Followers

Wednesday, July 24, 2013

Latihan Peribahasa

SET 1  
(e)        Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.

1)      Sememangnya Hong Seng sedar bahawa kelemahannya dalam bidang akademik menyebabkan dia disisihkan oleh rakan-rakan. Dia sendiri takut untuk mendekati dan menawarkan diri untuk berkawan dengan mereka. Namun demikian, dia tidak kecewa, sebaliknya dia bertekad untuk mengubah sikapnya. Dia tidak mahu lagi dianggap bodoh oleh rakan-rakannya kerana dia sedar bahawa dia akan berjaya dalam apa-apa yang dicita-citakannya jika berusaha sungguh-sungguh. Kata-kata neneknya bahawa biar bodoh sekalipun seseorang itu, jika bersungguh-sungguh lambat-laun akan berjaya juga dibuktikan kebenarannya.

2)      Setiap anak perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap ibu bapa, lebih-lebih lagi setelah kedua-duanya uzur. Ingatlah bahawa jasa ibu bapa tidak ternilai harganya. Budi baik mereka jangan dilupakan. Oleh itu, kenanglah jasa ibu bapa yang memelihara dan mendidik kita dengan penuh kasih sayang sejak kita dilahirkan. Layanlah ibu bapa sebaik-baiknya kerana sikap sedemikian tentu sekali akan menggembirakan mereka. Jangan sekali-kali menganggap bahawa menjaga ibu bapa yang sudah tua suatu beban yang sengaja dicari meskipun terpaksa menyusahkan dan membebankan diri.

3)      Isu kenaikan harga barang setiap kali tiba musim perayaan suatu yang lumrah. Walau bagaimanapun, hal tersebut dapat diatasi jika para pengguna bijak bertindak.Pengguna boleh bersedia lebih awal membeli barangan yang diperlukan sebelum berlakunya kenaikan harga barang yang dapat dijangkakan. Jika amalan tersebut diremehkan, maka peniaga akan mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas keghairahan pengguna itu dengan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Dalam hal ini, hanya pengguna bijaksana yang dapat membuat penilaian yang tepat.

4)      Pak Marwan merupakan ketua yang baik.Beliau sentiasa mengingatkan orang-orang di bawahnya supaya bekerjasama antara satu sama lain agar syarikat mereka maju dan mendapat banyak keuntungan. Mereka mestilah mengamalkan sikap rajin membantu jika ada antara rakan sekerja yang lambat menyiapkan kerja. Ada juga rakan sekerja yang cepat marah kerana masalah kecil atau terlalu mengikut emosi. Mereka selalu dinasihati oleh Pak Marwan semasa mesyuarat atau ketika perjumpaan mingguan pekerja-pekerja.

5)      Hari ini nasibku sungguh malang kerana asyik ditimpa pelbagai masalah. Aku terlewat bangun lalu tergesa-gesa ke bilik mandi. Ketika hendak mandi aku terpijak sabun lalu jatuh. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu! Sebaik sahaja aku sampai ke sekolah aku dimarahi oleh guru disiplin kerana lewat sampai ke tempat perhimpunan. Mukaku terasa panas kerana malu dimarahi di depan rakan-rakanku dan beberapa orang guru. Aku telah didenda dua waktu tersebut. Sebenarnya aku yang salah kerana telah tidur lewat pada malam tadi menyebabkan aku sukar untuk terjaga pada paginya.

6)      Semasa kakak duduk di hospital ramai kawannya datang berziarah. Masing-masing tidak lupa membawa buah-buahan, kuih-muih, dan jambangan bunga untuk kakak saya. Hati kakak saya sungguh gembira terhadap ingatan rakan-rakannya. Dia akan bercerita dengan ibu dan ayah mengenai rakan-rakannya yang datang menziarahinya. Persahabatan kakak dan rakan-rakannya terlalu akrab, ketika senang bersama begitulah juga semasa kakak sakit dan duduk di hospital. Mereka sentiasa berharap kakak saya akan cepat sembuh dan menyambung pelajaran di universiti.

