Followers

Saturday, January 29, 2011

Watak dan Perwatakan-Kembara Amira (Sumber:BPK-KPM)

Watak Utama-Amira

·         Pelajar sekolah swasta.
·         Anak Profesor Zaidah.
·         Ayahnya bekerja sebagai jurutera IT.
·         Seorang yang berani. Contohnya Amira berani mengikut Itai untuk mendaki Gunung Gua Gajah walaupun berbahaya.
·         Seorang yang penyayang. Contohnya Amira amat menyayangi Jacinta dan dia  menangis apabila Jacinta tidak sedarkan diri kerana sesat di hutan.
·         Seorang yang mudah mesra. Contohnya Amira cepat menyesuaikan diri bersama pelajar-pelajar ibunya.
·         Seorang yang penyabar. Contohnya Amira sabar dalam usaha menjalankan kerja lapangan yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Watak Sampingan
1. Jacinta

·         Berkulit cerah.
·         Berbangsa Cina.
·         Rakan sebilik Amira di sekolah swasta.
·         Anak seorang jutawan.
·         Telah kematian ibunya empat tahun lalu.
·         Seorang yang memendam rasa. Contohnya Jacinta tidak berpuas hati dengan ayahnya yang berkahwin lain tetapi Jacinta tidak cuba untuk berterus terang.
·         Seorang yang sensitif. Contohnya Jacinta cepat merajuk apabila isu keluarganya diungkit.
·         Seorang sahabat yang setia. Contohnya Jacinta sentiasa bersama-sama dan menemani Amira dalam apa-apa jua keadaan.
2.Itai

·         Berkulit gelap.
·         Berbadan tegap.
·         Anak orang asli yang bersekolah di bandar.
·         Anak kepada Tau.
·         Bakal ketua kampung.
·         Seorang yang tahu selok- belok hutan. Contohnya setelah belajar daripada Tau, akhirnya Itai berjaya mengenal selok -belok hutan. Sebagai contoh, dia berjaya menyelamatkan Amira daripada dihanyutkan oleh arus deras.
·         Seorang yang prihatin. Contohnya apabila mengetahui Jacinta mahu memiliki batu Kuartza seperti Amira, Itai berusaha memujuk Jacinta dengan mendapatkan emas untuk dijadikan loket.
·         Seorang yang berani.  Contohnya, Itai berani untuk berlawan dengan makhluk berbulu yang amat digeruni oleh semua masyarakat orang asli.
·         Seorang yang mempunyai keistimewaan deria keenam.  Contohnya Itai dianugerahkan kelebihan deria keenam iaitu dapat mengenali tapak kaki, meneka jantina berdasarkan tapak kaki dan boleh menghidu bau yang dibawa oleh angin.
 
3.Profesor Zaidah
·         Wanita pertengahan usia
·         Ibu kepada Amira
·         Pensyarah universiti
·         Meminati bidang arkeologi
·         Seorang yang penyayang contohnya, sebagai ibu Prof. Zaidah membelai dan memeluk Amira ketika Amira bersedih kerana Jacinta tidak sedarkan diri ketika sedang mencari Amira yang dihanyutkan oleh arus. 
·         Seorang yang tegas. Contohnya sebagai pengarah projek di Desa Karpus, Prof Zaidah tegas dalam memberi arahan kepada setiap gerak kerja yang akan dilakukan.
·         Seorang yang tidak mudah berputus asa. Contohnya, Walaupun Prof Zaidah dihujani dengan pelbagai cabaran dan dugaan seperti keretanya pernah disabotaj sehingga terbabas, namun beliau bertegas untuk meneruskan projek cari gali tersebut.
 4. Tau
·         Seorang yang tinggi lampai.
·         Berbadan tegap.
·         Bapa kepada Malique dan Itai.
·         Bekas suami kepada Ipah (Jennifer).
·         Adik kepada Ludin.
·         Seorang yang bersifat prejudis. Contohnya, Tau tidak menyenangi kehadiran orang luar ke kawasan Bukit Mat Raya walaupun tanpa mengetahui tujuan mereka.
·         Seorang yang sanggup berkorban. Contohnya Tau sanggup menggantikan abangnya Ludin untuk berkahwin dengan Ipah agar abangnya dapat menjadi ketua kampung.
·         Seorang yang prihatin. Contohnya, pada setiap malam, Tau sanggup berada di Desa Karpus untuk menjaga keselamatan pelajar-pelajar Prof Zaidah tanpa pengetahuan mereka.
5. Malique(Sabi)
·         Berkulit gelap.
·         Berambut kasar.
·         Anak Tau dengan Ipah.
·         Abang kepada Itai.
·         Seorang yang mahir dalam bidang IT. Contohnya, O’hara menyuruh Malique menyiapkan laporan menggunakan kemahiran IT yang dimilikinya.
·         Seorang yang mencintai alam sekitar. Contohnya, Malique sanggup mencipta virus sendiri dalam laporan yang disiapkan semata-mata untuk menggagalkan projek mencari emas O’hara yang boleh memusnahkan hutan tersebut.
·         Seorang yang bersopan-santun. Contohnya, semasa melawat Amira di Desa Karpus, sikap Malique yang beradap telah menambat hati Prof. Zaidah.









