Karangan Jenis Fakta
BAIK BURUKNYA KAFE SIBER.
Komputer dan teknologi maklumat(IT) sudah dianggap sinonim dengan kemajuan tamadun masa kini.Berikutan itu,perkhidmatan internet telah menjadi darah daging bagi mereka yang ghairah mengejar kemajuan.Seiringan dengan itu,pelbagai perniagaan yang bersangkut paut dengan teknologi maklumat muncul bagai cendawan tumbuh berceracak selepas hujan.Antaranya, termasuklah kafe siber.Pada asasnya, kafe siber merupakan restoran yang menyediakan berbagai-bagai kemudahan komputer kepada para pengunjungnya untuk mendapatkan maklumat dalam internet dan seumpamanya sambil menikmati hidangan makanan dan minuman.Kewujudan kafe siber telah membuka peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk menikmati kepelbagaian aplikasi internet yang ditawarkan.
Walaupun internet merupakan fokus utamanya di kafe siber,terdapat juga perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti menaip,permainan komputer,dan kursus penggunaan komputer.Menerusi perkhidmatan-perkhidmatan ini pengguna didedahkan kepada cara-cara penggunaan komputer yang betul.Selain itu , melalui internet kita akan dapat memperoleh pelbagai maklumat dari seluruh pelosok dunia dengan hanya menekan butang-butang pada papan kekunci komputer.Hal inilah merupakan kelebihan internet untuk membentuk masyarakat bermaklumat.Malah internet juga turut membolehkan seseorang berhubung dengan manusia di seluruh pelosok dunia melalui perkhidmatan
e-mel.
Namun di sebalik kebaikan tersebut,terdapat juga aspek-aspek negatifnya yang turut menuntut pihak pengusaha agar melakukan penapisan dan pengawalan terhadap pelanggan yang cenderung menyalahgunakan kemudahan yang disediakan. Walau bagaimanapun yang lebih penting adalah kesedaran yang ada pada pihak pengguna.Justeru,ketika meluncur di ruang siber,pihak pengguna tidak seharusnya menerima unsur-unsur negatif yang terhidang,apatah lagi membantu untuk menyebarkannya.
Terdapat juga pengguna yang cuba mengeksploitasikan kecanggihan teknologi internet di kafe siber untuk mewujudkan dan menyebarkan khabar-khabar angin,menyebarkan mesej yang bersifat menghasut,menceroboh serta membangunkan laman web lucah.Malah ,terdapat segelintir pengguna yang menggunakan internet untuk menjalankan aktiviti haram seperti skim cepat kaya,skim piramid,surat berantai dan baru-baru ini perjudian ala kasino melaui internet.Sementelahan itu,yang paling dikhuatiri ialah ketaksuban golongan remaja,lebih-lebih lagi pelajar sekolah yang sanggup ponteng sekolah hanya sekadar untuk melepak dan berseronok-seronok dengan melayari internet di kafe-kafe siber.Justeru ,ibu bapa perlu memainkan peranan agar anak-anak mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif di kafe siber.
Konklusinya,walaupun kafe siber ditubuhkan dengan niat baik untuk melahirkan masyarakat yang celik komputer,namun jika disalahgunakan akan membawa padah yang mampu merosakkan akhlak dan minda masyarakat.Oleh itu, pihak pengurusan kafe siber mempunyai tanggungjawab sosial untuk mengelakkan perkara ini dan bukannya mementingkan keuntungan semata-mata lalu “tutup sebelah mata’ asalkan pengunjungnya mampu membayar untuk perkhidmatan yang disediakan.
FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA KEGIATAN CETAK ROMPAK DAN KESAN-KESANNYA.
Cetak rompak bolehlah didefinisikan sebagai kegiatan menyalin semula tanpa kebenaran pengeluar yang sah.Kegiatan ini meliputi jenama barangan terkenal dan karya intelek seperti lagu,filem,dan perisian komputer.Jika dahulu penjualannya secara tersorok,kini secara terbuka, bagaikan melakukannya tidak bersalahan dari segi undang-undang.
