Berdasarkan petikan hadis, “Jagalah masa sihat kamu sebelum datang masa sakit...” jelas menyatakan bahawa kesihatan merupakan aset yang paling bernilai dalam hidup. Walaupun dianggap aset, kesihatan bukanlah suatu perkara yang boleh dijual beli seperti barang-barang dagangan yang lain. Hakikatnya, hidup yang sempurna datang daripada cara hidup yang sentiasa mengutamakan kesihatan. Oleh itu, aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk mengekalkan kesihatan sepanjang masa perlulah kerap dilakukan.
Kegiatan seperti bersenam dan beriadah merupakan kaedah yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan sama ada kepada tubuh badan atau minda. Setiap orang perlu memperuntukkan sedikit masa untuk menjalankan kegiatan riadah. Bersenam secara ringan atau pergerakan fizikal yang mudah sudah memadai untuk mengaktifkan seluruh otot dan saraf di dalam badan agar dapat berfungsi dengan baik.
Bersiar-siar dan berjalan-jalan bersama-sama dengan anggota keluarga pula dapat mengurangkan tekanan dan kerunsingan. Selain dapat mengekalkan tahap kesihatan tubuh, kita dapat menjalinkan hubungan kasih sayang sesama anggota keluarga. Suami isteri dapat mempertingkatkan perasaan cinta dan memupuk sikap saling menghormati. Anak-anak pula sentiasa dapat mendampingi dan bermesra dengan ibu bapa mereka. Dengan yang demikian, ikatan kasih sayang dalam keluarga sentiasa kukuh.
Bersiar-siar pada waktu petang untuk menyedut udara bersih merupakan sebahagian daripada gaya hidup untuk mengekalkan tahap kesihatan. Sambil berbasikal, kita dapat menikmati panorama alam yang indah. Kehijauan pepohon dan keriangan kicauan unggas menjadikan sumber alam semula jadi amat indah dan harmoni. Semua komponen tersebut mampu melahirkan ketenangan dan melapangkan fikiran yang sentiasa dibelenggu dengan tugas yang berat.
Tingkah laku yang baik, mesra, dan sopan boleh menjadi penawar untuk mententeramkan perasaan. Kita hendaklah sentiasa bermanis muka dan bersangka baik terhadap orang lain. Tingkah laku seperti itu boleh mengelakkan diri kita daripada bermusuhan dengan orang lain. Selain itu, kita mudah memperoleh kawan dan teman apabila sentiasa menzahirkan air muka yang manis, tenang, dan ceria. Justeru, senyumlah sentiasa. Tingkah laku seumpama itu amat sesuai apabila seseorang itu berurusan dengan orang ramai.
Orang tua-tua pernah berpesan, “jika anda hendak umur yang panjang, jagalah perasaan”. Oleh itu, jauhkanlah hati daripada hasad dengki. Binalah keyakinan diri yang mantap dan sentiasa menjaga kesihatan, nescaya kita akan beroleh ketenangan sepanjang hayat.
No comments:
Post a Comment