Followers

Wednesday, April 20, 2011

Karangan Bergambar-Berhemah ketika berbelanja

Kepentingan Bersikap Berhemat Ketika Berbelanja

Sepanjang tahun negara kita meriah dengan pelbagai karnival beli-belah. Tambahan pula,Kuala Lumpur kini sudah menjadi pusat beli-belah yang terkenal dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia.Keghairahan mereka membeli-belah dan berbelanja besar tidak harus menjadi ikutan hingga hanyut dan leka dalam tabiat buruk yang akan memudaratkan diri sendiri.
Pada pendapat saya,dalam menghadapi himpitan perbelanjaan harian yang semakin membebankan akhir-akhir ini,maka penting bagi kita berjimat cermat atau berhemat ketika berbelanja.Kenaikan harga petrol serta peningkatan harga barangan seperti beras,tepung,gula ,dan sebagainya secara langsung akan meningkatkan perbelanjaan harian kita.Jika kita bersikap boros,tabung kita akan bocor terus.Maksudnya bukan saja kita tidak dapat menabung,malahan wang yang kita simpan itu pula terpaksa kita keluarkan untuk kegunaan harian.Mungkin kita juga terpaksa berhutang.
Setiap orang ialah pengguna.Kita pasti memerlukan sesuatu barang atau perkhidmatan pada masa-masa tertentu.tidak kira yang tua atau yang muda, falsafah berhemat dalam berbelanja harus disematkan dalam sanubari.Sikap ini, selain dapat mengelakkan pembaziran juga dapat membantu pihak kerajaan mengawal paras harga di pasaran.Para peniaga juga akan bersikap bertimbang rasa dan tidak tamak dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga sesuatu barangan.Peniaga akan menaikkan harga sekiranya permintaan bagi barangan berkenaan melebihi pengeluaran.
Selain tu,dengan berhemat kita akan lebih cenderung untuk menyimpan wang sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadapi masa depan.Setiap orang perlu beringat dan menyimpan wang untuk kegunaan pada masa kecemasan atau pada waktu kesempitan.Keadaan kita pada masa depan tidak dapat diduga kerana malang tidak berbau. Kata orang tua-tua,ingat sebelum kena,jimat sebelum habis.Oleh sebab itu ,kita perlulah menyimpan wang untuk kegunaan yang tidak dapat dijangkakan itu.
Sesungguhnya amalan berhemat ketika berbelanja adalah penting dan perlu kita terapkan dalam diri sendiri dan seluruh anggota masyarakat.Amalan ini bukan saja dapat mengelakkan kita daripada terperangkap dan bankrap,tetapi juga menyedarkan kita supaya membenci pembaziran.Hal ini kerana pembaziran adalah amalan syaitan.Marilah kita mengamalkan slogan ‘Pengguna Bijak, Pengguna Berhemat’.

Karangan Bergambar-Ragut

Langkah-Langkah Bagi Mengelakkan Diri Daripada Jenayah Ragut

Sejak dua tiga tahun belakangan ini kegiatan jenayah semakin menjadi-jadi khususnya jenayah ragut.Jenayah ini paling ketara berlaku di bandar-bandar besar. dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.Yang lebih membimbangkan ada kalangan mangsa jenayah ragut kehilangan nyawa sebagai akibat kerakusan penjenayah yang tidak berperikemanusiaan. Oleh itu,beberapa langkah perlu diambil untuk mengurangkan jenayah ini.
Pertamanya,kaum wanita disaran agar tidak membawa beg atau tas tangan dan memakai barang kemas yang banyak ketika keluar bersiar-siar atau membeli-belah di gedung-gedung perniagaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga yang lain.Cukuplah dengan membawa dompet kecil yang dapat disimpan di dalam saku pakaian agar tidak mudah dilihat.
Seterusnya,jika anda benar-benar perlu membawa beg tangan,jangan sekali-kali menyimpan wang yang banyak di dalamnya. Pastikan bahawa anda membawa wang yang secukupnya saja.Jika ada kad kredit,gunakanlah untuk berurusan sama ada untuk membeli-belah atau membayar bil-bil utiliti,tetapi perlu diingat bahawa penggunaan kad kredit memerlukan disiplin diri yang tinggi. Walaupun cara ini menyulitkan,namun cara ini dapat menjamin keselamatan diri.
Seperkara lagi,kaum wanita juga diingatkan agar tidak melalui kawasan yang sunyi atau laluan yang menjadi tumpuan penjenayah ragut.Gunakan laluan yang menjadi pilihan orang ramai. Laluan yang menjadi tumpuan orang ramai jarang-jarang menjadi kawasan sasaran penjenayah.Hal ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan kes ragut yang berlaku di negara kita terjadi di kawasan laluan sunyi.
Secara tuntasnya,kegiatan jenayah ragut harus diberantas segera sebelum jenayah ini merebak ibarat penyakit barah yang menyerang. Hal ini sekali gus dapat menenangkan hati orang ramai terutamanya kaum wanita yang terpaksa keluar rumah untuk bekerja,membeli-belah atau kerana urusan lain.

Karangan SPM-Soalan B

Gejala Merempit

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,kegiatan ‘Mat Rempit’ semakin menjadi-jadi terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.Kegiatan ‘Mat Rempit’ ini bukan sahaja mengundang musibah kepada diri pelakunya,malah membahayakan orang lain.Walaupun pihak polis sentiasa bertindak tegas,namun aksi berani mati mereka dan aktiviti tersebut tidak pernah berkurang.
Kesan utama yang bakal ditanggung oleh ‘Mat Rempit’ ialah kemalangan jalan raya.Perlakuan dan cara pengendalian motosikal yang tidak berhati-hati bakal mengundang padah bukan saja kepada mereka,malah orang awam dan pengguna jalan raya yang lain.Aksi lagak ngeri yang dipamerkan sering menjadi punca kemalangan jalan raya.Lebih malang,kemalangan tersebut sering menjadi penyebab kematian kepada kedua-dua belah pihak.
Kegiatan ‘Mat Rempit’ yang bermaharajalela di jalan-jalan bandar jelas mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.Dengan deruan bunyi kuat motosikal yang telah diubahsuai,suasana malam yang damai menjadi amat membingitkan telinga warga kota.Bagi warga kota yang mempunyai anak kecil atau bayi,maka sudah pasti yang membingitkan ini mengganggu anak-anak kecil tersebut.Selain itu,tingkah laku dan bunyi motosikal yang bising ini sudah tentu memberikan gambaran buruk kepada pelancong asing terhadap negara.
Tindakan mereka yang mencabar kesabaran dan kewibawaan pihak polis ini juga menjadi asas kepada pengembangan gejala keruntuhan akhlak dan perlakuan jenayah.Di sinilah berkembangnya gejala ‘Minah Bohsia’ .Lebih teruk lagi apabila ada dalam kalangan gadis remaja ini dijadikan “habuan” kepada pemenang dalam sesuatu perlumbaan haram.Selain itu,gejala minum minuman haram turut berleluasa.Misalnya mereka tanpa segan silu minum minuman haram hingga ada yang sanggup minum air tuak yang dicampur dengan darah labi-labi.
Secara tuntasnya,kegiatan perlumbaan haram yang sering dikaitkan dengan ‘Mat Rempit’ harus dibanteras dengan segera.Hal ini demikian kerana gejala ini sudah menjadi semakin tidak terkawal dan mendatangkan pelbagai musibah.

Karangan Bahagian C-PMR

Anda telah menyertai pertandingan syarahan peringkat daerah anjuran Persatuan Pengguna. Tajuk syarahan anda ialah “Pengguna Berhemah Asas Kesejahteraan Negara”.
Tulis karangan yang berikut berpandukan rangka karangan yang diberi. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Format
Syarahan

Pendahuluan
Ucapan alu-aluan kepada tetamu yang hadir, iaitu pengerusi majlis, para hakim, guru-guru, dan rakan-rakan.

Isi 1
Pengguna perlu mengamalkan sikap berjimat cermat
Huraian:
- berhati-hati ketika berbelanja
- membuat persediaan sebelum membeli sesuatu barangan
- membeli barang yang perlu sahaja

Isi 2
Pengguna mesti mengetahui hak-hak sebagai pengguna
Huraian:
- untuk mengetahui kualiti barang
- untuk mengetahui tarikh luput sesuatu barang
- mendapatkan harga yang berpatutan

Isi 3
Mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan
Huraian:
- membaca label di luar bungkusan
- memilih barang yang baru
- menukar barang yang dibeli dengan barang yang baru jika terdapat kecacatan

Isi 4
Membuat aduan kepada pihak yang berkuasa
Huraian:
- kandungan bahan yang tidak bermutu
- harga yang tidak berpatutan
- barangan sudah luput tarikh
Penutup
Pengguna memainkan peranan dalam menentukan kesejahteraan negara – ucapan terima kasih.

Karangan Bahagian C-PMR

Sebagai wakil murid, anda dikehendaki berucap dalam majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah. Sediakan ucapan anda itu.
Tulis karangan yang berikut berpandukan rangka karangan yang diberi. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Format
Ucapan

Pendahuluan
Ucapan alu-aluan kepada para hadirin – berterima kasih kerana diberi peluang untuk berucap.

Isi 1
Ucapan tahniah kepada para guru
Huraian:
- tema Hari Guru “Guru berkualiti Pemangkin Kecemerlangan” amat bertepatan sekali
- guru sentiasa berusaha untuk memajukan diri mengikut arus kemajuan
- mengikuti pelbagai kursus dan melanjutkan pelajaran

Isi 2
Ucapan tahniah kepada para guru
Huraian:
- mendidik murid menjadi orang yang berilmu
- sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang ringgit untuk kejayaan murid-murid
- umpama dian yang membakar diri

Isi 3
Memohon maaf daripada guru-guru
Huraian:
- atas kesilapan dan kelanjuran kata-kata
- tidak mendengar nasihat
- ingkar perintah dan peraturan

Isi 4
Mendoakan kesejahteraan dan kejayaan guru-guru
Huraian:
- terus tabah menjalankan tugas murni ini
- sihat tubuh badan agar dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi
- berkhidmat tanpa jemu dan bosan

Penutup
Semoga guru-guru diberkati Allah – ucapan terima kasih.

Karangan SPM-Soalan B

Sektor pertanian merupakan nadi terpenting dalam membangunkan ekonomi negara. Berikan saranan anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk merancakkan industri pertanian negara ini.

Apabila direnungkan kembali kepada sejarah silam, negara bangsa yang bangun di wilayah Nusantara secara keseluruhannya berasaskan komuniti pertanian. Oleh hal yang demikian, sektor pertanian menjadi nadi dan jantung kepada masyarakat awal bukan sahaja di wilayah Nusantara malah di mana-mana peradaban manusia terbentuk. Antara masyarakat maritim dengan agraria, masing-masing saling memerlukan. Walau bagaimanapun setelah berlaku revolusi dan penjanaan mental, manusia mula mengembangkan sayap kegiatan ekonomi dengan memasuki sektor industri. Kerencaman pelbagai strata hidup akhirnya membentuk suatu pola baru, iaitu masyarakat multiekonomi. Akhirnya, bidang pertanian telah ditinggalkan dan menjadi aktiviti sara diri terutama di wilayah yang tidak menerima pengaruh Revolusi Industri dari Barat sahaja.

Kini, setelah memasuki abad ke-21, Malaysia yang suatu ketika dahulu dikenal sebagai negara ekonomi tani konservatif mula mengorak langkah untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sinergi atau enjin kedua untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Usaha tersebut selaras dengan dasar kepemimpinan baru yang ditunjangi oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sesungguhnya, gagasan dan wawasan kerajaan itu amatlah relevan pada masanya setelah negara terpaksa berbelanja melebihi RM15 bilion setahun untuk mengimport barangan makanan. Walau bagaimanapun, sebelum sektor ekonomi tradisional ini dapat dilonjakkan semula ke taraf industri, banyak kerja yang harus dilaksanakan. Tidak dinafikan sektor ini boleh mencapai kualiti industri, namun usaha bersepadu semua pihak hendaklah digemblengkan lebih dahulu.

Peranan terpenting ialah peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan sendiri. Kerajaan hendaklah mempunyai polisi yang jelas dengan menggubal dasar pertanian negara. Dasar tersebut yang memberikan tumpuan khusus terhadap usaha membangunkan potensi pertanian hendaklah mendapat suntikan daripada dasar Tanah Negara yang lebih kondusif ke arah memajukan sektor pertanian. Langkah tersebut amatlah mustahak agar tanah-tanah milik kerajaan negeri dan swasta dapat dibangunkan untuk projek-projek pertanian berskala besar. Penjenamaan semula Kementerian Pertanian dengan imej baru, iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited untuk memajukan sektor pertanian. Selain penjenamaan semula, kementerian tersebut telah diletakkan di bawah jagaan menteri senior lagi berpengalaman, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini setelah empat tahun, sektor pertanian kembali mendapat nafas baru dengan pelbagai insentif dan projek pertanian berskala besar mula beroperasi.

Setelah terperap lama di dalam kepompong budaya jumud yang meletakkan petani sebagai entiti masyarakat yang tidak berdaya saing dan tidak produktif, program motivasi dan kursus pertanian untuk petani-petani hendaklah digemblengkan. Para petani hendaklah diberitahu dan dimotivasikan bahawa rakan-rakan mereka seperti di Thailand dan di negara-negara maju telah lama menjadi kaya-raya hasil pendapatan daripada bidang pertanian. Oleh itu, kursus-kursus yang berasaskan motivasi dan teknik memodenkan pertanian dan pengurusan ladang hendaklah dijalankan dengan lebih agresif oleh agensi kerajaan dan pihak swasta. Para petani yang sudah pasif dengan cara hidup tradisional perlu didedahkan dengan suatu gaya hidup baru. Mereka hendaklah dibawa melawat ke ladang-ladang pertanian di negara-negara maju untuk membuka minda. Selain itu, barangkali kita sudah lupa dan terbawa-bawa dengan sikap berat sebelah dengan hanya mengagung-agungkan golongan birokrat, teknokrat, dan korporat dalam memberikan apa-apa anugerah bertaraf negara. Dalam hal ini, golongan tani yang telah sekian lama bergelumang dengan peluh dan lumpur hendaklah diberi pengiktirafan dan anugerah bertaraf negara juga.




Selain mengubah pandangan golongan tani, usaha positif untuk memberikan nafas baru kepada bidang ini hendaklah dilakukan dengan cara merancang program pemasaran yang lebih intensif dan
efektif. Dalam dunia global kini, pemikiran bekerja secara secukup hidup hendaklah ditukar kepada kegiatan komersial yang lebih menguntungkan. Dengan cara ini, barulah paradigma mentaliti golongan tani dapat diubah kepada bertani untuk tujuan eksport. Sebelum operasi eksport dapat dijalankan, justeru usaha mempertingkatkan kualiti produk perlu diutamakan. Semua pihak terutamanya agensi pertanian hendaklah meneruskan aktiviti R&D (penyelidikan dan pembangunan) agar hasil keluaran pertanian negara mencapai kualiti yang ditetapkan oleh agensi pertanian antarabangsa. Usaha pelabelan “Malaysia Best” adalah sebahagian daripada usaha memberikan jaminan kualiti kepada hasil keluaran pertanian negara. Langkah ini sudah pasti memberikan nafas baru kepada program pemasaran petani negara agar produk mereka dapat dipasarkan ke pasaran global dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Generasi muda adalah tenaga penggerak utama industri pertanian negara. Golongan ini haruslah direvolusikan minda mereka agar dapat melihat bahawa pertanian adalah sektor yang dapat mengangkat martabat mereka menjadi korporat muda. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kurangnya minat menceburi bidang pertanian khususnya dalam kalangan golongan muda amat berkait rapat dengan trend masyarakat kini yang sudah banyak beralih daripada ekonomi agraria kepada bidang perindustrian. Sikap masyarakat yang memandang tinggi terhadap kerja-kerja pejabat dan bidang kerja yang lebih profesional telah jauh meninggalkan minat untuk berselimut dengan lumpur dan bermandi peluh. Peralihan status tersebut menyebabkan bidang pertanian dianggap sebagai aktiviti kuno dan hanya layak diusahakan oleh golongan yang tidak berilmu dan golongan daif yang tinggal di hujung-hujung kampung. Oleh itu, suatu revolusi mental untuk menganjak paradigma remaja untuk menceburi sektor pertanian hendaklah bermula dari peringkat sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi.

Bak kata pujangga Aminuddin Baki, “Ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kiasan tersebut memberikan tamparan pedas bahawa apa-apa bidang sekalipun jika tidak diusahakan dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak akan dapat mengubah corak hidup termasuklah segelintir golongan tani yang masih berfikiran jumud. Sesungguhnya, sektor pertanian menjanjikan harapan yang cerah untuk menjanakan semula ekonomi negara yang selama ini terlalu bergantung pada industri pembuatan dan petroleum.

KARANGAN SPM-Soalan B

Mengembalikan Kegemilangan Sukan Negara Menuntut Komitmen yang Lebih
Oleh: Khairul Aisyam Hidayat


“Pasukan bola sepak antara kontinjen yang akan pulang awal dari Sukan Asia di Doha”. Kenyataan tersebut adalah sebahagian daripada reaksi mudah terhadap kelemahan pasukan bola sepak negara di persada antarabangsa. Berdasarkan ranking FIFA, pasukan bola sepak Malaysia berada di tangga ke-159. Tangga corot tersebut membuktikan bahawa ngauman bola sepak negara semakin tidak bertaring dan tidak berkuku. Jika dalam dekad 70-an dan 80-an, Malaysia sering digeruni sebagai pasukan terkuat di Asia, kini segala-galanya telah berlalu. Sebenarnya, badi yang mula menimpa pasukan bola sepak kebangsaan itu mula mererbak kepada beberapa pasukan sukan yang lain seperti, olahraga, renang, dan badminton juga. Gergasi baru seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi telah mencuri kehebatan Malaysia. Kemerosotan pasukan negara itu hendaklah dilihat dalam pelbagai perspektif di samping mewujudkan usaha-usaha tersusun mengembalikan maruah sukan tanah air.

Secara rambang, banyak pihak berpendapat bahawa para pemain Malaysia kini sudah tidak patriotik lagi. Mereka bermain untuk pasukan negara sekadar “melepaskan batuk di tangga “. Mereka lebih mengutamakan kepentingan diri mengatsi kepentingan negara. Oleh itu, usaha mengembalikan semangat keramat tersebut perlu dijalankan. Banyak pihak yang mencuba membanding-bandingkan para pemain dalam dekad 70-an dan 80-an seperti Shukur Salleh, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, dan Allahyarham Mokhtar Dahari dalam sukan bola sepak. Begitu jugak kehebatan seperti Rabuan Pit, Marina Chin, Datuk Dr. M. Jegathesan, dan Junaidah Aman dalam sukan olahraga. Jika hendak dikatakan kita tidak memiliki kekuatan, barisan nama seperti yang disebutkan tadi sudah membuktikan bahawa Malaysia tidak kurang hebatnya di persada antarabangsa. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini semangat melonjakkan nama negara melalui sukan semakin pudar dalam kalangan atlet. Malu dengan hakikat yang terpaksa ditelan apabila pasukan negara sentiasa menjadi pasukan belasahan, justeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak seharusnya duduk diam dalam perkara ini. Pihak terbabit dan termasuk juga persatuan-persatuan sukan hendaklah menerapkan unsur patriotik yang kukuh agar keyakinan atlet dapat ditingkatkan dan mutu sukan negara dapat diletakkan pada landasan yang sepatutnya.

Mengambil contoh pasukan bola sepak kebangsaan, krisis dalaman dalam badan induk pasukan negara itu turut juga menyumbang masalah hingga menurunnya reputasi pasukan negara. Para pengendali dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan terlalu kebal terhadap segala teguran dan komen yang dilemparkan. Selain itu, insiden perebutan jawatan yang berlaku dalam organisasi ini turut menggugat reputasi bola sepak tanah air. Sebagai akibatnya, tiada perubahan ke arah mempertingkatkan mutu pasukan. Oleh hal yang demikian, usaha perlu dilakukan oleh persatuan sukan dan pihak KBS dalam menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi oleh kebanyakan persatuan sukan yang banyak mempengaruhi prestasi atlet di bawah naungannya.

Sebagai kementerian yang berkuasa penuh terhadap kemajuan sukan negara, KBS wajar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemerosotan tersebut. Jika dibandingkan dengan jumlah ongkos yang dibelanjakan, prestasi yang ditunjukkan amat mengecewakan sekali. Oleh itu, kementerian hendaklah lebih bertegas dengan menggubal suatu dasar baru yang lebih komprehensif tentang matlamt dan hala tuju sukan negara. Bukan sumber kewangan yang banyak sahaja disuntik ke dalam organisasi sukan, sebaliknya prestasi pasukan dan pemain perlu diutamakan. Keluhan banyak pihak tentang kebajikan pegawai dan orang kuat persatuan lebih istimewa dan terjaga daripada pemain sendiri hendaklah dipandang serius. Sikap melebihkan mangkuk daripada sudu seperti itu hanya boleh memudarkan semangat juang para peserta sahaja. Seandainya parut dan kudis seperti ini berjaya dikesan tidak mungkin tiada satu pun pasukan negara yang gagal menyerlah di peringkat antarabangsa.

Selain itu, faktor stamina dan skil yang tidak seimbang dalam kalangan atlet Malaysia turut menyumbang kelemahan pasukan. Berbanding dengan pasukan-pasukan elit dunia, keyakinan atlet kita cepat luntur apabila percubaan demi percubaan dapat dipatahkan dengan mudah oleh pasukan lawan. Dalam bidang sukan tidak dinafikan lagi ketahanan fizikal dan skil merupakan modal besar jika mahu berjaya. Oleh hal yang demikian, KBS dan persatuan-persatuan sukan mestilah lebih dinamik dalam merancang pembangunan kemahiran dan stamina atlet. Justeru, untuk menyelesaikannya maka pemilihan jurulatih hendaklah bersifat jangka panjang dan pelbagai. Tidak mungkin seseorang jurulatih mampu melatih semua aspek kemahiran dalam tempoh yang tertentu. Selain untuk meningkatkan kemahiran atlet, pihak KBS hendaklah lebih banyak menubuhkan akademi sukan yang dapat membentuk pelatih pelapis. Dalam menangani masalah ini, kita perlulah berpegang pada peribahasa “sediakan payung sebelu hujan”.

Selain itu, usaha mencungkil bakat-bakat baru wajar dilaksanakan oleh KBS dan persatuan sukan tanah air. Hakikatnya, sikap suka bergantung pada seorang dua yang menyerlah tidak boleh dijadikan sandaran. Hal ini demikian kerana bidang sukan sememangnya tidak dapat lari daripada diburu usia dan kudrat yang makin terhad. Oleh itu langkah pasukan MyTeam yang berusaha mencari bakat baru dalam pasukan bola sepak harus menjadi inspirasi kepada pasukan sukan yang lain untuk melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mencari bakat-bakat baru. Pelbagai usaha boleh dilakukan jika kita sentiasa memikirkan usaha tersebut sebagai suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Daripada memikirkan perkara yang mewah-mewah, pihak yang terbabit dalam bidang ini hendaklah turun padang untuk mencungkil bakat sukan yang masih bertaburan di serata pelosok negara.

Selaras dengan era profesional, para atlet hendaklah mempunyai wawasan sendiri untuk mencapai tahap tertinggi. Inspirasi yang ditunjukkan oleh jaguh-jaguh dunia seperti Ronaldhinho, Tiger Wood, Michael Schumacher, Fernando Alonso, dan sebagainya hendaklah menjadi cabaran besar kepada mereka. Di negara kita sendiri, beberapa personaliti sukan seperti Shalin Zulkifli dan Nicol Ann David boleh dijadikan ikon atlet yang berjaya. Kejayaan mereka yang banyak ditunjangi oleh daya usaha sendiri dan sokongan keluarga mereka wajar dijadikan contoh. Dalam hal ini, persatuan-persatuan sukan perlulah berusaha memberikan motivasi dan sokongan kepada atlet untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Walau sehebat mana latihan yang diberikan, walau sebanyak mana dana yang diperuntukkan, tetapi jika atlet tidak mempunyai wawasan untuk mencapai tahap yang tertinggi, maka usaha untuk memulihkan mutu sukan negara tidak akan tercapai. Oleh itu, segala-galanya terletak pada kesungguhan untuk mengharumkan nama negara bak kata pepatah “hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih”.

Sesungguhnya kita yakin, prestasi sukan negara tidaklah seburuk seperti yang dipersembahkan sekarang. Masih ada ruang yang boleh diperbaik untuk mengembalikan imej Malaysia di persada antarabangsa terutama dalam beberapa acara sukan yang tertentu. Semuanya hendaklah bermula secara terancang seperti “mengaji daripada alif, membilang daripada esa, kata berpangkal, dan hujan berpokok”

Karangan SPM-Soalan B

Bersempena dengan sambutan Hari Pertanian Negara, anda telah dipilih mewakili pasukan debat sekolah anda dalam suatu pertandingan perbahasan. Usul yang dibahaskan ialah “Malaysia wajar Beralih kepada Industri Pertanian”.
Tulis teks perbahasan anda itu sebagai pihak pencadang.


Lebih dahulu, sambutlah salam pendebatan daripada saya selaku ketua pencadang bagi membahaskan tajuk, “Malaysia Wajar Beralih kepada Industri Pertanian”. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana dalam menegakkan keadilan, barisan pembangkang yang kami muliakan, dan seterusnya hadirin sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Para alim ulama sentiasa memberikan nasihat, “Sekiranya anda berhasrat untuk menguasai bumi ini sentiasalah beramal dengan amalan Nabi Daud. Sebaliknya pula, sekiranya anda mahu menguasai setiap mergastua, beramallah dengan amalan Nabi Sulaiman”. Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa kedua-dua bidang sama ada pertanian dan penternakan telah lama menjadi teras kepada peradaban manusia. Oleh hal yang demikian, tidak syak lagi, usul yang diketengahkan pada hari ini menepati matlamat dan selaku pemimpin kepada barisan pencadang, saya mohon mencadangkan usul “Malaysia Wajar Beralih kepada Industri Pertanian”.