Antara faktor berlakunya gejala ini ialah sikap tamak.Hal ini kerana golongan pengusaha mahu mengaut keuntungan dengan cara yang paling senang.Mereka mencetak barangan dengan menggunakan jenama yang sama.Sebagai contoh cakera padat (CD) lagu dan filem.Disebabkan lagu dan filem itu popular kerana faktor mutu,penyanyi,dan publisiti yang meluas orang ramai terangsang untuk memiliki CD tersebut tetapi harga mencecah RM30.00 menyebabkan orang ramai berfikir dua kali untuk membelinya.Lantaran itu,berbekalkan modal tidak sampai RM1.00 yang dikeluarkan oleh pengusaha pengguna dapat membeli CD tersebut dengan harga sekitar RM5.00.Pengusaha yang tamak tidak perlu membayar royalti kepada penyanyi dan penerbit sebab itulah mereka yang tidak berhati perut ini mendapat keuntungan lebih sepuluh kali ganda.
Faktor kedua ialah kurangnya penguatkuasaan undang-undang.Penguatkuasaan undang-undang yang longgar menyebabkan kegiatan ini berterusan.Akta Reka Cipta dan Bentuk masih ada kelemahannya.Mereka tidak takut dengan hukuman denda kerana keuntungan yang diperoleh begitu besar, sedangkan denda yang dikenakan terlalu kecil.Serbuan oleh unit penguatkuasaan Kementerian Perdagangan dan Hal-ehwal Pengguna sering dapat `dihidu’ kerana mereka mempunyai `orang dalam’ yang menyampaikan maklumat lebih awal.Keadaan lebih buruk kerana kekurangan kakitangan dan kawasan yang luas untuk diperiksa.
Faktor ketiga ialah kecanggihan teknologi menyebabkan kegiatan ini semakin mudah ditiru.Kecanggihan teknologi moden membolehkan barangan tiruan dihasilkan hampir sama dengan barangan asli sehinggakan orang ramai tidak dapat membezakan yang mana asli dan yang mana tiruan.Dengan modal yang kecil, sesuatu barangan itu boleh dihasilkan di bengkel-bengkel di belakang rumah tanpa disedari oleh sesiapa.Sesetengahnya dihasilkan oleh syarikat yang beroperasi secara sah,tetapi mengaburi orang ramai dan pihak penguat kuasa ,CD ini diusahakan di tingkat atas ataupun selepas waktu pejabat.
Kesan daripada kegiatan cetak rompak ini ialah kerajaan kerugian beribu-ribu juta ringit kerana tidak dapat memungut cukai.Apa juga perniagaan,kerajaan akan mengenakan cukai perniagaan,tetapi disebabkan keuntungan yang sedikit,kerajaan hanya mendapat cukai yang sedikit sahaja.Pihak pengusaha yang tamak ini akan mendapat untung bersih kerana kegiatan mereka terselindung dan tidak berdaftar.Natijahnya,cukai yang diperoleh tidak dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan negara seperti menyediakan kemudahan prasarana, pendidikan, dan sebagainya.Sementelahan itu ,golongan karyawan seperti penyanyi,penggubah,pencipta,dan penulis lirik tidak memperoleh royalti seperti yang diharapkan.Lagu “meletup” di pasaran,tetapi royalti sedikit.Hal ini sudah pasti akan melemahkan semangat mereka.Kemungkinan ada di antara mereka akan bertukar kerjaya kerana tidak kuat semangat untuk membanteras gejala cetak rompak ini.Seterusnya,bimbang akan mengalami kerugian, pihak syarikat akan mengurangkan kos penerbitan yang menyebabkan kualiti penerbitan akan merosot.
Malahan ,kegiatan ini juga menampilkan imej yang tidak baik terhadap negara luar.Mereka akan beranggapan bahawa kerajaan Malaysia tidak bertindak tegas terhadap kegiatan cetak rompak ini.Walaupun sebenarnya telah banyak usaha yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak yang berkenaan namun gejala ini tetap terus membengkak .Justeru,bagi memulihkan semula imej negara dalam bidang penerbitan hak cipta ini diharapkan kerajaan dan juga rakyat saling menggembleng tenaga untuk memberantasnya.