Friday, January 28, 2011

Sedarlah Anak-Anak Bangsaku

TAJUK: SEDARLAH ANAK-ANAK BANGSAKU


Hembusan bayu senja sepoi-sepoi bahasa
menggigit hingga ke pangkal rasa
kulihat anak-anak bangsaku
mula mencari keseronokan
keseronokan duniawi ciptaan sendiri.

Mengapakah begini jadinya bangsaku?
Mengapakah jalan ini yang kau pilih?
lihatlah lantaran dibuai mimpi-mimpi indah
engkau hilang maruah bangsa
engkau hilang segala-galanya….

Bangsaku..kembalikan maruah diri
hilangkan resah gelisah bonda
hindarkan segala gusar
ingatlah..ingatlah bangsaku..
tanah ujana sukma ini
bebas leluasa merdeka.

Janganlah dibiarkan dirimu dibelenggu lara
menanti kuntum gugur di laman sendiri
menanti tersepuk di bumi tercinta
menyesal tiada erti
tangisan sendu tiada berguna lagi.


Disediakan oleh: Pn.Hasanah Shahidan
Sayembara Puisi

Sajak Buat Pn.Rahimah ,Mantan Pengetua SMKTP

R ajin dan gigih setiap ketika
A kur arahan sepanjang masa
H asratmu tinggi menggapai cita
I ngin sentiasa di mercu jaya
M encabar minda lakukan yang luar biasa
A gar dirimu sentiasa berwaspada
H akikat indah pasti tercipta


J ati dirimu demi anak bangsa
A manah dan ikhlas tersemai di jiwa
M urni pengorbananmu sentiasa membara
A nggun penampilan menyerlahkan gaya
L estari kecemerlangan demi negara
U sahamu pasti memancar cahaya
D inamik seiring perubahan semasa
D edikasi dalam setiap agenda
I mpianmu pasti akan terlaksana
N amamu pasti mekar sentiasa

Balada Remaja Dahulu dan Remaja Sekarang

Remaja dahulu taat dan patuh,
Benda haram tak berani disentuh.

Remaja sekarang mudah terpengaruh
Buat benda yang tidak disuruh.

Remaja dahulu pandai dan cerdik
Tahu membeza buruk dan baik.

Remaja sekarang perangai pelik,
Benda buruk dikatakan cantik.

Remaja dahulu jarang sekali alpa
Nasihat dipatuhi setiap masa.

Remaja sekarang tak hormat ibu bapa,
Bila susah baru teraba-raba.

Remaja dahulu macam Hang Tuah dan Hang Jebat,
Setiap masa kelihatan hebat.

Remaja sekarang kurang bermatlamat,
Harap sedar sebelum kiamat.

Remaja dahulu jarang berkepit,
Hingga iblis jarang nak himpit.

Remaja sekarang suka merempit,
Badan besar otak sempit.

Remaja dahulu sentiasa syabas,
Pertolongan diberi tak minta dibalas.

Remaja sekarang hidup bebas,
Hilang maruah diri terbabas.

Remaja dahulu sanggup berlapar,
Selalu berniat untuk belajar.

Remaja sekarang kepala besar,
Sudah terlanjur baru sedar.

Remaja dahulu menanam cita-cita,
Mematuhi orang tua tak perlu dipinta.

Remaja sekarang mabuk bercinta,
Maruah tergadai diri derita.

Remaja dahulu kurang berangan-angan,
Membahagiakan ibu bapa menjadi impian.

Remaja sekarang hilang pegangan,
Bebas bergaul tanpa halangan.

Remaja dahulu mementingkan adab sopan,
Berbudi bahasa menjadi amalan.

Remaja sekarang tiada keinsafan,
Sedarlah diri sebelum dikafan.


Diadaptasi oleh HBS daripada Gurindam Remaja Zaman Sekarang.

Apabila Hati Berperasaan

Apabila hati sudah sayang,
Jangan dibiar maruah melayang,
Jangan jadi gila bayang.

Apabila hati sudah cinta,
Jangan terus lupa agama,
Jangan tergadai akhirat dan dunia.

Apabila hati sudah kasih,
Jangan sampai berlebih-lebih,
Jangan yang keruh nampak jernih.

Apabila hati sudah rindu,
Jangan asyik termenung selalu,
Jangan pula semuanya madu.

Apabila hati sudah geram,
Jangan asyik bermuka masam,
Jangan pula menyimpan dendam.

Apabila hati sudah benci,
Jangan suka hidup mencaci,
Jangan pula busuk hati.

Apabila hati sudah marah,
Jangan cepat naik darah,
Jangan asyik bertelagah.

Apabila hati sudah berdendam,
Jangan sampai remuk-redam,
Jangan air mata asyik berendam.

Apabila hati sudah ikhlas,
Janganlah budi minta dibalas,
Jangan hidup mengharap belas.



Karya:HBS

Tema Kembara Amira

Tema 


Pengembaraan seorang gadis dalam mematangkan hidupnya.
-Hal ini digambarkan melalui watak Amira yang menyertai ibunya,Prof.Zaidah  dalam ekskavasi menjejaki kewujudan tamadun awal manusia.
-Dalam pengembaraan ini,Amira telah bertemu dengan Malique dan Itai sehingga berjaya merungkai kisah tragis keluarga Tau.
-Dalam pengembaraan ini juga Amira  dibawa ke kawasan lubuk emas oleh Itai. Di situ mereka menjumpai seketul emas.Amira dan Itai menghadiahkan emas itu kepada Jacinta untuk dibuat loket.Di kawasan lubuk emas ini juga mereka diserang oleh makhluk berbulu.  
-Amira dan Itai juga telah pergi menjejaki Malique yang hilang di Gunung Gua Gajah.Walaupun pelbagai kesukaran yang dialami oleh Amira tetapi dia tetap tabah mencari rakan yang baru dikenalinya itu.
     

    Sinopsis Kembara Amira(Sumber:BPK-KPM)

    NOVEL KEMBARA AMIRA
    (Amer Hmzah L.Kadir)



    Novel ini mengisahkan pengembaraan Amira semasa cuti persekolahan. Amira telah mengajak kawannya Jacinta untuk menemaninya ke Bukit Mat Raya di kawasan ibunya, Prof. Zaidah sedang menjalankan kerja lapangan bersama dengan pelajar tahun akhir.
    Di hutan tersebut Amira telah berkenalan dengan Itai iaitu penduduk orang Asli yang telah menyelamatkannya semasa dia hanyut di sungai. Amira juga telah berkenalan dengan Malique.
    Pengembaraan Amira bermula apabila Itai sudi berkongsi tentang rahsia lubuk emas di hutan tersebut. Tindakan Itai telah mengundang kemarahan penduduk orang Asli di kawasan tersebut kerana jika orang bandar mengetahui tentang lubuk emas itu, kawasan mereka akan diterokai.
    Salah seorang pekerja baru O’Hara hilang, Malique, Roslan dan yang lain cuba mencari pekerja tersebut tetapi pacuan empat roda yang dinaiki oleh mereka terbenam ke dalam lumpur dan akhirnya kenderaan tersebut tergelincir ke dalam gaung.
    Pada masa yang sama, Tau telah mengubah fikiran untuk menolong Prof. Zaidah mencari bukti bahawa kawasan Bukit Mat Raya ialah kawasan petempatan awal manusia. Seterusnya, Tau bersetuju untuk menunjukkan Gunung Gua Gajah kepada kumpulan Prof. Zaidah. Hasilnya mereka menemui kapak batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik dan tulisan purba di dinding gua.
    Di dalam gua tersebut juga, Amira telah menjumpai mobile disk milik Malique. Amira mengagak bahawa mungkin Malique berada berhampiran kawasan tersebut.
    Amira nekad mencari Malique di kawasan Gunung Gua Gajah dan terbongkarlah segala rahsia. Rupa-rupanya Malique telah disorokkan oleh Tau yang menyamar sebagai lembaga berbulu. Jennifer akhirnya berterus-terang bahawa Tau ialah bapa kandung kepada Malique (Sabi). Kemudian, Ludin menggemparkan lagi suasana apabila turut menjelaskan bahawa Itai ialah adik Malique.
    Akhirnya, Amira telah melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa. Jacinta pula melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Paris. Itai melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Malique menetap di Bukit Mat Raya untuk membangunkan projek ITnya.

    Salam Perkenalan

    Assalamualaikum...
    Semoga dengan adanya blog ini dapat memartabatkan bahasa Melayu dan meningkatkan prestasi murid-murid khususnya di SMK Taman Panglima .