Followers

Thursday, March 3, 2011

KARANGAN LAPORAN

Karangan Laporan.
Soalan : Baru-baru ini sekolah anda telah mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah bagi menghargai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Sebagai setiausaha kelab, anda dikehendaki menyediakan laporan lengkap untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda. Tulis laporan tersebut selengkapnya.

Laporan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Panglima, Taiping, Perak


Sekolah Menengah Kebangsaan Taman panglima telah mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian pada hari Sabtu bersamaan 3 Februari 2009. Majlis itu diadakan dengan tujuan untuk menghargai kejayaan dan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah ini dalam bidang akademik dan kokurikulum. Pada majlis tersebut pelajar-pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam kedua-dua bidang tersebut akan diraikan dan menerima hadiah masing-masing. Majlis ini merupakan tradisi tahunan sekolah ini dan menjadi program wajib sekolah.
Sebelum majlis ini diadakan, pihak sekolah yang terdiri daripada Pengetua, Penolong Kanan, Penolong Kanan Hem, Penolong Kanan Kokurikulum dan Penolong Kanan Petang telah menentukan kategori hadiah yang akan diterima oleh pelajar-pelajar. Para pelajar akan dipilih berdasarkan kriteria tertentu. Setelah kategori penerima hadiah ditentukan, pihak sekolah telah mengadakan tapisan bagi menentukan penerima hadiah pula. Pembelian dan pembungkusan hadiah telah diadakan beberapa hari sebelum majlis diadakan. Urusan hadiah ini telah diuruskan oleh Pn.Sopiah Ismail dan ahli jawatankuasanya. Selain itu, persiapan pentas dan dewan diuruskan oleh Pn.Ayu Mawarni Hashim bertujuan menyerikan lagi majlis ini.
Pada hari yang ditetapkan, majlis dimulakan tepat pada jam 9.00 pagi. Majlis ini dimulakan dengan upacara menyambut kehadiran tetamu kehormat dengan paluan kompang oleh pelajar-pelajar asrama. Tetamu kehormat ialah Tuan Haji Mat Lazim Idris yang merupakan Pegawai Pendidikan Daerah. Pada tahun ini beliau telah diundang untuk merasmikan majlis ini. Beliau merupakan tokoh pendidik yang amat berjaya di peringkat kebangsaan. Beliau dijemput untuk merasmikan majlis ini dengan tujuan untuk memberi motivasi kepada para pelajar sekolah ini agar berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan yang cemerlang.
Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah ini dimulakan dengan ucapan Yang Dipertua PIBG iaitu En.Ahmad Kenek. Dalam ucapannya beliau menasihati para pelajar agar berusaha dengan gigih bagi memenuhi harapan ibu bapa mereka yang ingin melihat kejayaan anak-anak mereka. Dalam ucapan Puan Pengetua iaitu Puan Rahimah Jamaluddin pula, beliau mengajak guru-guru dan para pelajar berusaha mengharumkan nama sekolah dengan mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Manakala dalam ucapan perasmian, Tuan Haji Mat Lazim telah menggesa para pelajar meneruskan tradisi kecemerlangan sekolah ini sebagai salah sebuah sekolah tertua di kawasan Larut Matang dan Selama dengan pelbagai kejayaan dan kecermelangan. Beliau ingin melihat sekolah ini terus melahirkan generasi muda yang berjaya dalam pelbagai bidang.
Majlis ini tiba kemuncaknya apabila majlis penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya dijalankan. Majlis ini dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya dalam peperiksaan akhir tahun 2009 mengikut kelas masing-masing. Kemuncak upacara ini ialah penyampaian hadiah penghargaan kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan awam. Bagi peperiksaan PMR, saudari Amirah binti Ramli yang memperoleh 9A termasuk Bahasa Arab dipilih sebagai pelajar terbaik. Manakala saudari Nor Shazni binti Basiron, yang memperoleh 12A1 dalam peperiksaan SPM telah dipilih sebagai pelajar terbaik kategori SPM. Dalam bidang kokurikulum, saudara Mohd.Hasannuddin bin Idris telah dipilih sebagai penerima anugerah kerana kejayaannya menjadi naib johan kebangsaan pertandingan memanah.
Majlis ini ditamatkan pada pukul 1.00 petang dengan persembahan nasyid oleh pelajar-pelajar lelaki sekolah ini yang diketuai oleh saudara Mohd Firdaus Ismail. Sebelum bersurai, para hadirin telah dijemput untuk jamuan makan tengahari di dewan makan asrama. Ringkasnya majlis penuh gemilang ini berjaya dilangsungkan dalam suasana yang meriah dan berjaya memuaskan hati semua pihak.

Sekian, terima kasih,


Yang menjalankan tugas, 8 September 2009.


……………………………..
(SYAFIQAH BT YUSUF)
Setiausaha,
Majalah SMKTP,
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Panglima,
Taiping, Perak Darul Ridzuan.

Latihan : Anda sebagai ketua pelajar telah diminta untuk menulis laporan berkenaan dengan Sambutan Hari Guru 2010 peringkat sekolah.
Sediakan laporan anda itu selengkapnya.

No comments:

Post a Comment