Konklusinya, semua pihak yang terlibat dalam industri ini perlu turun ke padang bagi menyelesaikan masalah ini ke peringkat akarnya.Baik pemimpin mahupun rakyat mestilah menyelesaikan masalah ini dengan serius.Bak kata pepatah ‘Hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih’.
SEBAB-SEBAB MENINGKATNYA KEMALANGAN JALAN RAYA
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Puan Rahimah binti Jamaluddin,Puan Pengetua SMK Taman Panglima, Encik Mohd.Harun bin Salleh,Penolong Kanan Pentadbiran,Puan Norhafizah Saad, Penolong Kanan HEM ,Puan Naemah binti Ramli,Penolong Kanan Kokurikulum ,guru-guru dan rakan-rakan sekalian.Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah sebab-sebab meningkatnya kemalangan jalan raya.
Hadirin yang dimuliakan,
Jika kita membaca akhbar setiap hari,suka atau tidak akan terpandang tentang kemalangan di jalan raya.Penyiaran berita kemalangan semakin meningkat menjelang hari perayaan.Kadang-kadang terfikir dalam minda kita,murah sangatkah nyawa manusia? Apakah rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa akan bertukar menjadi ganas apabila di jalan raya? Kempen demi kempen dijalankan,adakah sekadar melepaskan batuk di tangga atau sememangnyatidak dipedulikan langsung oleh masyarakat? Di manakah silapnya?Menuding ibu jari kepada orang lain,sebenarnya empat jari lagi menuding diri sendiri.
Salah satu punca kemalangan ini ialah jalan yang tidak begitu baik.Walaupun Jabatan Kerja Raya (JKR) berusaha memperbaiki jalan ,tetapi pertambahan mendadak jumlah kenderaan,terutamanya kenderaan berat menyebabkan jalan raya mudah rosak.Jalan yang berlubang asalnya kecil,menjadi buruk jika tidak segera diturap.Apabila hari hujan,pengguna yang tidak menyedari keadaan jalan raya melalui jalan tersebut.Sebuah kenderaan mengalami kecelakaan menyebabkan perlanggaran dengan kenderaan lain.Keadaan jalan yang tiada garis pemisah ,tanpa lampu isyarat,dan tanda amaran tentang selekoh tajam atau cerun menyebabkan pengguna menjadi keliru,sekali gus meningkatkan lagi jumlah kemalangan.
Hadirin sekalian,
Pertambahan jumlah kenderaan yang semakin mendadak juga menyumbang ke arah kemalangan di jalan raya.Penguatkuasaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) boleh dianggap cuma mengikut musim.Menjelang hari perayaan ataupun mendapat aduan daripada orang ramai barulah menjalankan operasi.Sedangkan sikap pengguna yang kurang ajar berlaku setiap detik sama ada di jalan biasa ataupun di lebuh raya.Tanpa penguatkuasaan yang tetap menyebabkan pengguna tidak berasa takut untuk membawa kenderaan melebihi 110 kilometer sejam di lebuh raya.Memang rata-rata pengguna berasa seronok dapat memandu laju,selain cepat sampai ,juga dapat menguji kenderaan yang telah diubah suai.Tetapi jika sedar,tindakannya menyebabkan terpaksa menerima denda RM300.00,mereka akan berfikir dua kali sebelum memandu laju.
Hadirin yang dikasihi,
Suasana pekerjaan dan masalah juga mempengaruhi tindakan seseorang itu.Jumlah perbelanjaan yang meningkat,sedangkan pendapatan masih ditakuk lama ,dan apabila di pejabat pula,majikan memarahinya kerana tidak menjalankan kerja seperti yang diingini menyebabkan seseorang itu menjadi tertekan.Keadaan ini menyebabkan perasaan sudah tidak seimbang lalu jalan yang berliku dirasakan lurus.Jalan raya dirasakan kepunyaan sendiri lalu memecut selaju mungkin.Akibatnya ,pengguna yang tidak bersalah juga terbabit dalam kemalangan.
