Followers

Wednesday, April 20, 2011

Semangat Kejiranan Semakin Pudar

Semangat Kejiranan Semakin Pudar?

Hidup bermasyarakat merupakan tuntutan semula jadi dan menjadi keperluan kepada manusia.Oleh itu,timbullah keinginan nurani untuk hidup berjiran dan bergaul bagi mencapai kegembiraan hidup.Jiran tetangga merupakan orang yang paling dekat dengan diri kita.Semua orang yang tinggal berdekatan dengan kita hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru,mereka itulah yang dikatakan jiran.Bagi menjamin keharmonian awam, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga merupakan amalan yang mulia.Malahan dituntut oleh setiap agama.

Hubungan yang erat merupakan antara ciri masyarakat yang berkualiti,iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka,bahkan menjadi aset penting kepada negara dalam usaha membangun dan memajukan negara.Bak kata pepatah “Kuat akar kerana tunjang,kuat tunjang kerana akar”.Oleh itu,semangat kejiranan amat penting dalam memupuk perpaduan antara kaum di negara kita agar dapat menjamin kestabilan politik,ekonomi dan sosial.Sesungguhnya, perpaduan tidak akan dicapai tanpa semangat kejiranan.

Namun semangat kejiranan pada hari semakin pudar.Hubungan kemasyarakatan yang renggang ini ada kaitannya dengan sikap masyarakat hari ini yang lebih cenderung untuk hidup bersendirian tanpa gangguan orang lain.Malahan terdapat tanggapan bahawa kemewahan yang dikecap sudah memadai bagi mereka untuk menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung pada orang lain.Masyarakat sekarang ibarat “enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”.

Selain itu,aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kejiranan juga semakin kurang.Hal ini berlaku kerana,masyarakat kini lebih mengutamakan sikap keakuan dan enggan mempedulikan perkara yang berlaku di luar rumah yang tiada kaitan dengan mereka.Di samping itu,aktiviti kemasyarakatan seperti menjayakan majlis kenduri-kendara semakin dilupakan.Adat resam ini telah pupus mengikut peredaran masa. Kini,amalan bekerjasama untuk menjayakan majlis kenduri telah diambil alih oleh orang perseorangan ataupun restoran dan hotel melalui tempahan yang diterima.Keadaan ini telah menutup peluang anggota masyarakat untuk menyumbang tenaga secara besama-sama sedangkan aktiviti –aktiviti seperti itulah yang memberikan kesempatan kepada mereka untuk bertemu dan menjalinkan kemesraan.

Orang tua-tua pernah berkata bahawa jiran tetangga yang baik merupakan adik-beradik kita di dunia dan di akhirat.Hal ini kerana ketika kita berada dalam kesusahan terutamanya ketika ditimpa kemalangan,merekalah orang pertama yang akan datang menghulurkan bantuan kepada kita sebelum adik-beradik atau saudara-mara kita datang.Tambahan pula pada zaman ini jarang benar kedapatan adik-beradik duduk berjiran dengan kita seperti di kampung.Oleh sebab itu, jiran amat penting dalam kehidupan kita,seperti kata pepatah “bulat air kerana pembentung,bulat manusia kerana muafakat” ataupun “jiran sepakat membawa berkat”.Namun tidak dinafikan bahawa ada jiran tetangga yang sukar berbaik-baik dengan jirannya.malah sering berperang.
Jiran seperti inilah dikatakan jiran yang paling malang dalam hidup mereka sebab tidak tahu nikmat berbaik-baik dengan jiran.

Setiap orang perlu menghormati jiran tetangga kerana amalan tersebut merupakan sebahagian daripada akhlak mulia yang perlu dihidupkan.Semangat tolong-menolong sesama jiran amatlah mustahak dan tidak boleh diabaikan.Di samping itu,kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam membuat sesuatu yang boleh mendatangkan kegembiraan hati jiran tetangga,hapuskanlah perasaan iri hati, singkirkanlah rasa sengketa dan dendam. Oleh sebab kehidupan kita di negara ini mempunyai jiran yang berlainan bangsa dan agama,maka jiran amat perlu memahami dan mengetahui sedikit tentang cara hidup dan budaya jiran kita tersebut.Semangat kejiranan ini bukanlah suatu perkara yang mudah,lebih-lebih lagi jika individu tidak disemaikan dengan sifat itu sejak kecil lagi, bak kata pepatah “ kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Sekiranya semua kaum di negara kita menanam nilai menghormati jiran semenjak kecil lagi maka,natijahnya sudah pasti ternyata negara ini aman dan damai dan peistiwa pahit 13 Mei 1969 tidak akan berbuah dua kali.

Kesimpulannya,soal kejiranan memang tidak boleh dipandang mudah.Sama ada kita sedar atau tidak,sudah menjadi suatu realiti kehidupan pada hari ini bahawa kita semua rambut sama hitam,tetapi hati lain-lain. Kewujudan jenis dan ragam manusia yang berbagai-bagai ini ditambah lagi faktor bahawa tidak semua memiliki hati yang suci dan luhur lantas menyebabkan usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran sedikit kesulitan dan kerumitan .Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada,bertolak ansur,saling memahami dan saling mengeratkan hubungan.Di samping itu,sikap yang negatif seperti buruk sangka,dengki,fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan.Jika,semua pihak bekerjasama dan memberikan sokongan ,maka negara kita akan terus mengecap keamanan dan kesejahteraan hidup berjiran.

3 comments:

  1. saya suka dengan contoh cikgu ini...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, cikgu. Banyak membantu saya... :D

    ReplyDelete
  3. Terima kasih,cikgu... Ini banyak membantu saya dalam mata pelajaran PENDIDIKAN MORAL...

    ReplyDelete