Sebelum hujah bertatah bicara, sebelum fakta melancar kata, sebelum bidasan menebat kelancaran pembangkang, sebagai ketua pencadang saya mohon untuk membuat kupasan maksud tersurat dan tersirat usul perdebatan kita pada hari ini.

Pembangkang yang disegani,
Setelah meneliti dengan intuisi dan mata hati, saya definisikan usul perdebatan kita seperti yang berikut. “Malaysia Wajar Beralih” membawa pengertian negara Malaysia di bawah kepimpinan sekarang wajar mengubah dasar ekonomi negara daripada hanya bergantung pada sektor industri pembuatan kepada industri domestik khususnya dalam sektor pertanian. “Industri Pertanian” merujuk kepada memperkasakan sektor pertanian dalam bentuk skala besar agar menatijahkan potensi ekonomi dagang dalam bentuk eksport dan import. Kesimpulannya, sudah tiba masa Malaysia memberikan perhatian yang serius untuk memanfaatkan potensi hasil-hasil bumi. Potensi tersebut dapat dikomersialkan agar dapat menjanakan ekonomi negara sebagai sinergi kepada sektor lain.

Saudara dan saudari,
Sesi berkenalan telah berlalu, sidang pentakrifan sudah diperjelas, kini bertandanglah ke medan berhujah. Saya ketengahkan hujah pertama saya dengan fakta, memperkasakan bidang pertanian merupakan langkah kembali kepada akar umbi. Bumi Malaysia yang cukup subur dengan tanah-tanihnya dan begitu kaya dengan pelbagai spesies botaninya amat berpotensi untuk dimajukan. Daripada suratan sejarah, kedatangan penjajah ke rantau Asia Tenggara pun mempunyai kaitan dengan perdagangan rempah dan seterusnya mereka memanfaatkan kekayaan bumi kita dengan tanaman ladang seperti getah, tebu, lada hitam, dan kelapa sawit. Konglomerat penjajah seperti Harrison and Crossifield, Sime Darby, Dublin, Boustead, dan lain-lain lagi telah berjaya mencipta empayar ekonomi melalui kegiatan pertanian di negara ini. Amat jelas sekali, industri pertanian pernah menjadi penjana ekonomi kerajaan penjajah di negara ini terutama sekali Inggeris. Oleh hal yang demikian, amatlah bertentangan dengan fitrah alam dan manusiawinya jika industri tani dibiarkan sepi, sesepi belantara yang tidak berpenghuni.

Hujah pertama sudah saya tebarkan seluas lautan yang tidak bertepi untuk memandu hemat pembangkang membuka minda, kini menyusul hujah kedua bahawa memperkasakan industri pertanian mampu menyelamatkan wang negara. Sedarkah pihak pembangkang, bahawa setiap tahun negara berbelanja tidak kurang daripada RM15 bilion semata-mata untuk mengimport bahan-bahan makanan? Tanpa disedari, kita telah mengabaikan potensi yang ada dan sekali gus menambakkan dana negara kepada pengeksport hasil-hasil pertanian seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, India dan China. Apakah kita sudah benar-benar bijak mencaturkan untung dan rugi apabila mengabaikan kemampuan sendiri? Inikah maksud bajet berimbang yang sering kita uar-uarkan?

Perjuangan kami pada kali ini bukanlah kosong. Malah usul yang kami bawa senada dan seirama dengan pimpinan sekarang yang mahukan industri pertanian menjadi enjin kedua kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pernah menyarankan supaya sektor pertanian disinonimkan dengan perniagaan. Justeru, Kementerian Pertanian telah memohon peruntukan yang cukup besar sehingga RM100 juta semata-mata untuk membangunkan infrastuktur pertanian sahaja. Hal ini membuktikan bahawa sektor pertanian memainkan peranan besar dalam merubah senario ekonomi sesebuah negara.

Tuntutan memperkasakan industri pertanian menjadi sebahagian daripada usaha membela nasib golongan terabai dan miskin di kawasan pedalaman. Setelah tiga dekad negara beralih kepada sektor industri pembuatan, masyarakat tani seolah-olah dianaktirikan. Mereka gagal bergerak seiring dalam arus perdana pembangunan negara memandangkan sektor industri pembuatan berpusat di zon-zon industri eksklusif di bandar-bandar utama. Fenomena tersebut menyebabkan mereka terabai dan terpaksa mewarisi putaran ganas gejala kemiskinan. Tanah menjadi terbiar dan tanah terbengkalai tanpa diusahakan. Inilah perjuangan suci kami demi mengangkat kembali martabat masyarakat petani yang telah berdekad-dekad kempunan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

Sebelum berundur untuk memberikan laluan kepada pencadang ketiga, saya usulkan satu lagi rasionalisasi kepentingan memperkasakan industri pertanian. Dengan tegas saya katakan bahawa Malaysia wajib memberikan tumpuan kepada sektor pertanian sebagai strategi jangka panjang untuk keluar daripada pergantungan berterusan kepada sumber mineral. Sumber mineral seperti minyak dan logam galian pasti akan sampai tempoh pupus sedangkan selagi wujud bulan dan matahari, bidang pertanian tetap berpotensi, tetap wujud, dan pasti diperlukan. Justeru, kita tidak boleh terlalu pesimis terhadap sektor pertanian dengan terlalu bercita-cita besar menjadi negara industri sehingga mengabaikan kepentingan sektor yang begitu penting, ibarat “yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran”. Sekian sahaja, pencadang kedua mohon mencadangkan usul, “Malaysia Wajar Beralih Kepada Industri Pertanian” diterima. Sekian, terima kasih.

Karangan Bergambar-Teknik-Teknik Berkesan Mendidik Anak

“Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada ibu bapa kepada anak-anak melainkan peribadi yang teratur ”. Itulah maksud suatu hadis tentang peranan ibu bapa membentuk keperibadian anak. Dalam membentuk personaliti anak-anak, para ilmuwan telah menggariskan beberapa teknik yang berkesan agar diguna pakai oleh ibu bapa.

Ibu bapa hendaklah bijak menggunakan saluran komiunikasi apabila berinteraksi dengan anak-anak. Tahap dan peringkat usia anak-anak adalah peringkat terpenting untuk ibu bapa menyesuaikan teknik mendidik mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang masih kecil gaya mendidik mereka hendaklah melalui proses secara tidak langsung. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dengan cara bermesra dan bermain bersama-sama dengan anak-anak. Anak-anak perlu dilayani kehendak mereka tetapi layanan tersebut hendaklah disisipkan dengan unsur-unsur nasihat.

Peribahasa yang menyatakan, “tiada harimau yang membaham anak sendiri” menunjukkan bahawa sifat tegas adalah penting untuk membentuk akhlak anak-anak. Tegas bukan bererti garang. Sebagai pemimpin dalam rumah tanga, si bapa hendaklah menetapkan doktrin yang jelas untuk dipatuhi oleh anak-anak. Penegasan doktrin dan peraturan pula hendaklah disesuaikan dengan usia dan kemampuan anak-anak menerima segala peraturan yang ditetapkan. Peraturan yang diberi mestilah jelas, tidak menekan, dan wujud hubungan kasih-sayang. Dengan kata lain, tegas yang dimaksudkan ialah menunjukkan teladan kepada anak-anak agar ibu bapa dihormati bukan ditakuti.

Proses sosialisasi dan mobilisasi dalam pendidikan akan mempertingkatkan proses sosialisasi manusia. Hal yang demikian memberikan peluang kepada anak-anak memperoleh pelbagai ilmu, kemahiran dan pengalaman. Dalam hal ini, ahli psikologi pernah menyatakan bahawa ibu bapa perlu menghormati pendapat anak-anak. Mereka perlu didekati dengan cara yang berhikmah. Ibu bapa yang bijak akan menjadikan anak-anak sebagai sumber inspirasi dan memperoleh idea yang bernas lantaran pemikiran mereka sudah matang. Pada tahap ini, anggaplah anak-anak sebagai sahabat.

Sesungguhnya, anak-anak yang baik akan menjadi cetusan hati nurani ibu bapa. Peribahasa ada menyatakan “daripada daun kenallah buahnya” yang menunjukkan bahawa baik atau buruknya anak-anak melambangkan personaliti dan kewibawaan ibu bapa.

Karangan Bergambar-Gaya Hidup Sihat

Berdasarkan petikan hadis, “Jagalah masa sihat kamu sebelum datang masa sakit...” jelas menyatakan bahawa kesihatan merupakan aset yang paling bernilai dalam hidup. Walaupun dianggap aset, kesihatan bukanlah suatu perkara yang boleh dijual beli seperti barang-barang dagangan yang lain. Hakikatnya, hidup yang sempurna datang daripada cara hidup yang sentiasa mengutamakan kesihatan. Oleh itu, aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk mengekalkan kesihatan sepanjang masa perlulah kerap dilakukan.

Kegiatan seperti bersenam dan beriadah merupakan kaedah yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan sama ada kepada tubuh badan atau minda. Setiap orang perlu memperuntukkan sedikit masa untuk menjalankan kegiatan riadah. Bersenam secara ringan atau pergerakan fizikal yang mudah sudah memadai untuk mengaktifkan seluruh otot dan saraf di dalam badan agar dapat berfungsi dengan baik.

Bersiar-siar dan berjalan-jalan bersama-sama dengan anggota keluarga pula dapat mengurangkan tekanan dan kerunsingan. Selain dapat mengekalkan tahap kesihatan tubuh, kita dapat menjalinkan hubungan kasih sayang sesama anggota keluarga. Suami isteri dapat mempertingkatkan perasaan cinta dan memupuk sikap saling menghormati. Anak-anak pula sentiasa dapat mendampingi dan bermesra dengan ibu bapa mereka. Dengan yang demikian, ikatan kasih sayang dalam keluarga sentiasa kukuh.

Bersiar-siar pada waktu petang untuk menyedut udara bersih merupakan sebahagian daripada gaya hidup untuk mengekalkan tahap kesihatan. Sambil berbasikal, kita dapat menikmati panorama alam yang indah. Kehijauan pepohon dan keriangan kicauan unggas menjadikan sumber alam semula jadi amat indah dan harmoni. Semua komponen tersebut mampu melahirkan ketenangan dan melapangkan fikiran yang sentiasa dibelenggu dengan tugas yang berat.

Tingkah laku yang baik, mesra, dan sopan boleh menjadi penawar untuk mententeramkan perasaan. Kita hendaklah sentiasa bermanis muka dan bersangka baik terhadap orang lain. Tingkah laku seperti itu boleh mengelakkan diri kita daripada bermusuhan dengan orang lain. Selain itu, kita mudah memperoleh kawan dan teman apabila sentiasa menzahirkan air muka yang manis, tenang, dan ceria. Justeru, senyumlah sentiasa. Tingkah laku seumpama itu amat sesuai apabila seseorang itu berurusan dengan orang ramai.

Orang tua-tua pernah berpesan, “jika anda hendak umur yang panjang, jagalah perasaan”. Oleh itu, jauhkanlah hati daripada hasad dengki. Binalah keyakinan diri yang mantap dan sentiasa menjaga kesihatan, nescaya kita akan beroleh ketenangan sepanjang hayat.

Karangan Bergambar-Gejala Ponteng Sekolah

Tokoh Arab, Saidina Ali Abi Talib pernah menukilkan, “Ilmu apabila diperdagangkan bertambah, sebaliknya harta apabila diperdagangkan berkurang. Justeru, ilmu menjaga kamu dan kamu menjaga harta”. Demikianlah betapa tingginya martabat ilmu sebagai wahana penggerak wawasan negara. Walau bagaimanapun, krisis gejala ponteng sekolah yang sedang menular dalam kalangan pelajar memungkinkan usaha membudayakan ilmu akan menjadi hambar. Oleh itu, kita harus membuka minda untuk mengenal pasti punca gejala malang ini semakin menular dalam kalangan pelajar.

Gejala ponteng sekolah sering kali dikaitkan dengan faktor pengaruh daripada rakan sebaya. Rakan sebaya sememangnya mempunyai pengaruh yang kuat sesama mereka. Hal tersebut berlaku kerana mereka sentiasa berkongsi masalah dan pengalaman yang sama. Justeru, rakan sebaya yang tidak baik sentiasa menanamkan pengaruh yang destruktif. Pengaruh tersebut termasuklah tindakan melanggar disiplin seperti gejala ponteng sekolah yang semakin meruncing kini. Sikap tersebut samalah dengan tempelak peribahasa, “harapkan sokong, sokong membawa rebah”.

Dalam isu ini, ibu bapa patut dipersalahkan juga. Kebanyakan ibu bapa mengambil jalan mudah dengan membiarkan anak-anak ke sekolah secara bersendirian. Tidak dinafikan bahawa anak-anak yang baik dan berminat untuk belajar pasti tidak menyeleweng ke tempat lain. Sebaliknya, anak-anak yang kurang gemar belajar sentiasa mencari helah untuk menyimpang ke destinasi lain walaupun pada zahirnya mereka keluar untuk ke sekolah. Dalam situasi persekitaran yang serba terbuka, para pelajar begitu mudah untuk memonteng. Mereka boleh melepak di pusat beli-belah, bermain snuker, dan berkaraoke. Segala-galanya mudah bagi mereka apabila kebebasan diberikan seluas-luasnya oleh ibu bapa.

Bebanan kerja yang tidak menang tangan menyebabkan para guru di sekolah sentiasa berlepas tangan terhadap gejala ponteng. Selain bebanan tugas, tekanan yang melampau daripada masyarakat menyebabkan para guru “hilang selera” untuk mengambil tahu perihal disiplin pelajar. Kebanyakan guru berpendapat, daripada mereka dibebani dengan pelbagai tekanan daripada ibu bapa kerana mengambil tindakan disiplin, lebih baik mereka mengajar sahaja. Akhirnya, perihal disiplin diserahkan sahaja kepada waris atau sekurang-kurangnya kepada pentadbir sekolah. Sikap saling menjuding jari itu akhirnya membawa kemusnahan kepada masa depan para pelajar.

Walau bagaimanapun, seburuk-buruk tingkah laku pelajar, mereka diibaratkan “sebusuk-busuk daging, dibasuh dikincah dimakan jua”. Segala perilaku mereka sama ada baik atau buruk perlu ditangani dengan sebaik-baiknya. Semua pihak sama ada ibu bapa atau para guru malah masyarakat perlu bahu-membahu untuk menangani gejala yang boleh menjadi duri dalam daging kepada kejayaan Wawasan 2020 nanti.

Karangan Bergambar-Sektor Pertanian di Malaysia

“Berbudi kepada tanah, tanah tidak pernah menipu”. Peribahasa tersebut seolah-olah memberikan perakuan bahawa rezeki melalui bidang bercucuk tanam adalah sesuatu yang sudah dijamin. Pernyataan itu pula disokong dengan kedudukan Malaysia yang terletak dalam zon iklim Khatulistiwa yang merupakan tapak strategik untuk membangunkan sektor pertanian.

Sejak dahulu lagi, Malaysia memang terkenal dengan kemajuan dalam bidang pertanian. Bermula daripada pertanian sara diri oleh masyarakat tempatan, sektor pertanian mula berkembang kepada bidang perladangan komersil pada era penjajahan kuasa Barat khususnya Inggeris. Tanaman yang telah sekian lama mendominasi sektor ini ialah padi, getah, sayur-sayuran, dan kelapa sawit. Sektor persawahan secara tradisinya dikuasai oleh penduduk termpatan yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu. Penanaman getah pula pada mulanya diperkenalkan oleh orang Inggeris yang akhirnya sektor ini telah berkembang pesat menjadi hasil eksport utama dan Malaysia pernah mencatat sebagai negara pengeksport utama getah asli ke pasaran dunia pada dekad 60-an hingga 70-an. Selain dua tanaman utama yang mendominasi ekonomi pertanian, dua lagi kegiatan yang agak penting ialah perusahaan tanaman sayur-sayuran yang kebanyakannya diusahakan oleh orang Cina dan ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh syarikat perladangan.

Kini, sektor pertanian telah melalui suatu tempoh peralihan yang agak malap apabila golongan muda dan elit kurang berminat untuk menceburi sektor ini. Sektor pertanian telah memasuki zaman kemalapannya apabila banyak tanah pertanian yang terbiar terbengkalai menjadi tanah rang. Sungguhpun begitu, bidang pertanian yang bersaiz ladang masih boleh bertahan sementara sektor sawah padi dapat juga bertahan dengan insentif subsidi daripada pihak kerajaan.

Peralihan kepimpinan negara sejak kebelakangan ini seolah-olah memberikan nafas baru kepada sektor pertanian. Pemimpin utama negara telah menguar-uarkan agar bidang pertanian digemblengkan semula memandangkan kos mengimport bahan makanan telah mencecah kira-kira RM15 bilion setahun. Hal ini tentulah merugikan negara terutama dari segi pengaliran wang ke negara luar. Justeru, Kempen Buku Hijau yang dilancarkan baru-baru ini diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan sektor pertanian negara.

Kesimpulannya, walau apa-apapun langkah yang diambil, perkara pertama yang harus dilaksanakan ialah manganjak paradigma golongan muda. Selain itu, pemberian insentif khas kepada golongan graduan yang ingin menceburi bidang pertanian diharapkan dapat memberikan nafas baru kepada sektor pertanian yang juga dianggapkan sebagai enjin kedua pertumbuhan ekonomi negara.

Karangan Bergambar-Bioteknologi

Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang sumbangan bidang bioteknologi kepada manusia. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

BIDANG BIOTEKNOLOGI

Inovasi dalam bidang sains dan teknologi telah mengubah kehidupan manusia menjadi lebih canggih, selesa, dan sempurna. Pencapaian manusia dalam bidang ini kadang-kadang menimbulkan sesuatu penemuan yang luar biasa sehingga tidak tercapai oleh akal yang singkat. Kini, suatu lagi kaedah sains dan teknologi yang sedang berkembang ialah inovasi dalam bidang bioteknologi. Bidang ini telah menyumbangkan perubahan yang besar kepada kehidupan menusia terutamanya dalam sektor pertanian. Sebagai sebuah negara di wilayah tropika, Malaysia tidak ketinggalan juga untuk memperkembangkan sektor ini.

Sumbangan terbesar bioteknologi dalam bidang pertanian adalah dalam proses pembekalan dan penghasilan benih pokok yang lebih berkualiti dan dalam komposisi yang banyak. Kaedah yang dinamakan teknik pengklonan itu dapat mengeluarkan benih-benih baru dalam kuantiti yang banyak dan dalam jangka masa yang singkat. Semua klon yang dihasilkan mempunyai ciri dan standard yang sama.

Selaras dengan pertumbuhan pesat dalam bidang perubatan herba, penemuan kaedah bioteknologi telah memberikan sumbangan yang amat besar terhadap bidang ini. Keperluan sumber dalam kapasiti yang besar boleh mendatangkan kesan negatif kepada sumber-sumber asli. Sumber-sumber asli sentiasa berhadapan dengan bahaya kepupusan. Di Malaysia, kekurangan sumber herba tradisional seperti tongkat ali, kacip fatimah, ubi jaga, halia dan serai boleh memendekkan usia industri perubatan herba. Namun demikian, penemuan kaedah bioteknologi telah memberikan jalan penyelesaian yang paling berkesan sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat di pasaran.

Industri orkid merupakan industri bunga hiasan yang kedua terbesar di Malaysia dan telah menghasilkan pulangan yang bernilai jutaan ringgit. Bagi meneruskan penguasaan Malaysia dalam pengeluaran orkid hibrid utama dunia, maka kepakaran bioteknologi telah memberikan sumbangan yang besar untuk mencapai matlamat itu. Antara teknologi yang digunakan termasuklah kaedah kejuruteraan genetik atau pembiakan secara molekul.

Sesungguhnya aplikasi ilmu bioteknologi telah membuka suatu lagi jendela ilmu dalam menghasilkan produk-produk baru. Inovasi ini amat penting kepada perlumbaan menguasai ilmu pengetahuan sejajar dengan pengaruh dunia global. Dalam hal ini, Malaysia harus bersaing dengan negara-negara maju dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alamnya daripada dieksploitasi secara total untuk pelbagai tujuan.

Taiping Bandar Warisan

“Taiping Bandar Warisan wajar menjadi sebuah bandar yang bersih dan sejahtera, sebagai langkah untuk menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini.”Bincangkan.

Bandar Taiping memang telah dikenali ramai.Gahnya sudah tersebar ke seluruh negara malah, di luar negara.Memang tidak dapat dinafikan terdapat banyak tempat bersejarah di Bandar Taiping ini.Kira-kira 30 perkara pertama yang berlaku di Malaysia bermula di sini.Jadi tidak hairanlah,jika Taiping mendapat jolokan Bandar Warisan.Memandangkan bandar ini menjadi satu destinasi utama pelancong di negeri Perak,memang sewajarnya bandar ini bersih dan sejahtera.
Sebagai sebuah bandar yang menjadi tumpuan pelancong sudah pasti kita inginkan suatu daya tarikan agar dapat mencerminkan imej yang positif di mata pengunjung. Jadi,kebersihan memang perkara utama yang perlu dititik beratkan.Kebersihan bukan sahaja penting kepada diri,malah dituntut oleh agama dan juga negara.Sejajar dengan itu,ia menjadi agenda nasional dan terdapat kempen-kempen yang berkaitan kebesihan seperti ‘Negara Bersih,Rakyat Sihat’.Justeru,Bandar warisan ini juga perlulah menanam dan menyemai semangat cinta akan kebersihan dan kesejahteraan ini kepada setiap warganya agar fenomena ini dapat menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini.
Kebersihan amat perlu, terutamanya tempat –tempat yang menjadi tumpuan
pengunjung seperti gerai-gerai makanan dan restoran.Tempat –tempat ini sudah pasti tidak dapat dipisahkan dengan pelancong yang datang ke sini..Justeru, tempat ini mestilah bersih untuk menarik dan menggamit selera mereka.Selain itu,penyediaan makanan yang berkualiti dan sedap amat penting dalam menjamin kesejahteraan pengunjung.Jika penjual-penjual makanan ini dapat mengaplikasikan cadangan pihak MPT yang menganjurkan Program Bersih Sedap Mesra(BSM) sudah pasti ramai pengunjung yang akan datang ke sini.Bukan sahaja kerana tempat-tempat bersejarah dan banyak tempat menarik di sini tetapi kerana kualiti makanan yang dapat dinikmati oleh pengunjung.Jadi kebersihan dan kesejahteraan ini amat penting bagi merealisasikan hasrat pihak MPT untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Tempat-tempat tumpuan pelancong seperti Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping,
Muzium Perak dan Bukit Larut juga perlu dipelihara dan dipulihara kebersihan dan kesejahteraannya.Jika pihak-pihak yang berkenaan dapat mengindahkan dan menceriakan tempat-tempat ini sudah pasti mampu memikat pelancong bukan sahaja dari dalam negara,malah luar negara.
Sesungguhnya ,apa yang dirancangkan oleh pihak MPT amat memerlukan
komitmen yang tinggi daripada seluruh warga Taiping .Jika ingin mencapai realiti kita perlulah berusaha dan memantau perancangan yang telah dilakukan agar apa yang dirancang mencapai matlamatnya.Lantaran itu ,bandar Taiping sebagai Bandar Warisan memang sewajarnya bersih dan sejahtera barulah dapat menarik lebih ramai pengunjung.















Taiping merupakan sebuah bandar kedua terbesar di negeri Perak selepas bandar Ipoh.Taiping suatu ketika dahulu dikenali sebagai Klian Pauh.Pada tahun 1874,namanya telah ditukarkan kepada Taiping yang bermaksud ‘Aman Selama-lamanya’.Memang ternyata selepas itu bandar ini aman dan harmoni walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu,Cina ,India,dan lain-lain.Taiping juga turut dikenali sebagai Bandar Warisan kerana banyak berlaku perkara bersejarah di bandar ini.Sehubung dengan itu,Taiping juga terkenal sebagai destinasi pilihan pelancong bagi negeri Perak.Justeru,untuk menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini maka wajarlah Bandar Warisan ini bersih dan sejahtera.
Sememangnya kebersihan amat penting dalam kehidupan setiap insan.Oleh sebab itu, kebersihan dijadikan sebagai agenda nasional.Langkah pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menganjurkan Program Ke Arah Q Hidup Sihat,Selamat,dan Sejahtera amatlah dipuji.Pelaksanaan program –program seperti Bersih Sedap Mesra(BSM),Bersih Menawan Wangi(BMW) dan Skuad Kebersihan Bermotosikal(SKB) diharapkan dapat menjadikan bandar ini sebagai perintis kepada bandar-bandar lain di Malaysia supaya turut menyemai sikap cinta akan kebersihan ini kepada segenap lapisan masyarakat.
Dalam usaha untuk menjadikan Bandar warisan ini bersih dan sejahtera bagi menarik lebih ramai pelancong,pihak berkuasa dan pihak swasta juga perlu mengorak langkah bagi menambahkan lagi prasarana-prasarana di bandar ini.Kemudahan prasarana ini amat perlu bagi memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada pengunjung.Dengan adanya sistem pengangkutan awam yang cekap,kemudahan penginapan,pondok telefon,gerai-gerai makanan dan tandas awam yang bersih dapat memberikan imej yang baik kepada pengunjung. Sehubungan dengan itu,mereka akan terus menjadikan bandar ini sebagai destinasi pilihan kerana tertarik dengan kemudahan prasarana yang disediakan.
Selain itu,kerja-kerja pengindahan bandar ini perlu ditingkatkan.Terutamanya di tempat-tempat yang menjadi tumpuan seperti Muzium Perak,Bukit Larut,Zoo Taiping,dan Taman Tasik Taiping.Kerja-kerja pengindahan ini termasuklah penyediaan landskap,menambah lebih banyak pokok bunga-bungaan,dan memelihara serta memulihara keindahan yang sedia ada.
Konklusinya,walaupun apa jua langkah yang diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam menjaga kebersihan dan kesejahteraan bandar ini diharapkan agar langkah ini berterusan dan tidaklah ‘seperti hangat-hangat tahi ayam’ataupun ‘seperti melepaskan batuk di tangga’.Hal ini kerana sesuatu yang dirancang perlu pemantauan selanjutnya supaya dapat mencapai objetifnya untuk menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini.

(Lebih kurang 298 patah kata)







Bandar Taiping banyak mengundang peristiwa penuh bermakna dalam sejarah

negara. Terdapat 30 peristiwa bersejarah bermula di Taiping. Oleh itu memang sewajarnya

bandar ini dikenali sebagai Bandar Warisan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga,warisan

bermaksud sesuatu yang diwarisi, sesuatu yang turun temurun atau peninggalan

sejarah. Maka, memang tepat sekali Taiping mendapat gelaran Bandar Warisan.Bersih pula

didefinisikan sebagai bebas daripada pencemaran udara, bunyi, dan air. Ia juga tidak

mengandungi unsur-unsur yang dapat merosakkan atau mengganggu kesihatan.Manakala,

sejahtera pula merujuk kepada aman dan makmur selama-lamanya. Justeru , sebagai

Bandar Warisan maka wajarlah menjadi sebuah bandar yang bersih dan sejahtera sebagai

langkah untuk menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini.

Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak-pihak yang berkenaan haruslah berganding

bahu bagi merealisasikan impian untuk menarik lebih ramai pengunjung ke bandar

ini. Program-program ke arah bersih dan sejahtera haruslah disusun dengan teratur bagi

menjadikan kata-kata ini realiti dan tidaklah seperti ‘indah khabar dari rupa’. Program ke

Arah Q Hidup Sihat Selamat Sejahtera (3S) yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran

Taiping (MPT) ini perlulah menyeluruh bagi merealisasikan bandar Taiping sebagai sebuah

Bandar Warisan yang bersih dan indah . Di samping program-program ini agenda-agenda

yang menarik haruslah disusun agar dapat menarik pelancong bukan sahaja dari dalam

negara,malah luar negara.

Sebagai sebuah Bandar Warisan memang ternyata banyak tempat peninggalan

sejarah Malaysia yang pertama bermula di sini. Di antaranya Muzium Perak (1886),

Penjara(1883), Bukit Peranginan Maxwell (Bukit Larut) (1870-an), Rumah Rehat(1870-an),

New Club (1880-an), Keretapi Negeri Perak (1885), Taman Tasik (1880-an) dan lain-lain

lagi. Tempat-tempat ini memang tersedia menunggu kedatangan para pengunjung yang

ingin melihat impak daripada peninggalan sejarah pemerintahan British di negeri Perak.

Jadi, memang sewajarnya tempat-tempat ini bersih dan sejahtera supaya dapat menjadi salah

satu daya tarikan pelancong ke bandar ini.

Keindahan Taman Tasik Taiping hasil peninggalan lombong bijih timah pada zaman

dahulu juga merupakan satu tempat yang boleh mendapat ketenangan jiwa, keselesaan, dan

kepuasan yang maksimum.Hembusan bayu yang lembut,tumbuh-tumbuhan yang menghijau

dan air tasik yang tenang sewajarnya perlu dijauhi daripada anasir-anasir yang boleh

merosakkan keindahannya. Kebersihan tempat ini perlu dijaga kerana ia merupakan tempat

riadah dan beristirahat yang penuh nilai sentimental dalam sejarah negara.

Pihak MPT juga harus memantau kebersihan gerai-gerai makanan dan restoran agar

dapat membekalkan makanan yang berkualiti kepada pengunjung. Program Bersih

Sedap Mesra (BSM) diharapkan dapat memupuk nilai mengutamakan kebersihan dalam

pengendalian makanan dan minuman. Diharapkan tujuan utama perlaksanaan program ini

untuk memupuk suasana yang mesra dan juga penyediaan makanan yang bersih serta sihat

tercapai dengan jayanya. Di samping itu, kemudahan-kemudahan prasarana seperti

tandas awam, pondok telefon, tempat beriadah , masjid dan lain-lain lagi haruslah

ditingkatkan dan dalam keadaan baik bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan

pengunjung. Begitu juga dengan rumah-rumah penginapan atau hotel-hotel, pihak berkuasa

haruslah memastikan bahawa tempat ini bersih dan sesuai bagi menggamit kedatangan para

pelancong yang sememangnya datang untuk melapangkan minda dan menceriakan jiwa.

Taiping yang merupakan bandar kedua terbesar di Negeri Perak Darul Ridzuan ini

sedang rancak membangun dalam sektor perindustrian. Begitu juga dengan sektor

pelancongan. Maka amatlah diharapkan agar walaupun berlaku pemodenan tetapi ianya

haruslah terancang agar tidak mendatangkan kesan pencemaran yang boleh mengganggu

gugat kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat.Biarlah pemodenan yang berlaku sejajar

dengan kebersihan dan kesejahteraan yang amat diinginkan dalam setiap agenda nasional.

Konklusinya, Pihak Berkuasa Tempatan dan masyarakat di sekitarnya haruslah

‘seperti aur dengan tebing’yang saling bantu membantu antara satu sama lain bagi mencapai

impian Bandar Warisan yang bersih dan sejahtera. Di samping itu juga, program-program

yang telah dirancang perlulah dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar impian menjadi

kenyataan.



(531 patah perkataan)








Bibliografi

1..Maklumat dari Muzium Perak,Taiping.

2.Risalah Program Ke Arah Q Hidup Sihat Selamat Sejahtera(3S),MPT.

3.Risalah Taiping Town of Everlasting Peace,Khoo Salma Nasution and Abdur –Razzaq

Lubis,MPT,1997.

Teks Lengkap Syarahan Agama

KARANGAN-Pidato

IMAN DAN TAQWA ASAS JATI DIRI MUSLIM

Bismilahirahmanirahim…
Lafaz Bismilah pembuka segala,Putera Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Panglima memulakan bicara.Sebelum bibir menitip kata membawa wacana ‘Iman dan Taqwa Asas Jati Diri Muslim’ izinkan saya mengucapkan apresiasi saya untuk pemimpin dewan yang budiman,kombinasi panel hakim yang adil lagi bijaksana,guru-guru yang saya hormati,dan seterusnya hadirin hadirat sekalian. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Hadirin sekalian,
Iman dan Taqwa Asas Jati Diri Muslim adalah satu pegangan untuk membentuk umat Islam supaya mempunyai satu keperibadian yang unggul.Iman yang bermaksud tasdiq iaitu iktiqad dengan hati kepada apa yang diketahui daripada ‘Deen’ Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w serta ikrarnya dengan lidah dan amal.

Warga dewan yang dihormati,
Iman juga boleh didefinisikan sebagai kepercayaan yang tertanam di lubuk hati dengan penuh keyakinan tanpa syak dan ragu.Imanlah yang mempengaruhi pandangan hidup,perilaku,dan amalan seseorang. Lidahnya mengucapkan syahadah,hatinya mengakui,dan anggota badannya membuktikan dalam bentuk tingkah laku.Taqwa pula merupakan satu istilah yang mempunyai pengertian yang amat luas.Andainya iman itu dijiwai oleh taqwa baharulah sempurna keislaman seseorang dalam erti kata yang sebenarnya. Justeru, memang sewajarnya iman dan taqwa menjadi asas jati diri muslim kerana melalui iman dan taqwalah akan terbentuknya keperibadian unggul seseorang muslim yang dapat mengawal diri daripada azab api neraka dengan mengerjakan suruhan Allah swt dan meninggalkan larangannya.

Hadirin yang dirahmati Allah,
Jati membawa maksud asli,murni,dan tidak bercampur.Namun jika kita lihat dasawarsa kini anak-anak remaja kita sudah terhakis nilai jati diri dalam diri mereka.Remaja hari ini rata-rata amat menyanjungi budaya hedonisme.Mengapakah hal ini terjadi? Pokok pangkalnya fenomena ini berlaku kerana iman mereka senipis kulit bawang.Lantaran itu,iman dan taqwa amat penting sebagai asas jati diri seseorang muslim.

Sidang dewan yang dikasihi,
Sebagai orang Islam kita sepatutnya mengamalkan budaya dan etika Islam yang menjadi cerminan peradaban.Kita sepatutnya sentiasa mempertahankan ciri-ciri dan budaya Islam supaya dihormati oleh agama lain.Namun akibat,iman dan taqwa yang senipis kulit bawang ini budaya Islam kini semakin ternoda kerana diresapi kegilaan memuja dan menyanjung Bollywood dan Hollywood,mabuk akan Shah Rukh Khan, Salman Khan, Kajol,Leanardo De Caprio dan entah siapa lagi?Jati diri kita semakin terhakis.Tersiat daripada amalan Islam yang sebenar.Kenapa ini berlaku?Pesoalan ini akan terjawab kerana umat Islam pada hari ini tidak mempunyai asas dan benteng iman dan taqwa yang kukuh.

Hadirin sekalian,
Di dalam Al Quran, iman itu dibandingkan sbagai tanah yang subur.Di atas tanah yang subur inilah lahirnya tamadun yang kuat,teguh,kukuh,dan mencapai kebahagiaan.Dengan syarat tamadun itu dibina di atas keimanan,ketaqwaan dan amal salih. Selain itu,Al Quran juga membandingkan dunia ini sebagai kebun Allah.ia disediakan untuk manusia agar dapat dijadikan tempat bercucuk tanam dengan keimanan,ketaqwaan,ibadat,amal salih seperti mana dijelaskan di dalam ayat Surah Al Nisa,4:124
‘ Sesiapa yang beramal salih,dari lelaki atau perempuan,sedang mereka beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.’.

Sidang dewan yang dihormati,
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas b Malik terjemahannya..
‘Perumpamaan iman itu ialah laksana pohon kayu yang tumbuh dengan teguh dan tegap.Iman adalah akar-akarnya,sembahyang adalah urat-uratnya,zakat adalah ranting-rantingnya,puasa adalah dahan-dahannya,bersakit-sakit menegakkan agama Allah adalah tumbuh-tumbuhannya,budi pekerti luhur sebagai daun-daunnya dan menahan diri daripada segala yang diharamkan oleh Allah adalah buahnya.
Kesinambungan daripada hadis ini dapatlah disimpulkan bahawa iman dan taqwa itu merupakan asas jati diri muslim yang kukuh dan unggul.Iman diibaratkan sebagai tanah yang subur,kebun yang rimbun dan pohon yang rendang.Iman dan taqwa perlu dipelihara,dipertingkatkan,diperkukuhkan dari semasa ke semasa kerana iman akan berkurangan dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan musuh utamanya iaitu iblis,syaitan,dan hawa nafsu manusia sendiri.Justeru,iman dan taqwa yang kukuh perlu untuk membentuk jati diri muslim yang unggul.

Hadirin yang dimuliakan,
Setiap yang bermula pasti akan berakhir,sebelum lidah berhenti bicara,sebelum kaki mengatur langkah,ingatlah bahawa iman dan taqwa asas jati diri muslim yang perlu dibajai selalu.Jika tanpa iman dan taqwa jadilah kita seperti kapal di tengah lautan yang hilang kemudinya dipukul gelombang entah ke mana haluannya? Sekian,Putera SMK taman panglima mengundur diri.Wassalam.







HBS-SMKTP 2006.

Semangat Kejiranan Semakin Pudar

Semangat Kejiranan Semakin Pudar?

Hidup bermasyarakat merupakan tuntutan semula jadi dan menjadi keperluan kepada manusia.Oleh itu,timbullah keinginan nurani untuk hidup berjiran dan bergaul bagi mencapai kegembiraan hidup.Jiran tetangga merupakan orang yang paling dekat dengan diri kita.Semua orang yang tinggal berdekatan dengan kita hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru,mereka itulah yang dikatakan jiran.Bagi menjamin keharmonian awam, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga merupakan amalan yang mulia.Malahan dituntut oleh setiap agama.

Hubungan yang erat merupakan antara ciri masyarakat yang berkualiti,iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka,bahkan menjadi aset penting kepada negara dalam usaha membangun dan memajukan negara.Bak kata pepatah “Kuat akar kerana tunjang,kuat tunjang kerana akar”.Oleh itu,semangat kejiranan amat penting dalam memupuk perpaduan antara kaum di negara kita agar dapat menjamin kestabilan politik,ekonomi dan sosial.Sesungguhnya, perpaduan tidak akan dicapai tanpa semangat kejiranan.

Namun semangat kejiranan pada hari semakin pudar.Hubungan kemasyarakatan yang renggang ini ada kaitannya dengan sikap masyarakat hari ini yang lebih cenderung untuk hidup bersendirian tanpa gangguan orang lain.Malahan terdapat tanggapan bahawa kemewahan yang dikecap sudah memadai bagi mereka untuk menjalani kehidupan tanpa perlu bergantung pada orang lain.Masyarakat sekarang ibarat “enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”.

Selain itu,aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kejiranan juga semakin kurang.Hal ini berlaku kerana,masyarakat kini lebih mengutamakan sikap keakuan dan enggan mempedulikan perkara yang berlaku di luar rumah yang tiada kaitan dengan mereka.Di samping itu,aktiviti kemasyarakatan seperti menjayakan majlis kenduri-kendara semakin dilupakan.Adat resam ini telah pupus mengikut peredaran masa. Kini,amalan bekerjasama untuk menjayakan majlis kenduri telah diambil alih oleh orang perseorangan ataupun restoran dan hotel melalui tempahan yang diterima.Keadaan ini telah menutup peluang anggota masyarakat untuk menyumbang tenaga secara besama-sama sedangkan aktiviti –aktiviti seperti itulah yang memberikan kesempatan kepada mereka untuk bertemu dan menjalinkan kemesraan.

Orang tua-tua pernah berkata bahawa jiran tetangga yang baik merupakan adik-beradik kita di dunia dan di akhirat.Hal ini kerana ketika kita berada dalam kesusahan terutamanya ketika ditimpa kemalangan,merekalah orang pertama yang akan datang menghulurkan bantuan kepada kita sebelum adik-beradik atau saudara-mara kita datang.Tambahan pula pada zaman ini jarang benar kedapatan adik-beradik duduk berjiran dengan kita seperti di kampung.Oleh sebab itu, jiran amat penting dalam kehidupan kita,seperti kata pepatah “bulat air kerana pembentung,bulat manusia kerana muafakat” ataupun “jiran sepakat membawa berkat”.Namun tidak dinafikan bahawa ada jiran tetangga yang sukar berbaik-baik dengan jirannya.malah sering berperang.
Jiran seperti inilah dikatakan jiran yang paling malang dalam hidup mereka sebab tidak tahu nikmat berbaik-baik dengan jiran.

Setiap orang perlu menghormati jiran tetangga kerana amalan tersebut merupakan sebahagian daripada akhlak mulia yang perlu dihidupkan.Semangat tolong-menolong sesama jiran amatlah mustahak dan tidak boleh diabaikan.Di samping itu,kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam membuat sesuatu yang boleh mendatangkan kegembiraan hati jiran tetangga,hapuskanlah perasaan iri hati, singkirkanlah rasa sengketa dan dendam. Oleh sebab kehidupan kita di negara ini mempunyai jiran yang berlainan bangsa dan agama,maka jiran amat perlu memahami dan mengetahui sedikit tentang cara hidup dan budaya jiran kita tersebut.Semangat kejiranan ini bukanlah suatu perkara yang mudah,lebih-lebih lagi jika individu tidak disemaikan dengan sifat itu sejak kecil lagi, bak kata pepatah “ kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Sekiranya semua kaum di negara kita menanam nilai menghormati jiran semenjak kecil lagi maka,natijahnya sudah pasti ternyata negara ini aman dan damai dan peistiwa pahit 13 Mei 1969 tidak akan berbuah dua kali.

Kesimpulannya,soal kejiranan memang tidak boleh dipandang mudah.Sama ada kita sedar atau tidak,sudah menjadi suatu realiti kehidupan pada hari ini bahawa kita semua rambut sama hitam,tetapi hati lain-lain. Kewujudan jenis dan ragam manusia yang berbagai-bagai ini ditambah lagi faktor bahawa tidak semua memiliki hati yang suci dan luhur lantas menyebabkan usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran sedikit kesulitan dan kerumitan .Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada,bertolak ansur,saling memahami dan saling mengeratkan hubungan.Di samping itu,sikap yang negatif seperti buruk sangka,dengki,fitnah dan sebagainya perlulah dikikis dan dijauhkan.Jika,semua pihak bekerjasama dan memberikan sokongan ,maka negara kita akan terus mengecap keamanan dan kesejahteraan hidup berjiran.

Balada Pesan Guru-Khusus untuk Anak-Anak Didik di SMKTP

BALADA PESAN GURU

Anak-anak didikku
Aku bukan seorang sasterawan
Yang mampu meluahkan kata-kata indah
Namun kucuba jua demi..
Untuk melihat perubahan daipada kalian..
Jika kamu melihat ini sebagai sesuatu yang menjelikkan
Abaikanlah pesanan ini…

Anak-anak didikku
Ingatlah tidak akan berubah sesuatu situasi itu jika..
Engkau sendiri idak mengubahnya
Mulai sekarang insaflah..
Buktikanlah anda boleh mndapat kejayaan
Buktikanlah anda memang cemerlang

Anak-anak didikku
Salah satu perbezaan yang paling besar antara orang yang Berjaya dan orang yang tidak Berjaya
Sebenarnya
Terletak pada cara ia belajar
Sesungguhnya tuhan itu maha adil
Jika sedikit saja usahamu
Setakat itulah hasil yang kamu dapat
Jangan salahkan takdir jika terjadi sedemikian
Sebaliknya renungilah di mana silapnya
Jangan jadi manusia hipokrit yang menitiskan air matanya
Setelah mendapat keputusan tentang kegagalannya
Memang itu hasilnya jika kamu masih lagi dibuai mimpi-mimpi indah.

Anak-anak didikku
Dalam meniti arus globalisasi ini lakukanlah anjakan paradigma dalam diri kalian
Dunia sekarang semakin mencabar
Perjuangan hidup tidak selalu dimiliki oleh orang yang lebih kuat atau lebih pantas
Tetapi lambat laun orang yang menang ialah orang yang berpemikiran dia boleh

Anak-anak didikku
Dengan apa hendak dibalas kepada kedua-dua ibu bapamu
Yang lebih mementingkan engkau daripada kepentingannya sendiri dan…
Mengharapkan kebahagiaanmu lebih daripada kebahagiaan dirinya sendiri

Anak-anak didikku
Tiada apa yang lebih membanggakan bagi kedua-dua ibu bapamu
Melainkan anak-anaknya sering memperoleh kejayaan demi kejayaan
Renungilah anak-anak didikku betapa penat lelah ibu bapamu
Membesarkan dirimu …apakah balasanmu…?

Anak-anak didikku
Engkau semua akan ke hadapan dan tidak ada seorang pun yang akan mengundur ke belakang
Kamu bakal menjadi ibu ..menjadi bapa
Jika mahu naka-anak kamu seperti kamu teruskan apa yang anda lakukan sekarang ini..
Jika kamu mahu anakanak kamu menjadi anak-anak yang terbaik ..ubahkanlah…ubahkanlah perangai malasmu itu..
Ingatlah kata pepatah bapa borek,anak rintik
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi
Segeralah lakukan perubahan

Anak-anak didikku
Tinggallah kegemaran menunda-nunda sesuatu pekerjaan yang dapat anda lakukan hari ini
Usah banyak bicara
Usah membuang masa
Mulakan sekarang
Ingatlah tidak ada masa yang lebih baik untuk kita melaksanakan tugas-tugas pembelajaran
Melainkan sekarang juga kerana..
Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi..
Masa yang akan datang belum pasti untu kita..
Justeru, masa yang ada gunakanlah sebaik-baiknya
Ingatlah bahawa;kerja bertangguh tak menjadi, kerja beransur tak bertahan

Anak-anak didikku,
Sebagai guru aku tidak mengharapkan apa-apa daripada kalian
Aku tidak mengharapkan sebarang cenderahati pada setiap kali hari guru
Aku tidak mengharapkan kalian menyanjungiku
Tapi cukuplah Cuma..jika kalian mendapatkan kejayaan..
Untuk dihadiahkan sebagai tanda ingatan
Sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan yang telah kucurahkan…

Sekian.

Karangan yang memenangi anugerah sempena Hari Pengguna 2010

HAK DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA
Dunia konsumerisme dewasa kini sering mengalami pergolakan.Situasi ini berpunca akibat daripada kelemahan peniaga dan pengeluar dalam mematuhi etika perniagaan sehingga meninggalkan kesan yang tidak sihat kepada pengguna.Siapakah yang dimaksudkan sebagai pengguna? Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, penguna didefinisikan sebagai orang yang membeli dan menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan. Natijah daripada kejahilan para pengguna dalam menentukan tentang hak-hak dan tanggungjawab pengguna menyebabkan mereka senang diperkotak-katikkan oleh peniaga yang suka ‘menangguk di air keruh’.Hal ini memang sering terjadi kepada para pengguna yang rata-ratanya tidak mengetahui hak-hak dan tanggungjawab mereka..Walaupun mereka ini mempunyai kelulusan yang tinggi dalam akademik dan memegang jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan.
Isu kepenggunaan atau konsumerisme ini sudah menjadi polemik di kalangan masyarakat kita.Namun masih kurang tindakan yang dilakukan bagi menangani situasi ini.Jika isu ini dibiarkan begitu sahaja,impaknya tetap mempengaruhi kehidupan manusia sejagat.Sejajar itu,kita sebagai pengguna mestilah proaktif dalam memainkan peranan supaya kata-kata Adam Smith bahawa ‘Consumer is the king’ atau ‘Pengguna ialah raja’ tidak hanya tinggal pada kata-kata sahaja.
Menurut Pertubuhan Kesatuan Pengguna Sedunia terdapat tujuh hak asasi pengguna, iaitu hak untuk mendapat keselamatan,hak untuk mendapat maklumat,hak untuk mendapat keperluan asas dan pilihan,hak untuk mendapat perwakilan,hak untuk mendapat pampasan,hak untuk mendapat pendidikan, dan hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih.Jadi,setelah mengetahui hak-hak ini pengguna mestilah bertindak secara rasional apabila membeli barangan atau perkhidmatan semoga mereka tidak menjadi mangsa kecurangan peniaga atau pengeluar ini.Sikap peniaga yang suka menaikkan harga barang secara semberono perlu ditangani segera.Jika ada peniaga yang bertindak menipu dalam jual beli barangan atau perkhidmatan,kita sebagai pengguna wajib mengambil tindakan melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Persatuan Pengguna,Tribunal Pengguna,Majlis Pengguna dan sebagainya.
Sebagai seorang pengguna kita berhak untuk mendapatkan keselamatan daripada produk-produk dan perkhidmatan yang ditawarkan supaya ia tidak membahayakan kesihatan.Hal ini kerana, kebanyakan produk tidak menjaminkan keselamatan dan mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan kita.Biar kita mengambil contoh, peristiwa ‘pil pelansing Slim 10’yang menimpa seorang pelakon Singapura iaitu Andrea De cruz yang nyaris menemui ajal kerana mengalami kegagalan fungsi hati akut gara-gara mengambil pil langsing.Fenomena ini berlaku akibat pihak pengeluar produk menggunakan bahan kimia yang diharamkan iaitu gabungan Fenfluramine dan Phentermine. Selain itu,pengguna juga mempunyai hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih.Jika kita renungkan kembali,dasawarsa ini cuaca amat panas terik sehingga merimaskan setiap aktiviti kehidupan harian kita.Semua ini berpunca daripada alam sekitar yang tercemar.Sepatutnya pengguna berhak hidup dan bekerja dalam suatu alam sekitar yang bersih,tidak tercemar,tidak membahayakan kesihatan,tidak mengancam kebebasan serta menjamin kehidupan yang selesa.
Memang sah dan ternyata ,kita semua ialah pengguna .Namun,adakah kita benar-benar tahu akan apa hak kita?Hak untuk mendapat pampasan merupakan satu perkara yang sering kita tidak tahu kewujudannya.Kejahilan ini menyebabkan kita sering teraniaya.Pengguna sebenarnya mempunyai hak untuk mendapat pampasan atau ganti rugi daripada peniaga jika diberi barangan atau perkhidmatan yang rosak,busuk,dan tidak berkualiti.Di bawah Ordinan Jualan Barang-Barang 1957 dan Akta Kontrak 1974 merupakan undang-undang yang memberi hak kepada pengguna untuk mendapat pampasan jika diberi barang atau perkhidmatan yang tidak berkualiti atau tidak memenuhi syarat-syarat yang dijanjikan.Oleh itu,kita sebagai pengguna perlu peka terhadap perkara sebegini supaya tidak terus menjadi ‘seperti mentimun yang digelek oleh durian’.
Selain itu, pengguna juga berhak untuk mendapat pendidikan kepenggunaan. Pendidikan kepenggunaan boleh menjadikan setiap individu itu mempunyai maklumat serta kebolehan membuat pilihan secara waras.Lebih penting lagi,dengan adanya ilmu konsumerisme ini pengguna akan bertindak melaporkan kejadian penyelewengan oleh peniaga-peniaga kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan yang sewajarnya diambil dengan segera.Sikap dan mentaliti pengguna pada hari ini perlu ada anjakan paradigma supaya mereka akan bertindak lebih efektif dan efisyen.Tindakan tidak berhati perut oleh para peniaga yang diumpamakan seperti lintah darat ini wajar dibanteras.Hal ini kerana, tanpa kita sedari golongan yang tidak beretika inilah yang selalu memperalatkan para pengguna lantaran ketidakpekaan mereka terhadap hak-hak sebagai pengguna.
Kecenderungan masyarakat moden yang tidak suka menjaga tepi kain orang juga menyebabkan mereka sering ditindas oleh golongan lintah darat ini.Dalam era globalisasi ini sepatutnya pengguna tidak harus terpinggir dan terkebelakang.Masyarakat hari ini naïf dengan kebendaan dan material yang melalaikan sehingga kadang kala mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.Apakah sebenarnya tanggungjawab pengguna? Menurut Risalah yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Kuala Lumpur,ada menggariskan pengguna mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga terhadap masyarakat.Justeru,untuk membebaskan pengguna daripada belenggu kejahilan dan kegelapan ini maka mereka perlu tahu apakah tanggungjawab terhadap diri sendiri? Sebagai warga Malaysia yang prihatin kita mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan maklumat untuk diri sendiri.Kita perlu mengetahui dan memahami segala maklumat berkaitan dengan barang-barang yang dibeli.Lebih penting lagi, kita sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri sendiri apabila menggunakan barang-barang yang bahaya seperti barang-barang elektrik,bahan-bahan kimia dan ubat-ubatan.Segala arahan tentang cara penggunaan barang-barang tersebut mestilah dipatuhi agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
Seterusnya , pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk membuat aduan jika ditipu dan menuntut pampasan jika ada kecacatan pada barang tersebut.Pendedahan yang dibuat oleh media massa seperti surat khabar Mingguan Malaysia patut dipuji,dengan adanya ruangan ‘Dari Tribunal Tuntutan Pengguna’ pada setiap hari Ahad sedikit sebanyak perkara yang dipaparkan di ruangan itu memberi panduan dan pengetahuan kepada para pengguna tentang cara-cara menuntut ganti rugi.Biar kita mengambil contoh,kisah seorang pengguna yang tertipu apabila mengharapkan gambar yang mencatatkan detik bergelar graduannya hanya tinggal memori di fikirannya sahaja kerana pihak studio yang ditugaskan merakamkan detik-detik penuh bersejarah itu tidak menggunakan keprofesionalisme yang menyebabkan gambar tersebut tidak berkualiti.Walaupun sesetengah pihak menganggap perkara yang dituntut oleh pengguna itu remeh-temeh tetapi pihak yang menuntut berjaya mendapat ganti rugi yang sepatutnya, kerana Tribunal berpendapat detik bergelar graduan tidak akan berulang lagi dan adalah tidak munasabah bagi pihak yang menuntut menyewa jubah graduan dan membeli semula bunga hidup semata-mata untuk mengambil gambar buat kali kedua.Kes ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 30 November 2003.
Selain tanggungjawab terhadap diri sendiri,pengguna juga bertanggungjawab terhadap masyarakat iaitu tanggungjawab perwakilan yang bermaksud pengguna perlu memainkan peranan yang positif dalam badan-badan yang mewakili kepentingan mereka seperti FOMCA, Persatuan Pengguna dan Majlis Pengguna.Pengguna perlu bersikap proaktif jika mahu mereka tidak terus ditindas.Bertitik tolak dari situ juga pengguna perlu bertanggungjawab dalam bidang pendidikan kepenggunaan supaya dapat mewujudkan masyarakat pengguna yang bijak dan waras.Kita tidak mahu lagi pengeluar atau peniaga mengambil kesempatan sehingga menyebabkan kadar inflasi meningkat.Dalam konteks ini,pengguna mestilah bertindak wajar dan tidak hanya bertopang dagu merintih bahawa diri mereka sudah tertipu.
Kesimpulannya, pendidikan kepenggunaan amat penting dalam membentuk masyarakat yang dinamik dan harmoni.Justeru,kita perlulah mengambil inisiatif untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang konsumerisme ini agar tidak terus ditipu oleh peniaga yang ‘ seperti harapkan pagar, pagar makan padi’ dan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengeluar dan penjual yang mematuhi etika amalan perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa ini.Oleh itu,komitmen yang tinggi
daripada semua pihak harus digembleng semoga usaha memodenkan budaya konsumerisme dapat mewujudkan kesejahteraan sosial masyarakat. Di samping itu, pihak – pihak yang berkenaan seperti Persatuan Pengguna dan FOMCA mestilah sentiasa memantau hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan pengguna agar pengguna tidak terus ditindas dan ditipu oleh lintah darat yang hanya tahu menghisap darah orang lain tanpa memikirkan natijahnya.Diharapkan kerjasama yang padu antara pengguna dan pihak-pihak yang memperjuangkan kepentingannya ini dapat membanteras masalah kecurangan dalam kalangan peniaga dan pengeluar ,semoga keharmonian dan kesejahteraan hak-hak pengguna tidak terus dinodai.

(1070 patah perkataan)

Latihan Tatabahasa PMR-Set 3

SET 3:
Soalan 1 - 7

Lengkapkan ayat-ayat yang berikut dengan memilih jawapan yang paling sesuai.

1 Perdana Menteri memberikan _________ keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita berbau fitnah.
A peringatan
B penghargaan
C penghormatan
D pembalasan

2 Hari Sabtu pertama dan ketiga bagi setiap bulan _______ sebagai hari kelepasan bagi kakitangan sektor awam.
A dikatakan
B dihebahkan
C diisytiharkan
D dianugerahkan

3 Penduduk kawasan itu semakin ________ apabila air mulai melimpah masuk ke dalam rumah mereka.
A culas
B cemas
C lemas
D panas

4 Ayah selalu berulang-alik ________ Kuala Terengganu ke Johor Bahru pada setiap hujung minggu kerana urusan perniagaan.
A ke
B untuk
C daripada
D dari

5 Para peserta dalam acara tarik tali itu ________ untuk menumpaskan lawan masing-masing.
A berebut-rebutan
B bertarik-tarikan
C bertolak-tolakan
D berasak-asakan

6 Berbekalkan ilmu yang ada dan daya saing yang tinggi, adik menerima ________ untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
A ajakan
B jemputan
C undangan
D tawaran

7 Kakitangan awam tidak sepatutnya bertindak sebagai __________ kepada pihak tertentu dalam hal-hal pentadbiran negara..
A juruulas
B juruhebah
C jurucakap
D juruacara


Soalan 8 – 14

Ayat-ayat yang berikut mungkin betul dan mungkin salah. Jika terdapat kesalahan, kesalahan itu telah ditandakan dengan A, B atau C dan jika tiada kesalahan telah ditandakan D.
Pilih jawapan yang paling sesuai.

8 Bukan ibu yang bersalah dalam hal itu tetapi adik yang tidak mendengar kata.

A B C
Tiada kesalahan.
D

9 Ahli sukan di negara ini mampu menyaingi dengan pemain dari luar negeri apabila
A B C
diberi peluang. Tiada kesalahan
D

10 Dengan bertemankan selaras senapang, pemburu itu masuk ke dalam hutan untuk
A B C
memburu kijang. Tiada kesalahan.
D

11 Baginda Sultan telah menyuruh Hang Tuah agar berangkat ke Majapahit dengan
A B C
segera. Tiada kesalahan
D

12 Oleh sebab sifat akuan yang ada pada diri beliau , beliau tidak disenangi oleh
A B C
masyarakat. Tiada kesalahan.
D

13 Lebih banyak pelancong asing dijangka berkunjung ke Malaysia sempena
A B
menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-50 tahun. Tiada kesalahan
C D
14 Ura mengatakan bahawa sebahagian besar peserta akan dikenakan tindakan disiplin
A B
kerana tidak mematuhi peraturan. Tiada kesalahan.
C D

Soalan 15 – 17

Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan yang berhuruf condong dengan betul..

15 I Burung helang terus menyambar anak ayam yang sedang makan di belakang rumah nenek.
II Kerajaan menyeru siswazah manganggur supaya menyambar peluang
pekerjaaan dalam bidang pertanian.
III Polis terus menyambar parang di tangan penculik setelah berjaya masuk ke
dalam rumah kosong itu.
IV Ayah memarahi abang kerana cuba menyambar gadis liar untuk dijadikan isteri.

A I dan II
B III dan IV
C I, II dan III
D II, III dan IV

16 I Kambing yang sedang meragut rumput di padang sekolah itu kepunyaan ibu.
II Penagih dadah itu telah meragut beg tangan seorang wanita di hadapan pasar raya.
III Ribut taufan yang melanda Myanmar telah meragut hampir seribu nyawa
rakyatnya.
IV Kejelitaan gadis tinggi lampai itu berjaya meragut hatinya untuk dijadikan pasangan hidup.

A I dan IV
B II dan III
C I, II dan III
D II, III dan IV


17 I Maklumat kemasukan pelajar ke universiti boleh disemak melalui laman web
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
II Majalah Resipi menyediakan pelbagai maklumat tentang resipi makanan
moden dan tradisional.
III Untuk maklumat semua pelajar, perhimpunan mingguan pada minggu ini dibatalkan.
IV Pihak polis mendapat maklumat tentang penculik kanak-kanak itu daripada
Rakan Cop.

A I, II dan III
B I, II dan IV
C II, III dan IV
D I, II, III dan IV

Soalan 18 - 21

Bahagian yang bergaris dalam ayat-ayat berikut mungkin mengandungi kesalahan
penggunaan bahasa atau mungkin juga tidak.
Tandakan sama ada A, B atau C jika ayat itu mengandungi kesalahan dan tandakan D jika tiada kesalahan.

18 Dua-dua orang pelajar yang cemerlang itu telah ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara.
A Kedua-dua orang pelajar
B Dua orang pelajar
C Kedua orang pelajar-pelajar
D Dua-dua orang pelajar

19 Cikgu Tan sering berulang-alik di antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan daripada doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
A antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur
B antara Johor Bahru dengan Kuala Lumpur
C di antara Johor Bahru dengan Kuala Lumpur
D di antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur

20 Jasa para guru dalam melahirkan modal insan yang kamil besar amat dan tidak bernilai dengan wang ringgit.
A amat besar dan tiada nilai
B amat besar dan tiada ternilai
C besar amat dan tidak menilai
D besar amat dan tidak bernilai

21 Pak Atan minta mengandang kambing-kambing peliharaannya agar tidak berkeliaran merosakkan tanaman penduduk kampung.
A diminta mengandangkan kambing-kambing
B diminta mengandang kambing-kambing
C minta dikandangkan kambing-kambing
D minta mengandang kambing-kambing







Soalan 22 – 24

Pilih ayat-ayat yang mempunyai maksud yang sama atau maksud yang paling hampir
dengan ayat yang dicetak tebal.

22 “Anda harus mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan percubaan ini amat penting untuk mengukur pencapaian kamu,” kata Cikgu Aini kepada pelajar-pelajarnya.

A Pelajar-pelajar dinasihati oleh Cikgu Aini agar belajar dengan tekun untuk mengukur keupayaan mereka dalam peperiksaan percubaan.
B Penjelasan Cikgu Aini tentang pentingnya pelajar-pelajar mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan percubaan bertujuan meningkatkan pencapaian mereka.
C Cikgu Aini memberitahu pelajar-pelajarnya bahawa peperiksaan percubaan amat penting untuk mengukur pencapaian mereka, maka mereka harus mengulang kaji pelajaran.
D Cikgu Aini memberitahu tentang pentingnya mengulang kaji pelajaran sebelum para pelajar menghadapi peperiksaan.

23 Pertanyaan daripada pihak media datang bertalu-talu sebaik-baik sahaja Perdana Menteri memulakan sidang akhbar tentang 1 Malaysia pada pagi itu.

A Pelbagai soalan mengenai Malaysia dikemukakan oleh pihak media dan Perdana Menteri semasa mengadakan sidang akhbar pada pagi itu.
B Perdana Menteri dihujani pelbagai soalan daripada pihak media mengenai Malaysia semasa sidang akhbar yang diadakan pada pagi itu.
C Sidang akhbar yang diadakan oleh Perdana Menteri dihadiri oleh pihak media yang ingin mengajukan pelbagai soalan mengenai Malaysia.
D Sebaik-baik sahaja Perdana Menteri dan pihak media memulakan sidang akhbar pada pagi itu, pelbagai soalan berkaitan Malaysia diajukan.

24 Penebangan dan kegiatan pembersihan hutan jika tidak dirawat akan menjejaskan kualiti sungai dan paya malah berupaya mempengaruhi perubahan iklim dan kenaikan suhu.

A Kualiti sungai dan paya akan terjejas jika penebangan dan kegiatan pembersihan hutan tidak dirawat seterusnya menyebabkan perubahan iklim dan kenaikan suhu.
B Hutan yang berupaya menjejaskan kualiti sungai dan paya serta mempengaruhi perubahan iklim dan kenaikan suhu ditebang dan dirawat.
C Kegiatan pembersihan hutan menjejaskan kualiti sungai dan paya serta perubahan iklim dan kenaikan suhu.
D Kualiti sungai dan paya terjejas begitu juga perubahan iklim dan kenaikan suhu akibat penebangan dan kegiatan pembersihan hutan yang tidak dirawat.


Soalan 25 – 27
Pilih ayat-ayat yang betul.