Faktor terakhir ialah sikap cuai pengguna kenderaan juga membantu meningkatkan kemalangan jalan raya .Pertamanya ,kenderaan kurang diperiksa,sama ada brek,minyak hitam,ataupun tayar untuk memastikan dalam keadaan baik atau tidak.Bagi pengguna seperti ini,asal kereta bergerak sudah,tanpa memikirkan kemungkinan akan berlaku.Sewaktu memandu pula mata kurang berwaspada terhadap tanda-tanda isyarat atau amaran yang terpampang di jalan raya.Kerana sikap ini sesetengahnya akan memecut di selekoh jalan.Dan akhirnya ,sikap cuai ini menyumbang kepada penambahan kadar kemalangan jalan raya.
Sekian sahaja ucapan saya,saya sudahi dengan serangkap pantun.
Ingat keluarga apabila berkereta,
Pandulah kereta dengan cermat,
Berhati-hati di jalan raya,
Kemalangan tiada,hidup selamat.
Sekian ,terima kasih.
Karangan Jenis ucapan/ceramah/syarahan
CIRI-CIRI AMALAN HIDUP YANG SIHAT
Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Puan Rahimah binti Jamaluddin,Pengetua SMK Taman Panglima, Encik Mohd Harun bin Salleh,Penolong Kanan Pentadbiran,Puan Nor Hafizah binti Saad ,Penolong Kanan HEM,Encik Roslen bin Hashim,Penolong Kanan Kokurikulum,guru-guru dan hadirin sekalian.Berdirinya saya pada pagi yang indah ini adalah untuk menyampaikan ucapan yang bertajuk ciri-ciri amalan hidup yang sihat.
Saudara dan saudari sekalian,
Sesuatu yang kita tidak ingini ialah diri ditimpa penyakit,apatah lagi penyakit yang boleh membawa maut.Kita mahu diri sentiasa sihat agar dapat bekerja,bermesra bersama dengan keluarga ,dan melakukan aktiviti harian tanpa ada halangan.Tetapi sedar atau buat-buat tidak sedar,kadang-kadang apa yang kita lakukan mendekatkan kita dengan penyakit yang kita benci.
Justeru , bagi memastikan diri sihat,amalan hidup sihat perlu diamalkan.Kegiatan yang tidak bermoral harus dihindarkan seperti ketagihan dadah.Hal ini bagi mengelakkan jangkitan virus melalui perkongsian jarum suntikan yang mengakibatkan AIDS berlaku.Perkara yang menghairankan kita adalah walaupun pelbagai kempen telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama media massa,jumlah mereka yang terlibat sebagai pembawa virus HIV tidak berkurangan malah terus bertambah bagaikan manusia sengaja menempah maut.
Hadirin sekalian,
Ciri yang kedua ialah amalan pemakanan.Pemakanan yang seimbang adalah amat penting bagi memberikan kesihatan yang baik.Memang enak memakan apa yang sedap di lidah,tetapi mestilah kena fikirkan tentang khasiat dan mutu kebersihan makanan tersebut.Sikap berjimat tidak bertempat kadangkala tidak boleh dipakai.Oleh sebab sayang akan wang mengalir keluar,kita sanggup makan di tepi jalan dengan debu berterbangan hinggap di makanan.
Ciri seterusnya ialah amalan menjaga kebersihan alam sekitar perlulah disematkan dalam kehidupan kita.Pencemaran yang disebabkan oleh sikap manusia sendiri yang suka membuang sampah di merata-rata tempat menyebabkan terjadinya sarang lalat , tikus dan tempat air bertakung pula boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.Binatang-binatang ini boleh menyebabkan berlakunya penyakit seperti taun dan demam denggi.
Saudara dan saudari yang dikasihi,
Selain daripada ciri di atas ,senaman juga patut diamalkan oleh setiap individu.Hal ini demikian kerana bagi memastikan otak yang cerdas seperti kata pepatah otak yang cerdas lahir daripada tubuh badan yang sihat.Justeru , senaman perlu dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit dalam sehari seperti berjoging,berjalan atau memadai dengan mendaki tingkat bangunan dengan menggunakan tangga.Aktiviti-aktiviti seperti ini dapat mengeluarkan peluh agar kita sentiasa sihat,persis kata pujangga mencegah lebih baik daripada mengubati.Jadi, sebelum diri ditimpa penyakit ,ataupun sebelum penyakit menular ,usaha-usaha untuk mengatasinya perlulah dilakukan.
Pendek kata,kesihatan adalah aspek penting kepada setiap insan,keluarga dan negara.Atas sebab itulah kita perlu mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan diri kita sentiasa dalam keadaan sihat.Tanyalah diri sendiri,apakah amalan hidup kita selama ini dapat memastikan diri dalam keadaan sihat?Jika tidak,kita masih berpeluang membaiki keadaan.Lakukanlah bermula hari ini.
Sekian, terima kasih.
Karangan jenis Rencana
DISIPLIN PELAJAR-TANGGUNGJAWAB SIAPA?
Oleh: Hasanah bt Shahidan
Rata-rata masyarakat hari ini sedang kebingungan dengan fenomena keruntuhan akhlak dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.Pelbagai persoalan ditimbulkan.Apakah pihak sekolah selaku institusi pendidikan gagal menangani masalah ini ?Bagaimanakah pula peranan ibu bapa dan keluarga atau kesilapan ini berpunca daripada masyarakat hari ini yang umpama 'enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing'?
Segala persoalan akan terjawab dengan mengkaji dan menilai kembali pengertian sebenar konsep pendidikan,tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Di samping itu, institusi keluarga dan masyarakat perlulah peka terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Tanpa menuding jari ke arah mana-mana pihak,semua patut insaf betapa kemerosotan disiplin ini menandakan ada kesilapan pada bahagian tertentu pendidikan secara formal atau tidak formal.Pihak ibu bapa janganlah menyalahkan pihak sekolah dan pihak sekolah pula tidak patut menuding jari itu adalah kesilapan ibu bapa.Setiap insan sepatutnya bertanggungjawab dalam membendung gejala ini tanpa kompromi.
Semasa di sekolah guru-guru perlulah melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh minat dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan proses pendidikan. Guru-guru janganlah sekadar melepaskan batuk di tangga dalam proses pendidikan ini.Pelajar-pelajar sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak serius,apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun dalam perkara yang dianggap remeh,seperti menghisap rokok dan tidak masuk ke kelas untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
Dalam konteks yang tidak formal pula ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka.Bayangkanlah konflik jiwa anak-anak jika ibu bapa setiap hari menghantar anak-anak ke kelas fardu ain tetapi anak mengetahui ibu bapanya tidak pernah sembahyang.Selain itu ibu bapa tidak pernah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak baik dari segi perbuatan,pakaian mahupun dari segi percakapan.Fikirlah wahai ibu bapa sekalian, anak-anak ibarat kain putih jika kita tidak mencorakkan dengan cantik begitulah keadaannya yang berlaku.
Masalah disiplin ini bukan sahaja berpunca daripada sistem pendidikan kita sahaja. Banyak sifat negatif berakar umbi daripada pendidikan dalam keluarga, terutamanya keluarga yang porak peranda dengan seribu satu masalah. Kegagalan seperti ini perlu dibedah siasat supaya barah ini tidak terus merebak dan menjadi bertambah serius.
Masyarakat dan persekitaran juga memainkan peranan yang penting dalam menyumbang ke arah masalah ini.Sikap masyarakat kini yang terlalu mementingkan materialistik dan masing-masing membuat hal sendiri menjadikan penyakit ini bertambah menular.Masyarakat yang berasa itu bukan anak dia,bukan saudara dia, yang menyebabkan kita sukar untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Selain itu, faktor ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak juga menyebabkan masalah ini semakin membengkak.Ibu bapa yang terlalu menatang anaknya bagai minyak yang penuh menyebabkan guru-guru sukar untuk membentuknya.Sekiranya guru memukul anak-anak mereka, ibu bapa terus datang ke sekolah dan menyalahkan guru tanpa diusul periksa. Fenomena ini menyebabkan guru-guru takut untuk menegur atau mendisiplinkan pelajar kerana bimbang ibu bapa akan datang menyerangnya di sekolah.
Jika berlaku keadaan yang sedemikian siapakah lagi yang patut dipersalahkan ? Barah ini yang hanya menunggu masa sahaja perlulah dibedah siasat dengan segera berdasarkan pertimbangan terhadap pelbagai faktor seperti keperibadian guru,kesahihan sistem pendidikan,ibu bapa dan keprihatinan masyarakat.Penilaian yang sahih dan saksama dengan mengenepikan unsur sentimen dan prejudis bakal membuka ruang ke arah penyelesaian yang lebih konkrit.
Keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa masalah disiplin pelajar adalah tanggungjawab bersama.Oleh itu, semua pihak harus menghentikan pertikaian siapakah yang bertanggungjawab.Sebaliknya mereka mesti tepuk dada tanya selera, adakah mereka telah menunaikan kewajipan dengan sepenuh hati mengikut kehendak agama, ataupun sekadar memenuhi tuntutan hidup semata-mata ? Fikirkanlah,semoga penyelesaian yang baik dapat dicari agar benang yang kusut dapat diurai.
HAK DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA
Dunia konsumerisme dewasa kini sering mengalami pergolakan.Situasi ini berpunca akibat daripada kelemahan peniaga dan pengeluar dalam mematuhi etika perniagaan sehingga meninggalkan kesan yang tidak sihat kepada pengguna.Siapakah yang dimaksudkan sebagai pengguna? Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, penguna didefinisikan sebagai orang yang membeli dan menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan. Natijah daripada kejahilan para pengguna dalam menentukan tentang hak-hak dan tanggungjawab pengguna menyebabkan mereka senang diperkotak-katikkan oleh peniaga yang suka ‘menangguk di air keruh’.Hal ini memang sering terjadi kepada para pengguna yang rata-ratanya tidak mengetahui hak-hak dan tanggungjawab mereka..Walaupun mereka ini mempunyai kelulusan yang tinggi dalam akademik dan memegang jawatan tinggi dalam sektor perkhidmatan.
Isu kepenggunaan atau konsumerisme ini sudah menjadi polemik di kalangan masyarakat kita.Namun masih kurang tindakan yang dilakukan bagi menangani situasi ini.Jika isu ini dibiarkan begitu sahaja,impaknya tetap mempengaruhi kehidupan manusia sejagat.Sejajar itu,kita sebagai pengguna mestilah proaktif dalam memainkan peranan supaya kata-kata Adam Smith bahawa ‘Consumer is the king’ atau ‘Pengguna ialah raja’ tidak hanya tinggal pada kata-kata sahaja.
Menurut Pertubuhan Kesatuan Pengguna Sedunia terdapat tujuh hak asasi pengguna, iaitu hak untuk mendapat keselamatan,hak untuk mendapat maklumat,hak untuk mendapat keperluan asas dan pilihan,hak untuk mendapat perwakilan,hak untuk mendapat pampasan,hak untuk mendapat pendidikan, dan hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih.Jadi,setelah mengetahui hak-hak ini pengguna mestilah bertindak secara rasional apabila membeli barangan atau perkhidmatan semoga mereka tidak menjadi mangsa kecurangan peniaga atau pengeluar ini.Sikap peniaga yang suka menaikkan harga barang secara semberono perlu ditangani segera.Jika ada peniaga yang bertindak menipu dalam jual beli barangan atau perkhidmatan,kita sebagai pengguna wajib mengambil tindakan melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Persatuan Pengguna,Tribunal Pengguna,Majlis Pengguna dan sebagainya.
Sebagai seorang pengguna kita berhak untuk mendapatkan keselamatan daripada produk-produk dan perkhidmatan yang ditawarkan supaya ia tidak membahayakan kesihatan.Hal ini kerana, kebanyakan produk tidak menjaminkan keselamatan dan mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan kita.Biar kita mengambil contoh, peristiwa ‘pil pelansing Slim 10’yang menimpa seorang pelakon Singapura iaitu Andrea De cruz yang nyaris menemui ajal kerana mengalami kegagalan fungsi hati akut gara-gara mengambil pil langsing.Fenomena ini berlaku akibat pihak pengeluar produk menggunakan bahan kimia yang diharamkan iaitu gabungan Fenfluramine dan Phentermine. Selain itu,pengguna juga mempunyai hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih.Jika kita renungkan kembali,dasawarsa ini cuaca amat panas terik sehingga merimaskan setiap aktiviti kehidupan harian kita.Semua ini berpunca daripada alam sekitar yang tercemar.Sepatutnya pengguna berhak hidup dan bekerja dalam suatu alam sekitar yang bersih,tidak tercemar,tidak membahayakan kesihatan,tidak mengancam kebebasan serta menjamin kehidupan yang selesa.
Memang sah dan ternyata ,kita semua ialah pengguna .Namun,adakah kita benar-benar tahu akan apa hak kita?Hak untuk mendapat pampasan merupakan satu perkara yang sering kita tidak tahu kewujudannya.Kejahilan ini menyebabkan kita sering teraniaya.Pengguna sebenarnya mempunyai hak untuk mendapat pampasan atau ganti rugi daripada peniaga jika diberi barangan atau perkhidmatan yang rosak,busuk,dan tidak berkualiti.Di bawah Ordinan Jualan Barang-Barang 1957 dan Akta Kontrak 1974 merupakan undang-undang yang memberi hak kepada pengguna untuk mendapat pampasan jika diberi barang atau perkhidmatan yang tidak berkualiti atau tidak memenuhi syarat-syarat yang dijanjikan.Oleh itu,kita sebagai pengguna perlu peka terhadap perkara sebegini supaya tidak terus menjadi ‘seperti mentimun yang digelek oleh durian’.
Selain itu, pengguna juga berhak untuk mendapat pendidikan kepenggunaan. Pendidikan kepenggunaan boleh menjadikan setiap individu itu mempunyai maklumat serta kebolehan membuat pilihan secara waras.Lebih penting lagi,dengan adanya ilmu konsumerisme ini pengguna akan bertindak melaporkan kejadian penyelewengan oleh peniaga-peniaga kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan yang sewajarnya diambil dengan segera.Sikap dan mentaliti pengguna pada hari ini perlu ada anjakan paradigma supaya mereka akan bertindak lebih efektif dan efisyen.Tindakan tidak berhati perut oleh para peniaga yang diumpamakan seperti lintah darat ini wajar dibanteras.Hal ini kerana, tanpa kita sedari golongan yang tidak beretika inilah yang selalu memperalatkan para pengguna lantaran ketidakpekaan mereka terhadap hak-hak sebagai pengguna.
Kecenderungan masyarakat moden yang tidak suka menjaga tepi kain orang juga menyebabkan mereka sering ditindas oleh golongan lintah darat ini.Dalam era globalisasi ini sepatutnya pengguna tidak harus terpinggir dan terkebelakang.Masyarakat hari ini naïf dengan kebendaan dan material yang melalaikan sehingga kadang kala mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.Apakah sebenarnya tanggungjawab pengguna? Menurut Risalah yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Kuala Lumpur,ada menggariskan pengguna mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga terhadap masyarakat.Justeru,untuk membebaskan pengguna daripada belenggu kejahilan dan kegelapan ini maka mereka perlu tahu apakah tanggungjawab terhadap diri sendiri? Sebagai warga Malaysia yang prihatin kita mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan maklumat untuk diri sendiri.Kita perlu mengetahui dan memahami segala maklumat berkaitan dengan barang-barang yang dibeli.Lebih penting lagi, kita sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri sendiri apabila menggunakan barang-barang yang bahaya seperti barang-barang elektrik,bahan-bahan kimia dan ubat-ubatan.Segala arahan tentang cara penggunaan barang-barang tersebut mestilah dipatuhi agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
Seterusnya , pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk membuat aduan jika ditipu dan menuntut pampasan jika ada kecacatan pada barang tersebut.Pendedahan yang dibuat oleh media massa seperti surat khabar Mingguan Malaysia patut dipuji,dengan adanya ruangan ‘Dari Tribunal Tuntutan Pengguna’ pada setiap hari Ahad sedikit sebanyak perkara yang dipaparkan di ruangan itu memberi panduan dan pengetahuan kepada para pengguna tentang cara-cara menuntut ganti rugi.Biar kita mengambil contoh,kisah seorang pengguna yang tertipu apabila mengharapkan gambar yang mencatatkan detik bergelar graduannya hanya tinggal memori di fikirannya sahaja kerana pihak studio yang ditugaskan merakamkan detik-detik penuh bersejarah itu tidak menggunakan keprofesionalisme yang menyebabkan gambar tersebut tidak berkualiti.Walaupun sesetengah pihak menganggap perkara yang dituntut oleh pengguna itu remeh-temeh tetapi pihak yang menuntut berjaya mendapat ganti rugi yang sepatutnya, kerana Tribunal berpendapat detik bergelar graduan tidak akan berulang lagi dan adalah tidak munasabah bagi pihak yang menuntut menyewa jubah graduan dan membeli semula bunga hidup semata-mata untuk mengambil gambar buat kali kedua.Kes ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 30 November 2003.
