Followers

Wednesday, April 20, 2011

Karangan Bergambar-Bioteknologi

Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang sumbangan bidang bioteknologi kepada manusia. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

BIDANG BIOTEKNOLOGI

Inovasi dalam bidang sains dan teknologi telah mengubah kehidupan manusia menjadi lebih canggih, selesa, dan sempurna. Pencapaian manusia dalam bidang ini kadang-kadang menimbulkan sesuatu penemuan yang luar biasa sehingga tidak tercapai oleh akal yang singkat. Kini, suatu lagi kaedah sains dan teknologi yang sedang berkembang ialah inovasi dalam bidang bioteknologi. Bidang ini telah menyumbangkan perubahan yang besar kepada kehidupan menusia terutamanya dalam sektor pertanian. Sebagai sebuah negara di wilayah tropika, Malaysia tidak ketinggalan juga untuk memperkembangkan sektor ini.

Sumbangan terbesar bioteknologi dalam bidang pertanian adalah dalam proses pembekalan dan penghasilan benih pokok yang lebih berkualiti dan dalam komposisi yang banyak. Kaedah yang dinamakan teknik pengklonan itu dapat mengeluarkan benih-benih baru dalam kuantiti yang banyak dan dalam jangka masa yang singkat. Semua klon yang dihasilkan mempunyai ciri dan standard yang sama.

Selaras dengan pertumbuhan pesat dalam bidang perubatan herba, penemuan kaedah bioteknologi telah memberikan sumbangan yang amat besar terhadap bidang ini. Keperluan sumber dalam kapasiti yang besar boleh mendatangkan kesan negatif kepada sumber-sumber asli. Sumber-sumber asli sentiasa berhadapan dengan bahaya kepupusan. Di Malaysia, kekurangan sumber herba tradisional seperti tongkat ali, kacip fatimah, ubi jaga, halia dan serai boleh memendekkan usia industri perubatan herba. Namun demikian, penemuan kaedah bioteknologi telah memberikan jalan penyelesaian yang paling berkesan sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat di pasaran.

Industri orkid merupakan industri bunga hiasan yang kedua terbesar di Malaysia dan telah menghasilkan pulangan yang bernilai jutaan ringgit. Bagi meneruskan penguasaan Malaysia dalam pengeluaran orkid hibrid utama dunia, maka kepakaran bioteknologi telah memberikan sumbangan yang besar untuk mencapai matlamat itu. Antara teknologi yang digunakan termasuklah kaedah kejuruteraan genetik atau pembiakan secara molekul.

Sesungguhnya aplikasi ilmu bioteknologi telah membuka suatu lagi jendela ilmu dalam menghasilkan produk-produk baru. Inovasi ini amat penting kepada perlumbaan menguasai ilmu pengetahuan sejajar dengan pengaruh dunia global. Dalam hal ini, Malaysia harus bersaing dengan negara-negara maju dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alamnya daripada dieksploitasi secara total untuk pelbagai tujuan.

4 comments: