Followers

Wednesday, April 20, 2011

Karangan Bergambar-Berhemah ketika berbelanja

Kepentingan Bersikap Berhemat Ketika Berbelanja

Sepanjang tahun negara kita meriah dengan pelbagai karnival beli-belah. Tambahan pula,Kuala Lumpur kini sudah menjadi pusat beli-belah yang terkenal dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia.Keghairahan mereka membeli-belah dan berbelanja besar tidak harus menjadi ikutan hingga hanyut dan leka dalam tabiat buruk yang akan memudaratkan diri sendiri.
Pada pendapat saya,dalam menghadapi himpitan perbelanjaan harian yang semakin membebankan akhir-akhir ini,maka penting bagi kita berjimat cermat atau berhemat ketika berbelanja.Kenaikan harga petrol serta peningkatan harga barangan seperti beras,tepung,gula ,dan sebagainya secara langsung akan meningkatkan perbelanjaan harian kita.Jika kita bersikap boros,tabung kita akan bocor terus.Maksudnya bukan saja kita tidak dapat menabung,malahan wang yang kita simpan itu pula terpaksa kita keluarkan untuk kegunaan harian.Mungkin kita juga terpaksa berhutang.
Setiap orang ialah pengguna.Kita pasti memerlukan sesuatu barang atau perkhidmatan pada masa-masa tertentu.tidak kira yang tua atau yang muda, falsafah berhemat dalam berbelanja harus disematkan dalam sanubari.Sikap ini, selain dapat mengelakkan pembaziran juga dapat membantu pihak kerajaan mengawal paras harga di pasaran.Para peniaga juga akan bersikap bertimbang rasa dan tidak tamak dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga sesuatu barangan.Peniaga akan menaikkan harga sekiranya permintaan bagi barangan berkenaan melebihi pengeluaran.
Selain tu,dengan berhemat kita akan lebih cenderung untuk menyimpan wang sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi masa depan.Setiap orang perlu beringat dan menyimpan wang untuk kegunaan pada masa kecemasan atau pada waktu kesempitan.Keadaan kita pada masa depan tidak dapat diduga kerana malang tidak berbau. Kata orang tua-tua,ingat sebelum kena,jimat sebelum habis.Oleh sebab itu ,kita perlulah menyimpan wang untuk kegunaan yang tidak dapat dijangkakan itu.
Sesungguhnya amalan berhemat ketika berbelanja adalah penting dan perlu kita terapkan dalam diri sendiri dan seluruh anggota masyarakat.Amalan ini bukan saja dapat mengelakkan kita daripada terperangkap dan bankrap,tetapi juga menyedarkan kita supaya membenci pembaziran.Hal ini kerana pembaziran adalah amalan syaitan.Marilah kita mengamalkan slogan ‘Pengguna Bijak, Pengguna Berhemat’.

1 comment: