut menyebabkan bidang pertanian dianggap sebagai aktiviti kuno dan hanya layak diusahakan oleh golongan yang tidak berilmu dan golongan daif yang tinggal di hujung-hujung kampung. Oleh itu, suatu revolusi mental untuk menganjak paradigma remaja untuk menceburi sektor pertanian hendaklah bermula dari peringkat sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi.

Bak kata pujangga Aminuddin Baki, “Ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kiasan tersebut memberikan tamparan pedas bahawa apa-apa bidang sekalipun jika tidak diusahakan dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak akan dapat mengubah corak hidup termasuklah segelintir golongan tani yang masih berfikiran jumud. Sesungguhnya, sektor pertanian menjanjikan harapan yang cerah untuk menjanakan semula ekonomi negara yang selama ini terlalu bergantung pada industri pembuatan dan petroleum.

8 comments:

  1. cikgu, boleh tidak berikan contoh karangan untuk karangan ini >> menarik minat generasi muda dalam sektor pertanian.

    ReplyDelete
  2. cikgu,terima kasih atas blogspot cikgu ini..

    ReplyDelete
  3. Terima kasih cikgu atas pertolongan cikgu ini! Semoga cikgu dan keluarga dirahmati Allah swt. Amin :-)

    ReplyDelete
  4. Terima kasih banyak2
    Sangat membantu

    ReplyDelete
  5. baru lepas jwb pt3 terus dtg tgk web
    ni

    ReplyDelete
  6. TERIMA KASIIIIIIIIIIIIIIIIHHHHHHHHHHHHHHHHH

    ReplyDelete