Followers

Wednesday, April 20, 2011

Karangan Bergambar-Sektor Pertanian di Malaysia

“Berbudi kepada tanah, tanah tidak pernah menipu”. Peribahasa tersebut seolah-olah memberikan perakuan bahawa rezeki melalui bidang bercucuk tanam adalah sesuatu yang sudah dijamin. Pernyataan itu pula disokong dengan kedudukan Malaysia yang terletak dalam zon iklim Khatulistiwa yang merupakan tapak strategik untuk membangunkan sektor pertanian.

Sejak dahulu lagi, Malaysia memang terkenal dengan kemajuan dalam bidang pertanian. Bermula daripada pertanian sara diri oleh masyarakat tempatan, sektor pertanian mula berkembang kepada bidang perladangan komersil pada era penjajahan kuasa Barat khususnya Inggeris. Tanaman yang telah sekian lama mendominasi sektor ini ialah padi, getah, sayur-sayuran, dan kelapa sawit. Sektor persawahan secara tradisinya dikuasai oleh penduduk termpatan yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu. Penanaman getah pula pada mulanya diperkenalkan oleh orang Inggeris yang akhirnya sektor ini telah berkembang pesat menjadi hasil eksport utama dan Malaysia pernah mencatat sebagai negara pengeksport utama getah asli ke pasaran dunia pada dekad 60-an hingga 70-an. Selain dua tanaman utama yang mendominasi ekonomi pertanian, dua lagi kegiatan yang agak penting ialah perusahaan tanaman sayur-sayuran yang kebanyakannya diusahakan oleh orang Cina dan ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh syarikat perladangan.

Kini, sektor pertanian telah melalui suatu tempoh peralihan yang agak malap apabila golongan muda dan elit kurang berminat untuk menceburi sektor ini. Sektor pertanian telah memasuki zaman kemalapannya apabila banyak tanah pertanian yang terbiar terbengkalai menjadi tanah rang. Sungguhpun begitu, bidang pertanian yang bersaiz ladang masih boleh bertahan sementara sektor sawah padi dapat juga bertahan dengan insentif subsidi daripada pihak kerajaan.

Peralihan kepimpinan negara sejak kebelakangan ini seolah-olah memberikan nafas baru kepada sektor pertanian. Pemimpin utama negara telah menguar-uarkan agar bidang pertanian digemblengkan semula memandangkan kos mengimport bahan makanan telah mencecah kira-kira RM15 bilion setahun. Hal ini tentulah merugikan negara terutama dari segi pengaliran wang ke negara luar. Justeru, Kempen Buku Hijau yang dilancarkan baru-baru ini diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan sektor pertanian negara.

Kesimpulannya, walau apa-apapun langkah yang diambil, perkara pertama yang harus dilaksanakan ialah manganjak paradigma golongan muda. Selain itu, pemberian insentif khas kepada golongan graduan yang ingin menceburi bidang pertanian diharapkan dapat memberikan nafas baru kepada sektor pertanian yang juga dianggapkan sebagai enjin kedua pertumbuhan ekonomi negara.

3 comments:

  1. ada x langkah2 yg berkesan utk mengembalikan kgmilangan sektor prtanian , ckgu ada karangan cam ni?? bagi saye kalo ada,, terima kasih...

    ReplyDelete