Selain tanggungjawab terhadap diri sendiri,pengguna juga bertanggungjawab terhadap masyarakat iaitu tanggungjawab perwakilan yang bermaksud pengguna perlu memainkan peranan yang positif dalam badan-badan yang mewakili kepentingan mereka seperti FOMCA, Persatuan Pengguna dan Majlis Pengguna.Pengguna perlu bersikap proaktif jika mahu mereka tidak terus ditindas.Bertitik tolak dari situ juga pengguna perlu bertanggungjawab dalam bidang pendidikan kepenggunaan supaya dapat mewujudkan masyarakat pengguna yang bijak dan waras.Kita tidak mahu lagi pengeluar atau peniaga mengambil kesempatan sehingga menyebabkan kadar inflasi meningkat.Dalam konteks ini,pengguna mestilah bertindak wajar dan tidak hanya bertopang dagu merintih bahawa diri mereka sudah tertipu.
Kesimpulannya, pendidikan kepenggunaan amat penting dalam membentuk masyarakat yang dinamik dan harmoni.Justeru,kita perlulah mengambil inisiatif untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang konsumerisme ini agar tidak terus ditipu oleh peniaga yang ‘ seperti harapkan pagar, pagar makan padi’ dan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengeluar dan penjual yang mematuhi etika amalan perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa ini.Oleh itu,komitmen yang tinggi
daripada semua pihak harus digembleng semoga usaha memodenkan budaya konsumerisme dapat mewujudkan kesejahteraan sosial masyarakat. Di samping itu, pihak – pihak yang berkenaan seperti Persatuan Pengguna dan FOMCA mestilah sentiasa memantau hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan pengguna agar pengguna tidak terus ditindas dan ditipu oleh lintah darat yang hanya tahu menghisap darah orang lain tanpa memikirkan natijahnya.Diharapkan kerjasama yang padu antara pengguna dan pihak-pihak yang memperjuangkan kepentingannya ini dapat membanteras masalah kecurangan dalam kalangan peniaga dan pengeluar ,semoga keharmonian dan kesejahteraan hak-hak pengguna tidak terus dinodai.
(1070 patah perkataan)
Bibliografi
1.Fokus Ungu Masteri SPM Perdagangan,Loo Chee Kuang dan Normala binti
Ramli,Pelangi Sdn.Bhd.2003.
2.Maklumat dari Seminar Tribunal Tuntutan Penguna Sempena Sambutan Hari Pengguna
Sedunia 2000 Peringkat Negeri Perak di Dewan Perbandaran Taiping.
3.Mingguan Malaysia, Pil Langsing yang membunuh,Najibah binti Hassan,28 Mac 2004.
4.Risalah Hak dan Tanggungjawab Pengguna, terbitan Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal ehwal Pengguna,Kuala Lumpur.
Terima kasih....
ReplyDeletemakanan segera dialog tiada lah apa ini
ReplyDelete