Followers

Thursday, November 17, 2011

Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial

BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 BAHAGIAN B (Karangan Respon Terbuka)
Dimensi Diri
Latihan 1:
Seorang rakan anda telah terlibat dengan gejala sosial yang serius sehingga rakan anda itu mengabaikan pelajaran.
Huraikan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu rakan anda itu.
Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya telah terlibat dengan gejala sosial yang serius. Rakan saya itu kerap memonteng kelas, terlibat dengan vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya rakan saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak akhir-akhir ini rakan saya itu sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang sahabat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakan saya itu supaya dia insaf bak kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Saya berharap usaha-usaha yang saya lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang tanggungjawabnya sebagai seorang remaja dan sebagai seorang pelajar. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu rakan saya?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk membantu rakan saya itu ialah saya akan menasihatinya supaya tidak menjerumuskan diri dalam kancah gejala sosial. Saya akan mengingatkan sahabat saya itu tentang akibat sekiranya rakan saya itu terlibat dengan gejala sosial. Saya akan menyedarkan rakan saya akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak agar tidak menghampakan harapan ibu bapanya. Rakan saya perlu sedar bahawa dia pernah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pernah menerima anugerah pelajar terbaik PMR. Saya berharap nasihat-nasihat saya itu dapat menyedarkan rakan saya dan rakan saya akan berubah sikap serta insaf akan kesalahan yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Saya tidak mahu rakan saya berasa menyesal pada kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa rakan saya itu dan memberitahu mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berbuat demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu tidak tahu tentang penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di sekolah. Saya berharap ibu bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Besar kemungkinan faktor kekurangan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa yang menyebabkan rakan saya terjebak dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa rakan saya sudah mengetahui masalah anak mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap rakan saya itu. Ibu bapa rakan saya mungkin akan lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan dengan anak untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi. Jelasnya, tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan saya itu diharapkan dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.
Di samping itu, saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling. Saya akan memberitahu guru kaunseling tentang penglibatan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap guru kaunseling dapat membimbing rakan saya dan menasihatinya supaya berubah sikap. Sesi kaunseling ini amat penting kerana menerusi sesi kaunseling, rakan saya itu akan sedar dan insaf tentang perbuatannya yang salah selama ini. Rakan saya juga dapat mengenali identiti diri dan motivasi untuk berubah apabila guru kaunseling memberi nasihat dan dorongan kepada rakan saya itu. Saya juga berharap rakan saya dapat membina keyakinan diri dan menyedari betapa pentingnya pembinaan sahsiah diri dan akhlak dalam kalangan remaja sebagai benteng supaya tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Tegasnya, menerusi sesi kaunseling ini rakan saya sebagai remaja dapat menginsafi dan menyedari peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin mengatakan bahawa sekiranya kita ingin melihat masa depan remaja maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara.
Seterusnya, saya juga akan mengajak rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah. Saya akan membawa rakan saya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan motivasi diri. Sebagai contoh, saya akan mengajak rakan saya menghadiri ceramah agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji al-Quran, Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri itu, saya berharap rakan saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa yang pernah dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina Insan pula, rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk berubah terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak. Hasil daripada pergaulan dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya itu dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Jelasnya, rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik dan dia juga tahu menghargai masa kerana masa itu emas.
Selain itu, saya juga akan sentiasa membantu rakan saya dalam pelajaran. Saya akan mengajak rakan saya menghadiri kumpulan perbincangan. Saya juga akan membantu rakan saya memahami topik-topik pelajaran yang ketinggalan selama ini. Saya akan mengajak rakan saya mengulang kaji di perpustakaan untuk mencari rujukan dan berbincang tentang topik-topik yang kurang difahami. Saya juga akan mengajak rakan saya menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Saya akan menasihati rakan saya tentang kepentingan pelajaran dalam kehidupan. Tanpa pelajaran, masa depan seseorang itu gelap. Pada masa yang sama, saya akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk mengadakan perbincangan dengan rakan saya ini. Tujuan saya berbuat demikian adalah memastikan rakan saya benar-benar insaf dan tidak mengabaikan pelajaran.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu yang murni dan perlu diteruskan. Saya berharap usaha yang saya lakukan ini dapat membantu rakan saya supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Saya juga berharap rakan saya benar-benar insaf dan bertanggungjawab terhadap masa hadapannya kerana ’sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Rakan saya perlu ingat bahawa sekiranya dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah. Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri agar tidak mudah dipengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya, rakan saya perlu berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah mengatakan rajin dan usaha tangga kejayaan dan yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

1 comment:

  1. cikgu xda tajuk "kebaikan universiti di kalangan pelajar"?

    ReplyDelete