25 I Pekerja itu memperbetulkan ejaan yang salah pada papan tanda yang terdapat di jalan .
II Adik memakai baju tebal agar tidak kedinginan sepanjang malam.
III ”Cikgu, jasamu akan kukenang sepanjang hayat,” kata Aliza kepada guru kesayangannya.
IV Sejumlah besar penduduk di Taman Sutera menyertai gotong-royong bersama dengan wakil rakyat.
A I dan IV
B II dan III
C I, II dan III
D II, III dan IV

26 I Kerajaan Malaysia bercadang untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing dari Indonesia dan Filipina.
II Tukang kebun itu telah berjanji kepada ayah untuk membersihkan dan memperindahkan halaman rumah petang ini.
III ”Jangan sentuh kek kukus yang baru dimasak ini kerana masih panas,” kata emak kepada adik.
IV Hujan yang lebat hampir empat setengah jam telah menyebabkan tanah runtuh berlaku di tepi jalan.
A I dan III
B II dan IV
C I, II dan III
D II, III dan IV

27 I Jam tangan yang baru dibeli oleh kakak dari Paris itu jenis apa?
II Kereta Proton Exora dipandu ayah dengan perlahan kerana ayah baru mendapat lesen memandu.
III Baik Razak atau Lim masing-masing bukan mahu mengaku kalah dalam pertandingan gusti tangan yang diadakan sempena Hari Keluarga.
IV Dengan wujudnya kerjasama antara pihak pelajar dan guru, proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.
A I dan II
B III dan IV
C I, II dan III
D I, II dan IV






Soalan 28 - 30

Pilih peribahasa yang paling sesuai bagi pernyataan-pernyataan berikut.

28 Peribahasa yang boleh dikaitkan dengan orang susah yang mengada-ada apabila mendapat pertolongan orang lain ialah :
A Seperti kaduk naik junjung.
B Seperti kacang lupakan kulit.
C Bagai bertandang ke rumah janda.
D Bagai kambing dihalau ke air.


29 Kanang telah menyeru seluruh anggota tenteranya agar berjuang dengan penuh semangat demi mempertahankan maruah negara dalam Gerakan Pukat itu.
Peribahasa yang paling sesuai dengan situasi di atas ialah
A Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga
B Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul
C Biar putih tulang, jangan putih mata.
D Beraja di mata, bersultan di hati


30 Peribahasa ’kalau pandai mencencang akar, mati lalu ke puncaknya’ bermaksud
A Orang yang pandai membawa diri, tentulah selamat hidupnya.
B Orang yang pandai dapat mengalahkan musuhnya dengan sekali tindakan sahaja.
C Orang kecil tidak dapat mengelakkan diri daripada perintah orang besar-besar.
D Sekali pun kurang alat perkakasnya, tetapi kalau orang pandai maka dapat juga mengerjakan sesuatu itu dengan sebaik-baiknya.

Latihan Tatabahasa PMR- Set 2

Soalan 1 – 7

Lengkapkan ayat-ayat yang berikut dengan memilih jawapan yang paling sesuai.

1 Pertemuan itu diadakan bagi menghuraikan segala _________ yang melanda ahli-ahli persatuan itu.
A kekusutan
B ketegangan
C kesuraman
D keserabutan


2 Undang-undang tentang pendatang asing telah __________ agar masalah yang timbul daripada isu tidak berlarutan pada masa hadapan.
A dibentuk
B digubah
C diubah
D digubal


3 Rumah kedai yang masih dalam pembinaan itu menunjukkan kesan ________ kerana mutu bahan binaan yang rendah.
A rapuh
B robek
C retak
D retas


4 Kakak saya sering termenung kerana teringat _________ suaminya yang berada di luar negara.
A pada
B kepada
C dengan
D akan
5 Sudah menjadi tabiat Fatin Nabila menyimpan wangnya ______________ sejak kecil lagi.
A bersuku-suku
B berlambak-lambak
C berduyun-duyun
D berdikit-dikit


6 Cerpen yang ditulis itu _____________ permasalahan yang timbul dalam kehidupan manusia.
A berpandukan
B berteraskan
C berkisarkan
D berpaksikan


7 Tindakan ___________ akan dikenakan terhadap kakitangan awam yang mengabaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
A tatacara
B tatatertib
C tatasusila
D tataadab















Soalan 8 - 14

Ayat-ayat yang berikut mungkin betul dan mungkin salah. Jika terdapat kesalahan, kesalahan itu telah ditandai dengan A,B dan C dan jika tiada kesalahan telah ditandai dengan D. Pilih jawapan yang paling sesuai.

8 Bas yang membawa rombongan sekolah itu tidak dari Kuala Lumpur, tetapi dari
A B C
Shah Alam. Tiada kesalahan.
D


9 Walaupun berasal dari tarian Arab, namun tarian zapin telah disesuaikan

A
mengikut kehendak kesenian masyarakat tempatan. Tiada kesalahan.
B C D


10 Pejalan kaki diminta menggunakan jejambat untuk mengelakkan kemalangan
A B
yang sering berlaku di jalan raya itu. Tiada kesalahan
C D


11 Tiada sesiapapun yang berani membantah segala titah Raja Bersiung kerana

A B
takut dimarahi oleh baginda. Tiada kesalahan.
C D


12 Walaupun sudah hampir lima tahun dia diam di Kuala Lumpur, namun cara dia
A B
berpakaian masih kelihatan kampung. Tiada kesalahan.
C D


13 Kerajaan membelanjakan wang berjuta ringgit untuk membina makmal komputer.
A B C
Tiada kesalahan
D


14 Kedua anak ketua kampung telah mendapat hadiah dalam pertandingan
A B C
melukis poster. Tiada kesalahan.
D































Soalan 15 - 17

Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan yang berhuruf condong dengan betul..

15 I Ayah menggulung benang yang panjang itu supaya tidak kusut.
II Pencadang pertama menggulung perdebatan dengan petah sekali.
III Sampan itu terbalik kerana dipukul ombak yang tinggi menggulung.
IV Pendekar itu berjaya menggulung lawannya yang lebih kuat daripadanya.
A I dan II
B II, dan III
C I, II dan IV
D II, III dan IV


16 I Rohana tidak disenangi oleh rakan sepejabatnya kerana dia suka bermuka-
muka.
II Ucapan beliau yang bermuka-muka panjangnya itu memikat hati pendengar.
III Mereka duduk bermuka-muka tetapi tidak bertegur sapa.
IV Pelajar itu berbeza dengan rakannya yang lain kerana bermuka-muka bulat.
A I dan IV
B II dan III
C I ,II dan III
D II, III dan IV


17 I Abang akan melanjutkan pengajaran ke luar negara dalam bidang
kejuruteraan.
II Setiap orang mempunyai pengajaran yang pahit dan manis dalam kehidupan mereka.
III Mutu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah perlu dibaiki dari masa ke masa.
IV Filem yang kami tonton itu banyak memberikan pengajaran berguna.
A I dan III
B III dan IV
C I, II dan IV
D II, III dan IV
Soalan 18 - 21

Bahagian yang bergaris dalam ayat-ayat berikut mungkin mengandungi kesalahan
penggunaan bahasa atau mungkin juga tidak.
Tandakan sama ada A, B atau C jika ayat itu mengandungi kesalahan dan tandakan D jika tiada kesalahan.

18 Pertambahan bilangan kes-kes jenayah yang melibatkan pekerja asing di Malaysia semakin membimbangkan kerajaan.
A Penambahan bilangan kes jenayah
B Pertambahan bilangan kes jenayah
C Penambahan bilangan kes-kes jenayah
D Pertambahan bilangan kes-kes jenayah


19 Adik tidak mahu memulangkan semula buku cerita itu kepada rakannya.
A semula memulangkan buku cerita itu
B memulangkan buku cerita semula itu
C memulangkan buku cerita itu semula
D memulangkan semula buku cerita itu


20 Pakaian yang dipakai oleh adik amat comot-momot sekali selepas adik makan aiskrim .
A comot-momot
B amat sekali comot
C comot-momot sekali
D amat comot-momot sekali


21 Peserta pertandingan memancing itu semakin bertambah daripada 80 orang ke 100 orang apabila tamat masa pendaftaran.
A dari 80 orang ke 100 orang
B daripada 80 orang kepada 100 orang
C dari 80 orang kepada 100 orang
D daripada 80 orang ke 100 orang
Soalan 22 - 24

Pilih ayat-ayat yang mempunyai maksud yang sama atau maksud yang paling hampir
dengan ayat yang dicetak tebal.


22 Pertandingan reka cipta robotik diadakan setiap tahun bagi mencungkil bakat-bakat muda, selain melihat kemahiran dan daya kreativiti para pelajar.

A Pertandingan reka cipta robotik dapat mencungkil kreativiti bakat-bakat muda setiap tahun.
B Reka cipta robotik pada setiap tahun dapat mencungkil bakat dan melihat kreativiti para pelajar.
C Saban tahun pertandingan mencungkil bakat melalui reka cipta robotik diadakan untuk melihat daya kreativiti para pelajar.
D Kemahiran dan daya kreativiti para pelajar dalam pertandingan reka cipta robotik setiap tahun dapat mencungkil bakat-bakat muda.


23 Aktiviti senaman dapat mengurangkan kebosanan pelajar yang asyik menghadapi pelajaran setiap hari.

A Pelajar akan berasa bosan dengan aktiviti senaman yang asyik diadakan setiap hari.
B Pelajar yang bosan kerana asyik belajar kurang berminat dengan aktiviti senaman.
C Kebosanan pelajar kerana asyik belajar setiap hari dapat dikurangkan dengan aktiviti senaman.
D Kebosanan pelajar setiap hari dapat dikurangkan dengan mengadakan aktiviti senaman.


24 Encik Hussin bukan sahaja mengizinkan anak-anaknya menyertai kegiatan kokurikulum, malah berbangga dengan pencapaian mereka dalam setiap aktiviti yang disertai.

A Encik Hussin tidak mengizinkan anak-anaknya bergiat dalam kokurikulum tetapi berbangga apabila mereka berjaya dalam aktiviti yang disertai.
B Encik Hussin berbangga dengan pencapaian anak-anaknya dalam kegiatan kokurikulum dan mengizinkan mereka aktif dalam aktiviti tersebut.
C Pencapaian anak-anak dalam kegiatan kokurikulum membanggakan Encik Hussin walaupun selama ini tidak mengizinkan mereka menyertai aktiviti tersebut.
D Anak-anak mendapat restu daripada Encik Hussin untuk menyertai kegiatan kokurikulum dan turut berbangga dengan pencapaian mereka dalam aktiviti yang disertai.

Soalan 25 – 27

Pilih ayat-ayat yang betul.

25 I Dia majukan surat peletakan jawatan kepada ketua jabatannya.
II Set pinggan mangkuk ibu terpamer di dalam almari hiasan di rumah.
III ”Bilakah dapat kauhantar joran ini kepada Kassim,” tanya Haris kepada Farid.
IV Semua kanak-kanak di Tadika itu terselamat daripada kebakaran yang berlaku.
A I dan II
B II dan III
C I, III dan IV
D II, III dan IV


26 I Pandangan adik kian kabur kerana sering menggunakan komputer riba.
II Ibu ke pasar malam tiap hujung minggu untuk membeli barang keperluan dapur.
III Puan Maheran, sila jemput menepung tawar pasangan mempelai di pelaminan.
IV Pekerja itu menyapu sarang lelabah yang melekat di siling dengan penyapu.
A I dan IV
B II dan III
C II dan IV
D III dan IV


27 I Apakah kamu sudi menerima lamaran saya ini?
II Munirah bukan sahaja cantik, bahkan juga peramah orangnya.
III Wah, asyik benar kamu termenung hinggakan saya pulang pun kamu tidak sedar!
IV Yang berjerebu di ibu kota mengehadkan jarak penglihatan para pemandu.
A I dan II
B II dan III
C I, II dan III
D II, III dan IV



Soalan 28 - 30

Pilih peribahasa yang paling sesuai bagi ayat- ayat yang berikut.

28 Sikap penduduk kampung yang tidak bermuafakat dan sentiasa mementingkan diri seperti ___________ tidak membawa kebaikan kepada sesiapa.
A Bagai isi dengan kuku
B Bagai tikus membaiki labu
C Bagai kacang lupa akan kulit
D Bagai enau dalam berlukar melepaskan pucuk masing-masing


29 John didakwa telah menggelapkan wang syarikat sejak beberapa tahun lalu. Oleh sebab tidak mahu mengganggu siasatan, dia telah meletakkan jawatan secara suka rela. Keadaan ini ibarat
A buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
B biar jatuh terletak, jangan jatuh terhempas
C bertanya supaya tahu, berjalan supaya sampai
D berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang pandai


30 Ayah telah merotan adik kerana menyangka bahawa adik telah menyembunyikan buku latihan Matematik kakak yang akan dihantar pada hari esok. Namun begitu, buku tersebut terselit di dalam beg sekolah kakak. Tindakan ayah tanpa usul periksa samalah seperti pepatah
A di lurah air yang besar, di bukit orang yang hanyut.
B dengarkan cerita burung, anak di pangku dilepaskan.
C sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan.
D kecil anak, besar onak.