Followers

Wednesday, April 20, 2011

KARANGAN SPM-Soalan B

Mengembalikan Kegemilangan Sukan Negara Menuntut Komitmen yang Lebih
Oleh: Khairul Aisyam Hidayat


“Pasukan bola sepak antara kontinjen yang akan pulang awal dari Sukan Asia di Doha”. Kenyataan tersebut adalah sebahagian daripada reaksi mudah terhadap kelemahan pasukan bola sepak negara di persada antarabangsa. Berdasarkan ranking FIFA, pasukan bola sepak Malaysia berada di tangga ke-159. Tangga corot tersebut membuktikan bahawa ngauman bola sepak negara semakin tidak bertaring dan tidak berkuku. Jika dalam dekad 70-an dan 80-an, Malaysia sering digeruni sebagai pasukan terkuat di Asia, kini segala-galanya telah berlalu. Sebenarnya, badi yang mula menimpa pasukan bola sepak kebangsaan itu mula mererbak kepada beberapa pasukan sukan yang lain seperti, olahraga, renang, dan badminton juga. Gergasi baru seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi telah mencuri kehebatan Malaysia. Kemerosotan pasukan negara itu hendaklah dilihat dalam pelbagai perspektif di samping mewujudkan usaha-usaha tersusun mengembalikan maruah sukan tanah air.

Secara rambang, banyak pihak berpendapat bahawa para pemain Malaysia kini sudah tidak patriotik lagi. Mereka bermain untuk pasukan negara sekadar “melepaskan batuk di tangga “. Mereka lebih mengutamakan kepentingan diri mengatsi kepentingan negara. Oleh itu, usaha mengembalikan semangat keramat tersebut perlu dijalankan. Banyak pihak yang mencuba membanding-bandingkan para pemain dalam dekad 70-an dan 80-an seperti Shukur Salleh, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, dan Allahyarham Mokhtar Dahari dalam sukan bola sepak. Begitu jugak kehebatan seperti Rabuan Pit, Marina Chin, Datuk Dr. M. Jegathesan, dan Junaidah Aman dalam sukan olahraga. Jika hendak dikatakan kita tidak memiliki kekuatan, barisan nama seperti yang disebutkan tadi sudah membuktikan bahawa Malaysia tidak kurang hebatnya di persada antarabangsa. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini semangat melonjakkan nama negara melalui sukan semakin pudar dalam kalangan atlet. Malu dengan hakikat yang terpaksa ditelan apabila pasukan negara sentiasa menjadi pasukan belasahan, justeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak seharusnya duduk diam dalam perkara ini. Pihak terbabit dan termasuk juga persatuan-persatuan sukan hendaklah menerapkan unsur patriotik yang kukuh agar keyakinan atlet dapat ditingkatkan dan mutu sukan negara dapat diletakkan pada landasan yang sepatutnya.

Mengambil contoh pasukan bola sepak kebangsaan, krisis dalaman dalam badan induk pasukan negara itu turut juga menyumbang masalah hingga menurunnya reputasi pasukan negara. Para pengendali dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan terlalu kebal terhadap segala teguran dan komen yang dilemparkan. Selain itu, insiden perebutan jawatan yang berlaku dalam organisasi ini turut menggugat reputasi bola sepak tanah air. Sebagai akibatnya, tiada perubahan ke arah mempertingkatkan mutu pasukan. Oleh hal yang demikian, usaha perlu dilakukan oleh persatuan sukan dan pihak KBS dalam menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi oleh kebanyakan persatuan sukan yang banyak mempengaruhi prestasi atlet di bawah naungannya.

Sebagai kementerian yang berkuasa penuh terhadap kemajuan sukan negara, KBS wajar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemerosotan tersebut. Jika dibandingkan dengan jumlah ongkos yang dibelanjakan, prestasi yang ditunjukkan amat mengecewakan sekali. Oleh itu, kementerian hendaklah lebih bertegas dengan menggubal suatu dasar baru yang lebih komprehensif tentang matlamt dan hala tuju sukan negara. Bukan sumber kewangan yang banyak sahaja disuntik ke dalam organisasi sukan, sebaliknya prestasi pasukan dan pemain perlu diutamakan. Keluhan banyak pihak tentang kebajikan pegawai dan orang kuat persatuan lebih istimewa dan terjaga daripada pemain sendiri hendaklah dipandang serius. Sikap melebihkan mangkuk daripada sudu seperti itu hanya boleh memudarkan semangat juang para peserta sahaja. Seandainya parut dan kudis seperti ini berjaya dikesan tidak mungkin tiada satu pun pasukan negara yang gagal menyerlah di peringkat antarabangsa.

Selain itu, faktor stamina dan skil yang tidak seimbang dalam kalangan atlet Malaysia turut menyumbang kelemahan pasukan. Berbanding dengan pasukan-pasukan elit dunia, keyakinan atlet kita cepat luntur apabila percubaan demi percubaan dapat dipatahkan dengan mudah oleh pasukan lawan. Dalam bidang sukan tidak dinafikan lagi ketahanan fizikal dan skil merupakan modal besar jika mahu berjaya. Oleh hal yang demikian, KBS dan persatuan-persatuan sukan mestilah lebih dinamik dalam merancang pembangunan kemahiran dan stamina atlet. Justeru, untuk menyelesaikannya maka pemilihan jurulatih hendaklah bersifat jangka panjang dan pelbagai. Tidak mungkin seseorang jurulatih mampu melatih semua aspek kemahiran dalam tempoh yang tertentu. Selain untuk meningkatkan kemahiran atlet, pihak KBS hendaklah lebih banyak menubuhkan akademi sukan yang dapat membentuk pelatih pelapis. Dalam menangani masalah ini, kita perlulah berpegang pada peribahasa “sediakan payung sebelu hujan”.

Selain itu, usaha mencungkil bakat-bakat baru wajar dilaksanakan oleh KBS dan persatuan sukan tanah air. Hakikatnya, sikap suka bergantung pada seorang dua yang menyerlah tidak boleh dijadikan sandaran. Hal ini demikian kerana bidang sukan sememangnya tidak dapat lari daripada diburu usia dan kudrat yang makin terhad. Oleh itu langkah pasukan MyTeam yang berusaha mencari bakat baru dalam pasukan bola sepak harus menjadi inspirasi kepada pasukan sukan yang lain untuk melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mencari bakat-bakat baru. Pelbagai usaha boleh dilakukan jika kita sentiasa memikirkan usaha tersebut sebagai suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Daripada memikirkan perkara yang mewah-mewah, pihak yang terbabit dalam bidang ini hendaklah turun padang untuk mencungkil bakat sukan yang masih bertaburan di serata pelosok negara.

Selaras dengan era profesional, para atlet hendaklah mempunyai wawasan sendiri untuk mencapai tahap tertinggi. Inspirasi yang ditunjukkan oleh jaguh-jaguh dunia seperti Ronaldhinho, Tiger Wood, Michael Schumacher, Fernando Alonso, dan sebagainya hendaklah menjadi cabaran besar kepada mereka. Di negara kita sendiri, beberapa personaliti sukan seperti Shalin Zulkifli dan Nicol Ann David boleh dijadikan ikon atlet yang berjaya. Kejayaan mereka yang banyak ditunjangi oleh daya usaha sendiri dan sokongan keluarga mereka wajar dijadikan contoh. Dalam hal ini, persatuan-persatuan sukan perlulah berusaha memberikan motivasi dan sokongan kepada atlet untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Walau sehebat mana latihan yang diberikan, walau sebanyak mana dana yang diperuntukkan, tetapi jika atlet tidak mempunyai wawasan untuk mencapai tahap yang tertinggi, maka usaha untuk memulihkan mutu sukan negara tidak akan tercapai. Oleh itu, segala-galanya terletak pada kesungguhan untuk mengharumkan nama negara bak kata pepatah “hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih”.

Sesungguhnya kita yakin, prestasi sukan negara tidaklah seburuk seperti yang dipersembahkan sekarang. Masih ada ruang yang boleh diperbaik untuk mengembalikan imej Malaysia di persada antarabangsa terutama dalam beberapa acara sukan yang tertentu. Semuanya hendaklah bermula secara terancang seperti “mengaji daripada alif, membilang daripada esa, kata berpangkal, dan hujan berpokok”

No comments:

Post a Comment