Langkah-Langkah Bagi Mengelakkan Diri Daripada Jenayah Ragut
Sejak dua tiga tahun belakangan ini kegiatan jenayah semakin menjadi-jadi khususnya jenayah ragut.Jenayah ini paling ketara berlaku di bandar-bandar besar. dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.Yang lebih membimbangkan ada kalangan mangsa jenayah ragut kehilangan nyawa sebagai akibat kerakusan penjenayah yang tidak berperikemanusiaan. Oleh itu,beberapa langkah perlu diambil untuk mengurangkan jenayah ini.
Pertamanya,kaum wanita disaran agar tidak membawa beg atau tas tangan dan memakai barang kemas yang banyak ketika keluar bersiar-siar atau membeli-belah di gedung-gedung perniagaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga yang lain.Cukuplah dengan membawa dompet kecil yang dapat disimpan di dalam saku pakaian agar tidak mudah dilihat.
Seterusnya,jika anda benar-benar perlu membawa beg tangan,jangan sekali-kali menyimpan wang yang banyak di dalamnya. Pastikan bahawa anda membawa wang yang secukupnya saja.Jika ada kad kredit,gunakanlah untuk berurusan sama ada untuk membeli-belah atau membayar bil-bil utiliti,tetapi perlu diingat bahawa penggunaan kad kredit memerlukan disiplin diri yang tinggi. Walaupun cara ini menyulitkan,namun cara ini dapat menjamin keselamatan diri.
Seperkara lagi,kaum wanita juga diingatkan agar tidak melalui kawasan yang sunyi atau laluan yang menjadi tumpuan penjenayah ragut.Gunakan laluan yang menjadi pilihan orang ramai. Laluan yang menjadi tumpuan orang ramai jarang-jarang menjadi kawasan sasaran penjenayah.Hal ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan kes ragut yang berlaku di negara kita terjadi di kawasan laluan sunyi.
Secara tuntasnya,kegiatan jenayah ragut harus diberantas segera sebelum jenayah ini merebak ibarat penyakit barah yang menyerang. Hal ini sekali gus dapat menenangkan hati orang ramai terutamanya kaum wanita yang terpaksa keluar rumah untuk bekerja,membeli-belah atau kerana urusan lain.
No comments:
Post a Comment