7)      Setelah lama dia merantau ke bandar, akhirnya dia kembali ke kampung halamannya. Dia telah membina sebuah banglo untuk keluarganya. Walaupun dia sudah lama hidup di bandar tetapi dia tidak kekok bercampur gaul dengan orang kampung. Dia boleh berbuat apa sahaja kerja-kerja yang dilakukan oleh orang kampung. Dia pandai menyesuaikan dirinya dengan cara hidup orang kampung. Semua orang menyenanginya. Walaupun dia kaya tetapi sikapnya sama sahaja seperti orang biasa yang hidup sederhana. Apabila ditanya tentang kekayaannya dia selalu merendah diri.

8)      Jikalau seseorang berperangai baik maka dia akan disukai oleh orang ramai tetapi jika berkelakuan buruk akan menjadi kebencian orang ramai. Demikianlah dengan perangai Kasim yang jahat, suka mencuri dan malas bekerja. Dia juga seorang pengedar dadah, akhirnya ditangkap polis. Pendek kata seseorang itu akan musnah hidupnya kerana kelakuan buruk mereka. Semua ini bermula sejak dia masih kecil akibat terlalu dimanjakan oleh ibu bapanya. Dia merupakan anak kesayangan, segala yang diminta pasti tidak hampakan oleh ibu bapanya. Apabila dewasa dia semakin manja dan malas bekerja. Tambahan pula, tidak lulus periksa, tentulah sukar untuk diterima bekerja. Demikianlah teladan yang boleh kita ambil agar kita tidak kecewa kemudian hari kerana perkara yang telah berlaku tidak dapat diperbaik.

9)      Setiap malam ibu akan membuat kuih untuk sarapan kami keesokan pagi. Ketika sedang menggadun kuih, ibu kehabisan gula. Oleh sebab abahku belum balik dari surau ibu menyuruhku ke kedai. Kebetulan aku ingin ke rumah Afiq kerana tertinggal buku latihan di rumahnya. Aku keluar untuk dua tujuan sekali gus, bagus juga kerana aku tidak membuang masa. Kami berkawan rapat sejak kecil sehinggalah kami bersekolah rendah dan menengah. Banyak perkara yang kami lakukan bersama –sama, baik belajar mahupun bermain.Namun begitu, Afiq telah kematian bapa sejak berumur tujuh tahun. Ibunya menyara mereka adik-beradik seramai enam orang. Ibunya bekerja sebagai operator pengeluaran kilang. Untuk menambah pendapatannya dia membuat kuih untuk dihantar ke sekolah atau kilang tempat dia bekerja. Memang berat tanggungjawab ibunya tetapi semuanya dilakukan demi anak-anak. Saya sedih melihat kesukaran hidup keluarga Afiq tetapi mereka tabah mengharungi hidup.

10)  Sewaktu kami merancang mengadakan kursus motivasi kami telah menjemput pakar motivasi yang terkenal tetapi pada saat akhir penceramah tersebut telah jatuh sakit. Kami terpaksa mencari pengganti pakar tersebut akhirnya kami mendapat penceramah yang kurang terkenal. Namun peserta kursus tetap berpuas hati. Tujuan kami mengadakan program seperti itu adalah untuk meningkatkan prestasi kerja pekerja syarikat kami agar setanding dengan pekerja syarikat lain yang begitu efisien dan sentiasa mendapat pujian pelbagai pihak. Jika kami setanding tidaklah kami berasa rendah diri atau malu dengan mereka. Kami sungguh terhutang budi kepada pengurus kami yang amat prihatin dengan kebajikan dan prestasi kerja kami. Beliau sentiasa memberi sokongan dan penghargaan sekiranya bekerja kuat dan mendengar nasihatnya untuk memajukan syarikat kami.


2 comments:

  1. Assalamualaikum. Terima kasih ya cikgu! :) Semoga Allah sentiasa merahmati cikgu :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih , mohon berkongsi bahan. cikgu boleh minta skema jawapan. ila_adeq@yahoo.com.

    ReplyDelete