SET 2
(e) Baca
petikan di bawah ini dengan teliti dan kemukakan tiga peribahasa yang
menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan ini.
1) Hidupnya begitu sukar untuk diteruskan
kerana dia terpaksa bekerja pada setiap masa untuk sesuap nasi. Untuk
meneruskan kehidupan, dia terpaksa bekerja tanpa usaha rezeki tidak akan
menjelma. Apabila sudah mendapat rezeki, dia perlu berusaha dengan lebih gigih
lagi kerana rezeki yang sedikit tidak akan menjadi banyak atau bertambah jika
dia tidak melipatgandakan usaha.
2) Setelah terlibat dalam kemalangan jalan
raya, dia sering berwaspada semasa memandu. Sejak peristiwa itu, dia sentiasa
mengingatkan rakan-rakannya supaya sentiasa berwaspada sebelum sesuatu
kesusahan melanda. Sekarang dia sedar bahawa sesuatu peristiwa yang berlaku
akan membawa penyesalan yang berpanjangan.
3) Sudah lima buah kedai kain yang dimasuki
oleh Zarina, tetapi belum ada kain yang dibelinya, Dia tidak dapat memilih mana
satu baju yang hendak dibeli kerana semuanya kelihatan cantik di matanya.
Akhirnya, suaminya, Roslan, yang sejak tadi mengekori Zarina berasa marah
kerana isterinya belum membeli sehelai kain pun setelah hampir dua jam dia
keluar masuk kedai kain. Apabila melihat suaminya marah, Zarina terus membatalkan
niatnya untuk membeli kain.
4) Sudah puas Mak Lijah menasihati anak
angkatnya, Tahir supaya tidak bercampur dengan budak-budak nakal. Namun begitu,
semua nasihat mak Lijah tidak dipedulikan oleh Tahir. Tahir tahu Mak Lijah dan
suaminya telah memeliharanya sejak berumur empat tahun, iaitu sejak ibu bapanya
mati dalam kemalangan jalan raya. Tahir tidak pernah mengenang jasa Mak Lijah.
Pada suatu malam, Tahir terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika berlumba
haram. Kedua-dua kakinya patah. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat Mak
Lijah. Tetapi, penyesalannya sudah terlambat.
5) Setelah dua tahun bercinta, akhirnya
Jamal dan Jamilah pun bernikah. Semasa bersanding, semua orang memuji bahawa
mereka pasangan suami isteri yang sepadan. Namun begitu, enam bulan kemudian
Jamilah berasa kasih saying suaminya seolah-olah terhakis. Suaminya selalu
keluar ke merata-rata tempat sehingga dua tiga hari dengan alasan membuat kerja
luar. Jamilah berasa seolah-olah suaminya berlaku curang kepadanya. Andaiannya
itu menjadi kenyataan apabila sahabatnya, Anita memberitahu bahawa Jamal telah
berkahwin dengan Kamaliah, kekasih lamanya. Anita menunjukkan gambar-gambar
perkahwinan mereka. Anita memiliki gambar-gambar itu kerana Kamaliah sepupunya.
Jamilah yang sedang hamil empat bulan menangis tersedu-sedu. Perasaan remuk-
rendam.
6) Basri dan Kudin ialah anak Pak Murad dan
Mak Tipah. Mereka mempunyai pewatakan yang jauh berbeza. Basri sangat tekun
bekerja. Dia bekerja dari pagi hingga ke petang untuk mencari rezeki. Kudin
sangat malas. Sudahlah pulang lewat malam, bangun pula ketika hari sudah
tinggi, Satu kerja pun tidak dilakukannya.
7) Sepanjang hidup Bujal tidak pernah
melancong ke mana-mana. Oleh itu, dia tidak tahu hal-hal yang berlaku di luar
kampungnya. Dia amat gembira apabila mendapat tawaran untuk melanjutkan
pelajarannya di Britain. Kesempatan itu tidak akan dilepaskannya. Walaupun dia
ditawarkan meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan, namun dia menolaknya
kerana tahu kemampuannya lebih menyerlah dalam bidang ekonomi.
8) Tuan Haji Bakhil merupakan orang yang
terkaya di kampungnya. Dia tidak pernah menghulurkan bantuan kepada sesiapa pun
dan enggan berbelanja walaupun banyak wang kerana dia sangat kedekut. Perkara
itu telah menjadi topik hangat yang diperkatakan oleh semua penduduk kampung.
Isu itu masih berterusan sehingga kini. Satu lagi fiil buruk Tuan Haji Bakhil ialah tidak suka bergaul dengan penduduk-penduduk kampung yang lain.
9) Golongan belia dinasihati agar mengikuti
perkembangan teknologi moden hari ini dan memanfaatkannya ke arah yang positif.
Seiring dengan era globalisasi teknologi maklumat dan komunikasi sewajarnya
mereka membuka minda dan melihat bangsa dan negara lain yang telah maju. Jangan
hanya melihat sudut yang sempit atau sekeliling mereka sahaja.Setelah mendapat
ilmu dan kemahiran mereka perlu mengaplikasikan pula agar mendapat faedahnya
kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak memberi faedah juga.
10) Johan telah ditangkap kerana mencuri
barangan besi dari rumah jiran-jirannya. Perbuatannya itu telah lama dilakukan
tetapi akhirnya terbongkar juga dan kini dia tertangkap. Setelah tertangkap
baharulah dia sedar perbuatan buruk yang dilakukan dan dia insaf serta berjanji
tidak akan melakukan perbuatan tersebut lagi. Dia juga menerima nasihat
keluarganya supaya ikut yang baik, perbuatan buruk pula dihindari. Walaupun
begitu dia tetap dihukum atas perbuatan yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment